Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Friday, May 6, 2011

Adil?

Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya masih lagi kita diberi pinjaman nyawa oleh Allah swt untuk menghirup udara yang segar pada hari ini dan selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah saw kerana berkat usaha baginda, barulah hari ini kita dapat merasa dua nikmat terbesar dalam kehidupan kita iaitu nikmat iman dan islam.

Adil? Apakah maksud adil yang sebenarnya? Dapat diperhatikan masyarakat Melayu sekarang ini begitu mengambil berat akan soal keadilan sehingga ada yang menyalah tafsir maksud adil sehinggakan mengatakan bahawa Islam itu tidak adil. MasyaAllah. Jadi di sini ingin saya berkongsi kepada kalian semua akan maksud adil dalam konteks Islam dan juga adil di dalam Fiqh dan Hadis. InsyaAllah moga-moga dengan perkongsian yang sedikit ini mampu merungkai dan menjawab persoalan mengenai 'adil' ini.

Adil?

Dalam pemahaman orang Melayu khasnya dan rata-rata manusia umumnya termasuk golongan ‘pembaharu’ ( pemikir-pemikir hak asasi manusia ) , mereka sudah masak dengan kefahaman bahawa makna ‘ADIL’ adalah sama rata, sama banyak atau sama-sama seimbang.
http://www.ashokascales.com/scales1.png
x adil?

Natijah dari kesilapan memahami makna ‘adil’ ini, akhirnya membuatkan muncullah kenyataan : Islam itu tidak adil dan Allah itu tidak adil. Kata golongan ini, antara buktinya adalah:

a) Dalam bab nikah kahwin – lelaki diberi hak beristeri sehingga 4 ( jika mampu berlaku adil ), adapun wanita tidak.

b) Aurat lelaki sedikit, adapun aurat wanita itu banyak.

c) Pembahagian harta pusaka (fara’id) – lelaki dapat 2 bahagian dan wanita hanya 1 bahagian.

d) Lelaki boleh bekerja sehingga lewat malam, wanita ditegah.

e) Lelaki menjadi ketua keluarga ( mencari rezeki, bekerja, mencari tempat perlindungan dan sebagainya ), adapun wanita dihadkan fungsinya.

Ini menandakan Islam tidak adil dan mendiskriminasikan wanita, kata mereka.

Adil Menurut Islam

Dalam Islam, adil adalah ‘meletakkan sesuatu (sesuai ) pada tempatnya. Bukan bermaksud sama banyak atau sama rata atau seimbang dalam semua perkara. Contohnya dalam bab aurat : Islam menetapkan had aurat yang wajib ditutup bagi wanita lebih banyak dari lelaki, sesuai dengan kejadian ciptaannya. Allah menjadikan mereka ini cantik dan indah sehingga boleh menarik perhatian kaum lelaki, maka bermakna wanita adalah barang mahal dan berharga yang tidak boleh sesuka hati ditonton oleh sesiapa sahaja melainkan orang-orang yang tertentu yang dikhaskan iaitu suami dan ahli keluarga. Maka, wanita dipelihara oleh Allah dengan aurat yang agak lebih sedikit dari lelaki. Inilah Islam yang meletakkan sesuatu aturan sesuai dengan fitrah kejadian manusia kerana Allah yang lebih berhak tahu tentang keperluan makhluk yang Dia sendiri ciptakan.

http://isteri.blogmas.com/files/2007/12/tudung-standard-islam.JPG

Bahkan jika mahu dikatakan Islam itu zalim, iaitu tidak adil menurut pemahaman manusia hari ini, maka lihatlah bagaimana keadaan wanita sebelum kedatangan Islam. Mereka dihinakan sebegitu dahsyat, dijadikan bahana pameran, dijadikan bahan pemuas nafsu sahaja sama seperti hari ini wanita diesksploitasi untuk cover depan majalah untuk tujuan pelarisan perniagaan atau apa-apa produk. Maka, inilah kehinaan dan kezaliman kepada wanita sebenarnya. Begitulah juga dalam bab hak mencari rezeki, hak dalam harta warisan dan sebagainya.

Maka, lawan bagi kalimah adil adalah zalim iaitu meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya seperti pakaian yang sepatutnya dipakai oleh orang lelaki, lalu dipakai oleh wanita, itulah Zalim.

Adil Dalam Fiqh dan Hadith

Dalam ilmu fiqh dan hadith, makna adil berbeza pula.

Fiqh : Apabila disebut seorang saksi kes zina dalam Islam hendaklah saksi yang adil. Maka makna adil dalam konteks Fiqh adalah :

“ saksi yang tidak fasiq iaitu hidup melakukan dosa besar. Maka saksi yang fasiq tidak sah dan tertolak menurut pandangan Islam kerana mana mungkin orang yang hidup dalam dosa besar muncul untuk menjadi saksi dalam perkara melibatkan dosa besar juga. Sudah tentu soal kepercayaan terhadap mereka ini, boleh dipertikaikan.

Hadith : Antara sebab hadith itu menjadi sohih adalah kerana perawinya bersifat adil. Maksud perawi yang adil dalam Ilmu Hadith sama sahaja seperti adil dalam bab Fiqh, cuma ada sedikit tambahan iaitu :

“ mengerjakan suruhan dan taat kepada Allah, tidak melakukan dosa besar, menjauhi perkara yang boleh merosakkan iman (aqidahnya) , tidak mengikut mana-mana hadith yang bertentangan dengan syara’, menjaga maruah baik dari segi syara’ mahupun adat “

Adil dalam hadith juga adalah perawi hadith itu tidak termasuk difitnah atau dituduh dengan 5 perkara ini :

a) berdusta, fasiq, jahil dan bid’ah.

b) Bergaul dengan sahabat-sahabat yang tidak bermaruah (berakhlak).

c) Keterlaluan dalam bergurau senda.

d) Membuang air ditepi jalan.

e) Makan dijalanan (kedai-kedai dll – pen)

Maka ,hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak adil iaitu fasiq adalah ditolak. Mudahan-mudahan kita sama-sama memahami makna adil dalam Islam dan dalam konteks ilmu hadith dan ilmu Fiqh ini.

Sumber rujukan : Pengantar Ilmu Hadis – Rosmawati Ali @ Mat Zin – Kuala Lumpur. 

Satu analogi mudah yang boleh digunakan untuk memahami maksud adil ini :
"Apabila kita ingin memberi hadiah kepada seorang lelaki dan seorang perempuan adakah adil jika kita memberikan hadiah songkok kepada lelaki dan perempuan tersebut. Adakah ini dikatakan adil? Jika dalam konteks masyarakat Melayu sekarang ini memang nampak seperti adil. Tetapi tidak terfikirkah kita bahawa lelaki tersebut boleh memakai songkok yang dihadiahkan kita kepadanya tetapi adakah perempuan tersebut boleh menggunakan songkok yang dihadiahkan itu? Sudah tentu tidak boleh. Jadi adakah itu dikatakan adil?
Begitu juga halnya jika kita memberi kedua-duanya tudung. Maka hal yang serupa akan berlaku. Si lelaki tidak boleh menggunakan tudung pemberian kita tetapi ianya boleh digunakan oleh si perempuan. Oleh itu untuk berlaku adil, pasti kita akan menghadiahkan songkok kepada si lelaki dan hadiah tudung kepada si perempuan. Jadi barulah ianya adil kerana kedua-dua mereka boleh menggunakan hadiah pemberian kita tersebut." 

Melalui analogi tersebut jelas membawa maksud bahwa erti adil yang sebenarnya adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan bukanlah bermaksud sama rata. Dan agama Islam adalah agama yang bersifat al-Adalah iaitu adil kepada semua golongan tanpa mengira kaum, bangsa, budaya dan warna kulit.


Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment