Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Friday, May 6, 2011

Ulasan Terhadap Artikel (Mereka Yang Gagal Memahami Erti 'Zina Hati'-PMMM)

Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya masih lagi kita diberi pinjaman nyawa oleh Allah swt untuk menghirup udara yang segar pada hari ini dan selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah saw kerana berkat usaha baginda, barulah hari ini kita dapat merasa dua nikmat terbesar dalam kehidupan kita iaitu nikmat iman dan islam.


Sebenarnya saya sedang mencari maklumat tentang ikhtilat di alam siber untuk dijadikan post seterusnya. Tetapi petang tadi ibu dan adik saya telah memberikan saya satu artikel untuk saya baca yang membincangkan soal zina hati dan couple. Saya agak kurang pasti dari mana sumber artikel itu datang dan apabila membacanya saya seolah-olah merasakan ada sesuatu yang kurang kena dengan artikel tersebut. Bukanlah bermaksud bahawa apa yang disampaikannya itu salah cuma saya rasa terpanggil untuk menjelaskan sedikit sebanyak kenyataan-kenyataan yang ada di dalam artikel itu yang mana agak kurang senang apabila saya membacanya. Selepas membacanya hanya istighfar yang dapat dilafazkan. Saya tahu bahawa saya ini bukanlah orang yang selayaknya untuk beradu dari segi ilmu tetapi apa yang saya sampaikan di sini adalah pandangan saya terhadap artikel tersebut. Walaubagaimanapun tetap juga terpanggil untuk mengulas tentang artikel yang telah ditulis ini. Moga-moga ianya dapat mencerahkan kembali fikrah kita. Artikel ini mungkin agak popular di kalangan anda semua, jadi andai kata apa yang saya sampaikan ini salah, maka saya minta tolong sangat-sangat supaya kalian semua menegur saya kerana saya hanyalah seorang insan biasa yang tidak mempunyai ilmu yang banyak. Di sini saya link kan artikel tersebut. Mereka Yang Gagal Memahami Erti 'Zina Hati' (Bahagian 1) dan Mereka Yang Gagal Memahami Erti 'Zina Hati' (Bahagian 2)

Ulasan

Di awal artikel tersebut penulis telah memberi hadis yang berkaitan dengan zina hati dan zina kecil yang lain. 

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam:

(إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ). رواه البخارى (6/2438، رقم 6238)، ومسلم (4/2046، رقم 2657)، وأبو داود (2/246، رقم 2152)، والبيهقى فى شعب الإيمان (4/365، رقم 5428).
وفي رواية مسلم: (كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ).
Maksudnya: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Hadith riwayat Bukhari (6/2438, no 6238), Muslim (4/2046, no 2657), Abu Daud (2/246, no 2152), dan Imam Baihaqi dalam Shu’ab Iman (4/365, no 5428).

Dan dalam riwayat Imam Muslim: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya)

Komentar saya : Saya amat bersetuju dengan penulis bahawa menyukai atau menyimpan perasaan atau jatuh hati kepada seseorang adalah dibenarkan kerana ianya adalah fitrah dan Islam adalah agama yang meraikan fitrah manusia.

Penulis juga telah memberikan surah al-Baqarah ayat 235 dan menghurainya seperti berikut :

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235:

عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً
Dalam ayat ini dan ayat sebelumnya, menceritakan tentang عدة / iddah (tempoh suci) perempuan yang bercerai dengan suaminya. Kemudian ada lelaki ajnabi yang mengintai-intai peluang untuk melamar perempuan ini. Lalu Allah berfirman ((Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut, tetapi jangan kamu berjumpa dengan perempuan itu secara rahsia kecuali dengan berkata-kata perkara yang baik.

Syed Qutb dalam tafsirnya berkata: “Dan Allah telah mengharuskannya kerana itu berkaitan dengan kecenderungan fitrah yang halal pada asalnya, harus pada zatnya … dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah tetapi membajainya, dan tidak menekan naluri kemanusiaan tetapi mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh Syed Qutb, jilid 1, m/s 238).
Bukankah perempuan yang baru berpisah dengan suaminya merupakan perempuan ajnabiyyah kepada lelaki lain yang mahu melamarnya??? Tapi mengapa Allah langsung tidak mengatakan kepada lelaki ajnabi itu tak boleh mengingati perempuan tetapi hanya berpada dengan berkata (Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut tetapi jangan kamu berjumpa dengan dia secara rahsia).
Selain itu penulis juga menyebut tentang masalah mengingati perempuan ini dengan kenyataan ini :Di dalam artikel itu penulis telah menerangkan bahawa zina-zina kecil ini termasuk di dalam kategori dosa Al-Lamam dan  memetik hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (1/140) dan Imam Muslim (8/101). Sebelum itu penulis telah membawa maksud al-Lamam iaitu " dosa kecil yang tidak akan selamat daripadanya kecuali mereka yang dilindungi dan dijaga oleh Allah." Dan memetik firman Allah dalam surah An-Najm ayat ke 32. 

Mengingati perempuan itu? Adakah semata-mata ingat kepada perempuan itu haram atau ingatan itu haram disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya ingatan yang diharamkan adalah ingatan yang membayangkan keseksian susuk tubuh perempuan, membayangkan untuk bersetubuh dengan perempuan dan bayangan yang membangkitkan berahi. Ingatan dan bayangan sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata ingatan biasa.

Komentar saya : Ya, saya setuju bahawa mengingati wanita atau lelaki yang bukan mahram itu adalah fitrah manusia. Tapi perlu dipastikan jika ianya secara tiba-tiba maka ianya boleh diterima kerana apalah daya kita untuk menghalang perkara itu daripada terjadi dan mungkin ianya kerana kehendak daripada Allah swt yang mungkin ingin menguji keimanan di hati kita. Tetapi jika mengingati perempuan itu adalah dengan sengaja tanpa ada apa-apa keperluan, maka saya lebih cenderung untuk mengatakan ianya tidak dibenarkan dan tidak digalakkan. Hal ini kerana saya yakin dan percaya bahawa hati kita yang lemah ini tidak mungkin mampu untuk menghadapi godaan nafsu dan syaitan. 


Perlu diingat syaitan akan menghasut manusia daripada pelbagai sudut dan keadaan. Lagi-lagi jika kita telah membuka jalan buat 'mereka' untuk masuk ke dalam hati kita.

Firman Allah SWT dalam Al-A'raf ayat 17 :
"Kemudian pasti aku (syaitan) akan mendatangi mereka (manusia) dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur."

Jadi yakinkah kita bahawa kita mampu untuk mengawal syahwat kita ketika teringat kepada seseorang? Kita mampu untuk mengatakan bahawa kita tidak berfikir yang bukan-bukan di dalam fikiran kita yang mampu menaikkan syahwat tetapi hakikatnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati kita.Ya, orang lain tidak akan tahu tetapi perlu diingat bahawa Allah sentiasa tahu apa yang ada di dalam hati kita.

Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ayat 284 :
لِّلَّهِ ما فِي السَّمَاواتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَإِن تُبْدُواْ مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللّهُ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاءُ 
وَاللّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehandaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Oleh sebab itu saya sejujurnya lebih cenderung mengatakan jika kita dengan sengaja mengingati seseorang yang bukan mahram maka ianya tidak dibenarkan. Ini kerana mengikut kaedah usul fiqh sebagaimana dikemukakan Abdul Karim Zaidah, Sadd Adz-zariah iaitu "menutup jalan yang membawa kepada kebinasaan atau kejahatan." 

Jadi sepatutnya kita perlu menutup segala jalan yang mampu menjatuhkan kita ke lembah kehinaan dan kebinasaan. Ingatlah hanya dengan mengingat sahaja sebenarnya mampu untuk membawa kita ke arah maksiat yang lebih besar. Contohnya beronani kerana segala-galanya dimulakan oleh hati yang akhirnya akan membangkitkan syahwat dan menjerumuskan kita  ke lembah kemaksiatan.

Di dalam artikel itu juga penulis menyebut :
Jadi, zina kecil yang disebutkan itu adalah yang mengarah pada hubungan kelamin luar nikah. Oleh itu, melihat bukan mahram bukanlah serta-merta boleh digolongkan sebagai zina mata. Yang tergolong “zina mata” adalah pandangan yang menggoda dan penuh syahwat.
Komentar saya : Terus terang saya katakan bahawa saya kurang mengerti dengan kenyataan penulis di atas. Adakah ianya bermaksud tidak mengapa untuk kita melihat bukan mahram, yang penting tanpa syahwat? Atau penulis ingin mengatakan bahawa memandang bukan mahram tanpa syahwat dan tanpa nafsu tidak termasuk dalam kategori "zina mata" yang dikatakan? Wallahu'alam..

Tetapi di sini ingin saya menambah berkenaan soal memandang seseorang yang bukan mahram supaya menjelaskan lagi kepada kita bahawa memandang bukan mahram adalah tidak dibenarkan dalam Islam melainkan tanpa disengajakan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah An- Nur : 31
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menundukkan  pandangannya”.

Berkata Ibnu Katsir rahimahullah : “Kebanyakan para ulama menjadikan ayat ini sebagai akan haramnya wanita memandang laki-laki selain mahramnya apakah dengan syahwat atau tanpa syahwat”. (Tafsir Ibnu Katsir 3/345).

Berkata Imam Al-Qurthubi rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini : “Allah swt memulai dengan perintah menundukkan pandangan sebelum perintah menjaga kemaluan karena pandangan adalah pancaran hati. Dan Allah swt memerintahkan wanita-wanita mukminah untuk menundukkan pandangannya dari hal-hal yang tidak halal. Oleh karena itu tidak halal bagi wanita-wanita mukminah untuk memandang laki-laki selain mahramnya”. (Tafsir Al-Jami’ li Ahkam Al-Qur’an 2/227).

Berkata Imam Asy-Syaukany rahimahullah : “Ayat ini menunjukkan haramnya wanita memandang kepada selain mahramnya”. (Tafsir Fathul Qodir 4/32).

Berkata Muhammad Amin Asy-Syinqithy rahimahullah : “Ayat ini menjelaskan kepada kita bahwa yang menjadikan mata itu berdosa karena memandang hal-hal yang dilarang berdasarkan firman Allah swt dalam surah Ghofir ayat 19 :

يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ
“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati”.

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah berkata : “Makna dari ayat (An-Nur : 31) adalah memandang hal yang dilarang karena hal itu merupakan pengkhianatan terhadap mata”. (Adhwa` Al-Bayan 9/190).

Dan berkata Muhammad Ibnu Yusuf Al-Andalusy dalam Tafsirnya (Tafsirul Bahrul Muhit : 6/411) dan Imam Asy-Syaukany (Fathul Qodir : 4/32) : “Bahwa surah An-Nur ayat 31 ini sebagai taukid (penjelas) ayat sebelumnya iaitu An-Nur ayat 30, bahwa hukum laki-laki memandang kepada selain mahram adalah haram secara mutlak maka begitupun hukum wanita memandang kepada selain mahram adalah haram secara mutlak pula”.
Di samping itu Rasulullah saw juga pernah bersabda :

Dari Jarir  bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu
سَأَلْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ فَأَمَرَنِيْ أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِيْ
 
“Aku bertanya kepada Rasulullah saw tentang memandang secara tiba-tiba, maka Rasulullah saw memberi perintah kepadaku : “Palingkanlah pandanganmu”. (HR. Muslim).

Syeikh Salim Al-Hilaly hafizhohullah berkata : “Hadis ini menjelaskan bahwa tidak ada dosa memandang kepada selain mahram secara tiba-tiba (tidak disengaja) akan tetapi wajib untuk memalingkan pandangan berikutnya, karena hal itu sudah merupakan dosa”. (Bahjatun Nadzirin 3/146).

Imam An-Nawawi mengatakan : “Memandang kepada selain mahram secara tiba-tiba tanpa maksud tertentu pada pandangan pertama maka tak ada dosa. Adapun selain itu, bila ia meneruskan pandangannya maka hal itu sudah terhitung sebagai dosa”. (Syarh Shohih Muslim 4/197).

(Apa yang saya faham melalui penyampaian penulis adalah tidak menjadi kesalahan jika kita melihat bukan mahram, yang penting tanpa syahwat. Jika itulah yang dimaksudkan oleh penulis maka saya rasa ianya sudah pun bertentangan dengan hadis Rasulullah saw di atas. Dalam hadis itu Rasulullah saw tidak menyebut bahawa dibenarkan pandangan tanpa syahwat melainkan Baginda bersabda "Palinglah pandanganmu")

Melalui hadis Rasulullah saw :
ما من مسلم ينظر إلى محاسن امرأة ثم يغض بصره إلا أخلف الله له عبادة يجد حلاوتها
Ertinya : Tiada seorang Muslim pun yang melihat kepada kecantikan wanita (aurat) kemudian ia mengalih pandangan matanya kecuali Allah s.w.t  akan memberikan kepadanya kemanisan dalam ibadahnya (Riwayat Ahmad & At-Tabrani , Ibn kathir, 3/283, Ibn Kathir & Al-Munziri : Dhoif dan Ibn Kathir berkata , boleh diguna dalam hal galakkan)

Juga disebut dalam sebuah athar :
النظر سهم مسموم من سهام إبليس
Ertinya : “Pandangan mata adalah panah beracun dari panahan Iblis” ( Mirqatul Mafatih, 1/255; Ruhul Ma’ani, 22/7)

Malah ia juga bakal merosakkan hati :-
كل عين باكيه يوم القيامه الا عينان عين غضت عن محارم الله
Ertinya : Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah s.w.t” ( at-taysir bi Syarhi al-Jami’ as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan)

Jadi dengan dalil-dalil yang telah dikemukakan jelas kepada kita di sini bahawa memandang bukan mahram dengan sengaja adalah tidak dibenarkan dalam syariat Islam. Jadi apa lagi dalil yang boleh digunakan untuk mengatakan boleh melihat bukan mahram walaupun tanpa syahwat?

Di dalam artikel ini juga penulis telah menyebut :
Suara perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata suara kepada perempuan itu haram atau suara itu haram disebabkan unsur luaran lain?
Tentunya suara yang diharamkan adalah suara yang dilunakkan untuk menarik perhatian, suara manja mendodoi, suara-suara gedik. Suara sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata suara biasa.
Komentar saya : Ya memang betul. Lagipun ianya khilaf ulama'. Ada yang mengatakan suara wanita itu aurat dan ada ulama' yang mengatakan bahawa suara wanita tidak termasuk dalam aurat dan mengharuskan seseorang wanita ajnabiah bercakap dengan lelaki ajnabi dengan kadar keperluan seperti menjawab persoalan. Jadi dalam menangani masalah khilafiah ini kita perlu berfikiran terbuka. Tapi di sini ingin saya tegaskan bahawa "suara wanita bukan aurat" bukanlah tiket kepada kamu untuk bercakap dengan wanita atau yang wanita ingin bercakap dengan lelaki kerana pengharusan untuk bercakap di antara wanita ajnabiah dengan lelaki ajnabi adalah mengikut kadar keperluan sahaja.

Di sini saya akan memetik sedikit fatwa as-Syeikh Soleh bin Fauzan jilid 3 :

Untuk menjaga syariat ini pada semua tujuannya, syariat Islam telah mengharamkan zina yang boleh menuju ke kemuncak kerosakan sesuatu kehormatan, sehingga syariat Islam telah melarang dan menutup semua punca yang akan mendorong kepada perzinaan dan menegah semua perantaraan yang mengajak kepada perbuatan maksiat.

Untuk tujuan itu, syariat Islam telah mengharamkan kepada setiap perempuan melembutkan suaranya bila berbicara dengan lelaki ajnabi sekalipun kerana hajat yang disyarakkkan seperti berjual beli, meminta fatwa, menjawab soalan lelaki ajnabi dari sebalik pintu, menjawab percakapan lelaki ajnabi melalui telefon dan seumpamanya. Perempuan tidak boleh berbicara kecuali dengan kadar yang diperlukan dan menggunakan suara yang bersikap takut serta sopan.


Maksudnya di sini dibolehkan komunikasi antara bukan mahram hanya jika ada perkara yang mustahak yang memerlukan perbincangan di antara kedua dua belah pihak dan tidak lari daripada topik yang perlu dibincangkan. Dan perlu terus masuk kepada isi perbincangan tanpa perlu muqaddimah terlebih dahulu seperti "awak apa khabar?" atau " sihat ke hari ini?".

Jadi di kesempatan ini ingin saya ingatkan kepada kalian semua di sini bahawa setiap anggota kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Jadi jagalah ia sebaik mungkin daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan jangan sekali-kali mengambil mudah akan anggota badan kita ini. Ingatlah firman Allah di dalam surah Al-Isra'.

Firman Allah swt dalam surah Al-Isra' ayat 36 :
"...Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta dipertanggungjawabkannya."

Maksudnya: Dan bagi Allah segala yang di langit dan di bumi, supaya dia membalas mereka yang berbuat buruk dengan apa yang mereka kerjakan, dan membalas mereka yang baik dengan kebaikan. Mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perkara-perkara keji kecuali Al-lamam, Sesungguhnya Tuhan kamu Maha Luas keampunannya…
Jadi di sini saya ingin menerangkan sedikit tentang surah An-Najm ayat 32 ini :
Ayat ini menerangkan sifat-sifat orang yang baik itu: Ialah mereka yang menjauhkan dirinya dari dosa-dosa besar seperti syirik, membunuh, berzina, dan lain-lain, meskipun mereka melakukan dosa-dosa kecil yang kemudian ingat segera, serta dengan segera mereka bertaubat sambil menyesali perbuatan-perbuatan dosa kecil yang mereka lakukan, namun mereka imbangi banyak perbuatan yang baik karena perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa-dosa) perbuatan yang buruk.  
Sebagaimana di utarakan dalam firman Allah:

إن الحسنات يذهبن السيئات 
Ertinya:
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.
(Q.S. Hud: 114)

Lalu penulis memberi kesimpulan seperti berikut :
Lelaki tersebut telah melakukan zina kecil, iaitu mencium seorang perempuan bukan mahram. Bagaimana untuknya menghapuskan dosa zina kecil tersebut? Jawabnya adalah dengan berbuat kebaikan, insyaAllah kebaikan yang dibuat itu akan menghapuskan dosa yang dilakukan.
Komentar saya : Benar ianya termasuk di dalam dosa-dosa kecil yang akan diampunkan oleh Allah swt. Tapi perlu juga diingat bahawa dosa kecil ini mampu berubah menjadi dosa besar andai kata hati kita telah hitam dengan maksiat. Oleh itu jangan sekali-kali kita meremehkan dosa yang kecil. Selain itu dosa kecil juga akan membuatkan kita hilang kemanisan beribadat. Teringat saya cerita Imam as-Syafie tatkala terpandang akan aurat perempuan TANPA SENGAJA.

"Pernah suatu ketika Imam Syafie berjalan dan lalu seorang wanita di hadapannya. Maka angin bertiup dan telah menyelak kain perempuan itu lalu memperlihatkannya. Tanpa disengajakan Imam As-Syafie telah terpandang akan betis wanita tersebut. Lalu beliau menangis semahu-mahunya meminta keampunan daripada Allah kerana telah melihat aurat wanita tersebut walaupun tanpa sengaja. Imam Syafie berkata bahawa dia tidak layak untuk ke syurga hanya kerana melihat tanpa sengaja. Jadi ingin sekali saya tegaskan di sini jangan sesekali memandang enteng akan dosa kecil.


BERUBAHNYA DOSA KECIL MENJADI BESAR

Imam Ibnul Qayyim pernah berkata: "Dosa-dosa besar biasanya disertai dengan rasa malu dan takut serta anggapan besar atas dosa tersebut, sedang dosa kecil biasanya tidak demikian. Bahkan yang biasa adalah bahwa dosa kecil sering disertai dengan kurangnya rasa malu, tidak adanya perhatian dan rasa takut, serta anggapan remeh atas dosa yang dilakukan, padahal bisa jadi ini adalah tingkatan dosa yang tinggi (tahdzib madarij as salikin hal 185-186). Dengan demikian maka dosa kecil dapat berubah menjadi besar dengan adanya faktor-faktor yang memperbesarnya, yaitu:
  •   Terus-menerus dalam melakukannya
Hal ini karena pengaruh kerasnya jiwa dan adanya raan (bercak) didalam hati, maka dari sini ada qaul mengatakan: "Tak ada dosa kecil jika dilakukan terus menerus dan tak ada dosa besar jika diiringi istighfar. "Ucapan ini dinisbatkan kepada Ibnu Abbas r.a. berdasarkan atsar yang saling menguatkan satu dengan yang lain (ithaf as-sa'adah al-muttaqin 10/687).
  •   Anggapan remeh atas dosa tersebut
Rasulullah saw telah bersabda:
"Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, sebab jika ia berkumpul dalam diri seseorang akan dapat membinasakannya." (HR ahmad dan Thabrani dalam Al Awsath). Rijal dalam dua riwayat ini sahih semuanya kecuali Imran bin Dawir Al Qaththan namun dia dapat dipercaya, demikian kata Imam Al Haitsami dalam Majma' Az Zawaid 10/192.

Ibnu Mas'ud r.a. pernah berkata: "Seorang mukmin melihat suatu dosa seakan-akan ia duduk dibawah gunung dan takut jikalau gunung itu menimpanya dan orang fajir (pendosa) melihat dosa bagaikan lalat yang lewat didepan hidungnya seraya berkata "begini", Ibnu Syihab menafsirkan: yakni berisyarat (mengebutkan) tangannya didepan hidung untuk mengusir lalat.

Suatu ketika sahabat Anas r.a. pernah berkata kepada sebagian tabi'in: "Sesungguhnya kalian semua melakukan suatu perbuatan yang kalian pandang lebih kecil dari pada biji gandum padahal di masa Nabi saw kami menganggapnya sebagai sesuatu yang dapat membinasakan. "(riwayat Al Bukhari). Di sini bukan bererti Anas mengatakan bahwa dosa besar dimasa Rasulullah dihitung sebagai dosa kecil setelah beliau wafat, namun itu semata-mata karena pengetahuan para sahabat akan keagungan Allah yang lebih sempurna. Makanya dosa kecil bagi mereka-jika sudah dikaitkan dengan kebesaran Allah- akan menjadi sangat besar. Dan dengan sebab ini pula maka suatu dosa akan dipandang lebih besar jika dilakukan orang alim dibandingkan jika pelakunya orang jahil, bahkan bagi orang awam boleh jadi suatu dosa dibiarkan begitu saja (dimaklumi) karena ketidaktahuannya yang mana itu tentu tidak berlaku bagi orang alim dan arif. Atau dengan kata lain bahwa besar kecilnya suatu dosa sangat berkaitan erat dengan tingkat pengetahuan dan keilmuan pelakunya (ithaf as-sa'adah al-muttaqin 10/690).

Tapi meski bagaimanapun seseorang seharusnya dituntut untuk menganggap besar suatu dosa, sebab jika tidak demikian maka tidak akan lahir rasa penyesalan. Adapun jika menganggap besar atas suatu dosa maka ketika melakukannya akan disertai dengan rasa sesal. Ibarat orang yang menganggap wang receh tak bernilai, maka ketika kehilangan ia tak akan bersedih dan menyesalinya. Namun ketika yang hilang adalah dinar (koin emas) maka tentu ia akan sangat menyesal dan kehilangannya merupakan masalah yang besar.

Perasaan menganggap besar terhadap dosa muncul karena tiga faktor:

- Menganggap besar atas suatu perintah (apapun ia).
- Menganggap besar Zat atau orang yang memerintah.
- Keyakinan akan benarnya balasan.

  •   Merasa senang dan bangga dengan dosa
Seperti seorang pelaku dosa berkata: "Andaikan saja engkau tahu bagaimana aku mempermalukan si fulan, dan bagaimana aku membuka aib dan keburukannya sehingga nampak jelas semua!" Atau misal yang lain: "Seandainya kamu melihat bagaimana aku memukul dia dan menghinakannya!"

Orang ini sudah begitu lupa dengan kejelekan dosa sehingga malah senang tatkala dapat melampiaskan keinginannya yang terlarang. Dan perasaan senang terhadap suatu kemaksiatan menunjukkan adanya keinginan untuk melakukannya, sekaligus menunjukkan ketidaktahuannya dengan Zat yang ia maksiati, buruknya akibat dan besarnya bahaya kemaksiatan. Rasa senang dengan dosa telah menutupi semua itu, dan senang dengan suatu dosa lebih berbahaya daripada dosa itu sendiri. Sebab orang yang berbuat suatu dosa namun sebenarnya tidak senang dengan perbuatan itu maka ia akan segera menghentikannya. Sedangkan rasa senang dengan dosa akan menimbulkan keinginan untuk terus melakukannya.

Jika kealpaan dan kelalaian semacam ini telah begitu parah maka akan menyeretnya untuk melakukan dosa tersebut secara terus menerus, merasa tenang dengan perbuatan salah dan bertekad untuk terus melakukannya. Dan ini adalah jenis lain dari dosa yang jauh lebih berbahaya daripada dosa yang ia lakukan sebelumnya.
  •   Meremehkan "tutup dosa" dan kesantunan Allah
Iaitu ketika pelaku dosa kecil terbuai dengan kemurahan Allah dalam menutupi dosa. Dia tidak sedar bahwa itu adalah penangguhan dari Allah untuknya. Bahkan ia menyangka bahwa Allah sangat mengasihinya dan memberi perlakuan lain kepadanya, sebagaimana yang Allah khabarkan kepada kita tentang para pemuka agama kaum Yahudi yang berkata: "Kami adalah anak-anak Allah dan kekasihnya." Juga firman Allah:

"Dan mereka mengatakan pada diri mereka sendiri: "Mengapa Allah tidak menyiksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu" Cukuplah bagi mereka neraka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (QS. Al-Mujadilah: 8)
  •   Membongkar dan menceritakan dosa yang telah ditutupi oleh Allah
Seseorang yang melakukan dosa kecil dan telah ditutupi oleh Allah namun ia sendiri malah kemudian menampakkan dan menceritakannya maka dosa kecil itu justeru menjadi berlipat karena telah tergabung beberapa dosa. Ia telah mengundang orang untuk mendengarkan dosa yang ia kerjakan, dan bisa jadi akan memancing orang yang mendengar untuk ikut melakukannya. Maka dosa yang tadinya kecil dengan sebab ini bisa berubah menjadi lebih besar.

Nabi saw telah bersabda:
"Seluruh umatku akan dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan dalam dosa (al mujahirun), termasuk terang-terangan dalam dosa ialah seorang hamba yang melakukan dosa dimalam hari lalu Allah menutupinya ketika pagi, namun ia berkata: "Wahai fulan aku tadi malam telah melakukan perbuatan begini dan begini!" (HR Muslim, kitabuz zuhd)
  •   Jika pelakunya adalah orang alim yang jadi panutan atau dikenal kesolehannya
Yang demikian apabila ia melakukan dosa itu dengan sengaja, disertai kesombongan atau dengan mempertentangkan antara nas yang satu dengan yang lain maka dosa kecilnya bisa berubah menjadi besar. Tetapi lain halnya jika melakukannya karena kesalahan dalam ijtihad, marah atau yang semisalnya maka tentunya itu dimaafkan.

(Dari Al-'Ibadat Al-Qalbiyah, Dr. Muhammad bin Hasan bin Uqail Musa Asy-Syarif/alsofwah)
 
Jadi melalui keterangan ini dapatlah disimpulkan bahawa jangan memandang enteng terhadap dosa walaupun ianya dosa kecil kerana ianya boleh menggelapkan hati kita dan ianya boleh berubah menjadi dosa besar. Oleh sebab kita merasakan ianya dosa kecillah baru kita akan melakukan perkara-perkara yang telah saya sebutkan di atas yang mana boleh merubah dosa kecil menjadi besar. Dan ingatlah dosa besar kebiasaannya akan didahului oleh dosa kecil terlebih dahulu, begitu juga dengan zina, ianya akan dimulai dengan pandangan, turun ke hati, kemudian ber'couple' dan akhirnya berzina (pendapat saya).Oleh itu jangan terlalu mudah mengatakan "ala itu al-Lamam. al-Lamam ni dosa kecil je. Buat kebaikan nanti bersihlah dosa-dosa tu". MasyaAllah kalau beginilah pendapat yang dikeluarkan maka saya hanya mampu beristighfar.

Di kesempatan ini ingin saya berkongsi hadis Nabi saw kepada pemuda :

  • "Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan. – (Hadis Nasai dan Abu Daud). 
  • "Wahai sekalian pemuda, sekiranya kamu berkemampuan, berkahwinlah dan sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah ia kerana dengan berpuasa dapat memelihara daripada kejahatan. – (Hadis Bukhari).
Melalui hadis ini jelas memberi makna kepada kita (kaum pemuda), kita mempunyai dua pilihan :
  1. Berkahwin
  2. Berpuasa (Untuk mengelak daripada melakukan perkara maksiat)
Maaf saya katakan Rasulullah saw tidak bersabda menyuruh kita bercouple (mengikut definisi saya 'couple' adalah mengikut konsep pemikiran remaja zaman sekarang) malah Rasulullah saw menegah lagi adalah. Rasulullah saw bersabda :
"Tidak berkahalwat diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahram melainkan syaitan menjadi yang ketiga" (HR Bukhari) 


Ini kerana apabila sudah ber'couple' kita tidak akan mampu mengelak daripada berdua-duaan. Ingatlah akan hadis Rasulullah saw :

Baginda s.a.w. bersabda: 

"Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya. Bumi akan berkata: Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi." (Hadis riwayat Imam Tirmizi). 

Kesimpulan daripada Hadis: 
1- Dorongan supaya melakukan amalan soleh dan menjauhkan diri dari melakukan maksiat. 
2- Kemampuan Allah s.w.t menjadikan benda-benda yang keras dapat bercakap di mana bumi akan memberi saksi terhadap setiap perkara yang berlaku. 
3- Larangan keras terhadap orang yang melakukan maksiat, walaupun dia jauh dari pandangan orang lain tetapi bumi tetap akan memberi saksi di hadapan Allah s.w.t yang menjadi hakim di hari kiamat kelak.


Mungkin ada yang mengatakan bahawa mereka couple islamik atau yang sewaktu dengannya tetapi ingatlah perbuatan zina itu berlaku secara berperingkat dan tanpa kita sedari. Bermula dengan pandangan lalu melarat ke dalam hati. Selepas itu SMS tazkirah, telefon dengan alasan nak bagi nasihat, ajak keluar dan akhirnya jatuh kepada perkara yang haram. Ingin saya tegaskan bahawa 'couple' islamik itu hanyalah suatu khayalan semata-mata dan tiada di dalam Islam. Kalau ada saya minta kamu kemukakan dalil-dalil yang ada. Hal ini kerana kebanyakannya adalah dalil berkenaan seseorang yang mempunyai perasaan cinta kepada seseorang tetapi itu tidaklah boleh dimasukkan ke dalam kategori 'couple' yang dimaksudkan oleh kita sekarang. Sentiasa ingat bahawa perancangan syaitan itu tersangat licik. Jadi jika mengikut kaedah fiqh :
“Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram jua”

Oleh itu couple dalam konteks masa kini adalah haram kerana ianya mampu membawa kepada keburukkan iaitu zina. 

Di sini saya tampilkan fatwa ulama' mengenai "couple" moga-moga ada manfaat yang kita perolehi.
  • Syeikh Muhammad bin Shaleh al-Utsaimin pernah ditanya tentang hubungan cinta sebelum menikah. Jawab beliau; Jika hubungan itu sebelum nikah, baik sudah lamaran atau belum, maka hukumnya adalah haram, kerana tidak boleh seseorang untuk bersenang-senang dengan wanita asing (bukan mahramnya) baik melalui ucapan, memandang, atau berdua-duaan. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seorang lelaki bedua-duaan dengan seorang wanita kecuali ada bersama-sama mahramnya, dan janganlah seseorang wanita berpergian kecuali bersama mahramnya.”
  • Syeikh Abdullah bin Abdur Rahman al Jibrin ditanya; Jika ada seseorang lelaki yang berhubung dengan seorang wanita yang bukan mahramnya, yang pada akhirnya mereka saling mencintai, apakah perbuatan itu haram? Jawab beliau; Perbuatan itu tidak diperbolehkan, kerana boleh menimbulkan syahwat di antara keduanya, serta mendorongnya untuk bertemu dan berhubungan, yang mana hubungan seperti itu banyak menimbulkan fitnah dan menanamkan dalam hati seseorang untuk mencintai penzinaan yang akan menjerumuskan seseorang pada perbuatan yang keji, maka dinasihati kepada setiap orang yang menginginkan kebaikan bagi dirinya untuk menghindari surat-suratan, perbualan melalui telefon, dan sebagainya, demi menjaga agama dan kehormatan dirinya.
  • Syeikh Jibrin juga ditanya; Apa hukumnya kalau ada seorang pemuda yang belum menikah menelefon gadis yang juga belum menikah? Jawab beliau; Tidak boleh berbicara dengan wanita asing (bukan mahram) dengan pembicaraan yang boleh menimbulkan syahwat, seperti rayuan, atau mendayukan suara (baik melalui telefon atau lainnya). Sebagaimana firman ALLAH SWT; “Dan janganlah kalian melembutkan suara, sehingga berkeinginan orang-orang yang berpenyakit di dalam hatinya.” (al-Ahzaab: 32). Adapun kalau pembicaraan itu untuk sebuah keperluan, maka hal itu dibolehkan selagi tidak mendatangkn fitnah.
Jadi nasihat saya kepada para pemuda dan pemudi di luar sana tiada salah menyimpan perasaan kepada seseorang kerana ianya fitrah tetapi kawallah ia dengan berpuasa ataupun bernikah dan katakan tidak kepada "couple". Ingat jangan kamu hampiri zina.

Ingatlah di dalam Islam ini mengharamkan sesuatu yang halal itu dapat membawa satu keburukan dan bahaya. Sedang seluruh bentuk bahaya adalah hukumnya haram. Sebaliknya yang bermanfaat hukumnya halal. Kalau suatu persoalan bahayanya lebih besar daripada manfaatnya, maka hal tersebut hukumnya haram. Sebaliknya, kalau manfaatnya lebih besar, maka hukumnya menjadi halal.

Dan ingatlah Islam tidak mengharamkan sesuatu kecuali di situ memberikan suatu jalan keluar yang lebih baik guna mengatasi kebutuhannya itu. Hal ini seperti apa yang diterangkan oleh Ibnul Qayim dalam A’lamul Muwaqqi’in 2: 111 dan Raudhatul Muhibbin halaman 10. Jadi konteks "couple" pada masa sekarang adalah haram tetapi Islam memberi jalan keluar yang lebih baik iaitu dengan bernikah. InsyaAllah jika ini dapat diamalkan maka akan berkuranglah gejala yang tidak sihat dan akan berkuranglah gejala pembuangan bayi. InsyaAllah.
InsyaAllah untuk isi artikel yang selebihnya akan saya hurai pada masa akan datang jika masa mengizinkan. Di sini saya ingin memohon maaf kepada penulis artikel yang diulas ini khasnya dan kepada semua pembaca amnya. Saya bukanlah ingin menjatuh atau memalukan sesiapa ketika mengulas artikel ini cuma saya merasakan di dalam artikel ini ada kekurangan yang mana akan menggalakkan lagi remaja-remaja sekarang untuk bercinta atau bercouple dengan tidak berlandaskan syariat Islam dan menjadikan artikel yang ditulis oleh penulis tersebut sebagai hujah untuk menghalalkan percintaan mereka. Jadi di sini saya sekadar menambah apa yang saya rasa perlu diberitahu yang mana tiada dalam artikel berkenaan konsep zina hati dan couple ini.

Yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu juga datangnya daripada Allah tetapi disandarkan ke atas saya, seorang hamba yang dhoif ini.

Wallahu'alam. 


 

1 comment:

  1. perkongsian yg baik..
    tp kalau boleh warna
    tulisan bgi mudh ckit nk
    bce...
    asif n syukran!

    ReplyDelete