Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Marilah sama-sama kita renungkan hakikat sebenar bahagia yang ada dalam diri alim ulama'.
- Daripada Shuhaib ra, sabda Rasulullah saw bermaksud :
"Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya mendapat nikmat, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan apabila ditimpa ujian (kesempitan), maka dia bersabar dan itu kebaikan baginya."
(Hadis Riwayat Muslim dalam al-Zuhud, no. 8, hlm. 125)
- Yahya bin Khalid al-Barmaky, seorang menteri yang masyhur pada zaman Bani Abbasiyah, ditanya : "Apakah yang dimaksudkan dengan bahagia, wahai tuan?"
Jawabnya : Sentosa perangai, kuat ingatan, bijaksana akal, tenang dan sabar menuju maksud."
- Seorang penyair bernama Hutai'ah berkata :
"Menurut pendapatku, bukanlah kebahagiaan itu pada mengumpul harta benda tetapi takwa kepada Allah itulah bahagia."
- Ibn Khaldun berpendapat :
"Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan berperikemanusiaan,"
- Ibn Mas'ud ra apabila ditanya :
"Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?"
Beliau menjawab :
"Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"
Benarkah bahagia itu adalah kepuasan pada hati? Bukankah manusia itu tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia, ia pasti berhadapan dengan kekurangan dan ketidaksempurnaan. Nafsu manusia tidak pernah pudar, malah semakin ingin mengejar kesempurnaan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya lagi. Tidak akan ada penghujungnya kemahuan manusia.
Selamilah dasar hati, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu terikat pada hati yang mempunyai sifat redho dan tawakal yang tinggi kepada Allah swt.
Wallahu'alam...
No comments:
Post a Comment