Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Sunday, May 22, 2011

Bagaimana Hendak Menangani Masalah Asmara Cinta?

Tamadun barat banyak mempengaruhi dunia Islam khususnya semenjak kejatuhan empayar Islam Turki Uthmaniyah. Disebabkan kelemahan umat Islam di dalam pelbagai bidang termasuklah keilmuan, politik, pemikiran dan budaya maka kelemahan ini menjadikan masyarakat Islam seumpama vakum yang menyerap masuk segala debu-debu dan kotoran disebabkan kekosongan dan kebuntuan.

Politik yang kacau bilau yang dicetuskan di dalam era kejatuhan Islam di seluruh dunia bermula Turki, fasa taklid dan kejahilan agama yang dahsyat, lemah semangat dan kurang keyakinan yang parah terhadap agama menjadikan masyarakat mula mengkagumi kemodenan, kemewahan dan kehebatan kuffar yang tecerna di dalam tamadun dan budaya eropah di abad ke 19 sebelum ini.

Satu demi satu, budaya dan aneka ragam penghasilan barat di bawa masuk baik yang material seperti teknologi sehinggalah kepada pemakaian dan sikap serta tingkahlaku.

Memakai sudu dan garfu, memakai tali leher di tengkuk, sehinggalah kepada perhubungan dan perasaan fitrah seorang manusia akhirnya dipandu oleh pemikiran dan berdasarkan budaya barat.

Dahulu, seorang gadis di tanah melayu hanyalah mengenali cinta melalui perkahwinan, di negara-negara Islam dan kawasan jajahannya sejak sekian lama gadis dan lelaki di asingkan semenjak baligh kini sudah mula bercampuran dan mula bergaul dan menikmati kemanisan cinta tanpa perkahwinan.

Cinta Tanpa Perkahwinan




Bermulanya cinta tanpa perkahwinan biasanya berlaku sejak di bangku sekolah dan di pusat-pusat pengajian yang menjadi tempat kemusnahan akhlak akibat percampuran anak-anak gadis dan lelaki.

Sang gadis mula terjatuh hati kepada rakan sekelas dan lelaki pula mula memerhati sikap dan geletah remaja perempuan saban hari yang akhirnya mengundang jenuh di hati dan sesak di dada yang menjadikan ramai remaja kita mencari lega dan rehat otak melalui jalan mudah seperti berzina, melancap dan melakukan pelbagai perkara yang memalukan.

Anda bertanya kenapakah remaja kita menjadi begini ?

Mereka menjawab, pendidikan jasmani di sekolah yang menyaksikan pelajar perempuan terloncat-loncat dan bercampur meriah dengan pelajar lelaki, waktu rehat di kelas dan ruang perkenalan yang panjang bertahun-tahun memberi peluang lelaki mengenali warna bra dan saiz baju dalam pelajar wanita melalui pengamatan hari-hari ke arah baju kurung putih yang nipis dan tudung yang singkat serta telepon tangan (handphone) yang memberi peluang tambahan untuk percakapan, perkenalan, perkongsian perasaan dan luahan serta pujukan juga gurauan itulah yang menjadikan remaja kita seperti sekarang.

Telepon Tangan Merosakkan



Ke hulu dan ke hilir remaja kita mengenggam erat telepon tangan mereka, bukanlah hanya kerana mahalnya telepon itu bahkan juga disebabkan di dalamnya tersimpan gambar-gambar tidak menutup aurat, video yang memberangsangkan juga kata-kata dan mesej cinta yang menghairahkan.

Kenapa jadi begitu ?

Iklan agaknya ? Mungkin televisyen yang mempromosikan budaya cinta seperti di pawagam atau di layar TV ? Ramai juga yang menyalahkan ibubapa yang menjadi penyebab dan punca kerana membiarkan anak-anak mereka serta tidak mengambil berat persoalan agama.

Budaya barat itulah perosak !!!

Cinta perlu dilafazkan, cinta pandang pertama, menghabisi saat-saat bercinta mengikut telunjuk barat seperti bersama, memegang tangan, berkucupan, bersekedudukan, berkongsi segala-galanya dengan pasangan dan akhirnya menuju ke medan perkahwinan setelah menyakini itulah pasangan yang paling ideal dan layak di bawa ke dalam kehidupan sebenar.

Diperkenalkan dengan keluarga, diikat melalui pertunangan dan akhirnya berkahwin dengan ucapan semoga berbahagia ke anak cucu dan berharap tidak akan bercerai dan berpisah selama-lamanya.

Hakikatnya perkahwinan sebeginilah yang paling ramai bercerai !!!

Islam memandang cinta sebagai suatu yang fitrah dan mulia

Di dalam agama Islam, cinta sememangnya diperintahkan dan ianya merupakan standard perasaan yang wajib dimiliki oleh seorang Muslim.

Tidak sempurna iman tanpa cinta demikian tinggi Islam memandang cinta itu sebagai sesuatu yang beharga. Oleh yang demikian ianya diberikan hanya kepada yang berhak, disalurkan kepada mereka yang layak dan dilarang serta dihalang daripada memberikannya kepada mereka yang tidak berhak.


Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda : “Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orang tuanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)


Juga baginda Rasulullah Shalallahu’alaihi Wasalam turut bersabda : “Ada tiga perkara yang sekiranya terdapat dalam diri seseorang, maka dia telah mendapatkan kemanisan iman: Allah S.W.T dan RasulNya lebih dicintainya daripada selain keduanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah S.W.T, dan benci kembali kepada kekafiran sesudah Allah S.W.T menyelamatkannya darinya sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka.” (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari)


Itulah Islam menjaga Cinta
Tiadalah gunanya ucapan dan perasaan berbunga-bunga serta khalayan kosong mengenai cinta dan kasih kalau perhubungan yang terlarang dijalin tanpa ikatan agama dan kemuliaan akhlak.

Apalah ada pada tubuh yang dijamah saban malam, dikucup dan dipegang oleh tangan-tangan yang haram dan ketika itu ucapan cinta, lafaz-lafaz ayatnya hanyalah tiket untuk kenikmatan seks dan nafsu !

Itu bukan cinta !

Bagaimana merungkai cinta palsu ?

Hancurkanlah cinta palsu, musnahkanlah ia dengan bom kefahaman dan kekuatan letupan akibat iman dan ketaqwaan.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata Dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu Termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.” (Surah Yusof : 24)

Apabila seorang muslim menyakini bahawa dirinya selama ini dijajah oleh barat dan kekufuran serta mengetahui ciri-ciri kebathilan yang menguasai dirinya sebelum ini dan berusaha membebaskan jiwanya daripada dijajah oleh kekufuran menuju kebebasan sejati maka dia pasti akan menyerahkan hidupnya untuk ditadbir oleh peraturan yang Maha Esa.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalangan kamu ada Rasulullah. Kalau dia menuruti kemauan kamu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu mendapat kesusahan, tetapi Allah menjadikan kamu 'cinta' kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus.” (Al-Hujurat : 7)

Akal yang bebas berfungsi !

Boleh memikir dan menghayati kehebatan Ilahi, kekuasaannya dan kemurkaannya serta menjadi takut dan lantas dengan bertindak segera bagi menyelamatkan diri daripada azab siksa.

Dia akan mengerti bahawa cinta sejati tidak akan dijalin oleh hubungan yang haram, lelaki dan wanita hanya akan disatukan oleh agama melalui perkahwinan dan itulah yang akan diusahakannya.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa rasulullah pernah bersabda : “Kami tidak melihat keadaan dua orang yang sedang bercinta yang lebih baik daripada nikah.” (hadis sahih riwayat Ibnu Majah )



Tidak sekali-kali mengikut cara barat di dalam menuju perkahwinan tetapi akan melihat apa kata Al-Quran dan As-Sunnah di dalam memilih pasangan.

Ibnu Mas’ud r.a pula menyatakan: “Akan mendapat kekayaan melalui pernikahan.”

Semua kata-kata ini amat bertepatan dengan hadis sahih riwayat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Tiga golongan yang menjadi tanggungjawab ALLAH untuk menolong mereka, iaitu orang yang ingin bernikah kerana ingin memelihara diri daripada maksiat…”- Hadis sahih riwayat Ahmad no. 7416, Tirmizi no. 1655 dan lain-lain.

Pasangan di pilih, seterusnya kepada siapa harus dituju untuk meminta keizinan, Al-Quran dirujuk dan sunnah menjadi pedoman lantas mencari segera bekalan dan kemudian bersama membina keluarga bahagia yang di dalamnya cinta ! 

No comments:

Post a Comment