Sudah hampir seminggu juga saya tidak menulis. Kesibukkan dengan tugas-tugas harian ditambah lagi dengan kajian mengenai isu takfir (kafir-mengkafir) yang pernah meletus di negara ini. Buat masa ini saya masih dalam pengkajian bagaimana isu ini boleh berbangkit di Malaysia namun saya merasakan tidak salah untuk saya menulis sedikit hasil dapatan saya di ruangan ini.
Gelodak isu kafir mengkafir ini bermula pada awal 80an. Jika dilihat dengan lebih teliti, kronologi yang membawa kepada isu takfir ini bermula sejak 1960an lagi tetapi menjadi satu isu besar bermula pada tahun 1982 apabila berlakunya transformasi kepimpinan golongan profesional kepada golongan ulama dalam manhaj perjuangan Islam Malaysia.
Bermula dari situ, dengan kebijaksanaan kepimpinan ulama gerakan Islam mula memperhebatkan program-program tarbiyah terhadap ahli-ahlinya serta mempergiatkan usaha-usaha dakwah kepada masyarakat. Buat pertama kalinya, setelah satu resolusi oleh kepimpinan ulama iaitu, Haji Yusof Rawa untuk memberi lebih penekanan terhadap persoalan tarbiah dan kaderisasi dakwah, penekanan terhadap akidah umat Islam mula dijalankan secara berstrategi melalui majlis-majlis ilmu. Maka, berlakulah suatu keadaan yang digelar fenomena penjelasan batas-batas iman dan kufur di seluruh pelusok negara.
Antara kitab-kitab yang termasuk di dalam silibus membentuk kefahaman umat tentang hakikat Islam termasuklah kitab "Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah" yang telah diharamkan di Malaysia karya Syeikh Abdul Kadir Al-Mandili seorang tokoh ulama yang mengajar di Mekah. Kitab-kitab yang dikarang ulama-ulama besar serta tokoh gerakan Islam yang lain seperti Maududi dan Sayydi Qutb turut menjadi panduan dalam menjelaskan batas-batas iaman dan kufur kepada masyarakat yang sememangnya dahaga kepada curahan ilmu seperti ini.
Pihak pemerintah yang berfahaman sekular berasa tergugat dengan keadaan terbaru pada waktu itu. Gerakan dakwah besar-besaran menjelaskan perihal keimanan dan kekufuran kepada masyarakat mula memperlihatkan wajah sebenar golongan pemerintah yang berselindung di sebalik nama Islam dengan mengambil agama secara separuh-separuh dan bukan secara syumul (menyeluruh).
Maka, melihat kepada perkembangan negatif (bagi pihak sekular) itu, pemerintah mula memainkan isu takfir kononnya gerakan Islam tersebut mengkafirkan sesama Islam dan tindakan itu jelas terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah.
Ustaz Abdul Latif (salah seorang yang ditangkap kerana isu ini) dalam satu kenyataan menegaskan beliau dan para daie yang lain pada waktu itu hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat tanpa menuding jari kepada sesiapa dengan mengatakan seseorang itu kafir. Mereka mengajar berpandukan kitab yang diiktiraf ulama Ahli Sunnah Wa Jamaah. Buktinya tidak ada seorang ulama kerajaanpun yang berani menyanggah hujah mereka dari dahulu hingga sekarang. Bahkan suatu debat mengenai isu ini yang hangat diperkatakan ketika itu juga tidak dapat dilaksanakan apabila golongan pemerintah takut untuk duduk semeja di medan debat.
Ketika mengulas isu ini, Prof Dr Yusof Al-Qardhawi, ketua persatuan ulama sedunia mengatakan bahawa isu takfir ini merupakan isu universal yang berlaku hampir di setiap negara umat Islam khususnya di negara yang memperlihatkan kebangkitan harakah perjuangan Islam. Dapatlah disimpulkan bahawa isu takfir ini adalah suatu isu yang sengaja dimainkan oleh golongan yahudi dan musuh-musuh Islam lain melalui lidah kepimpinan sekular yang beragama Islam.
Dr Yusof Al-Qardhawi turut menggariskan 3 punca utama yang membawa kepada menularnya isu takrif ini secara umum iaitu;
1. Wujud jurang kontradiksi yang luas di antara realiti kebejatan masyarakat dengan idealisme kehidupan Islamiah yang serba menyeluruh. Jurang yang wujud melahirkan rasa kurang senang sehingga membawa kepada sikap menolak atau memencilkan masyarakat yang di luar kelompok sendiri.
2. Penindasan yang keterlaluan dan zalim oleh pihak pemerintah terhadap aktivis Islam sehingga menyebabkan timbul reaksi melampau dari pihak yang dimangsakan akibat provokasi tersebut.
3. Kedangkalan ilmu para pendakwah sendiri tentang hukum hakam dan kaedah dakwah yang terbaik sehingga timbul keberanian yang melulu dalam menghukum dan melabelkan orang lain secara lantang.
Kesimpulannya dalam konteks Malaysia, kewujudan isu takrif pada asasnya merupakan usaha golongan sekular untuk memberikan gambaran yang buruk dan ekstrem terhadap gerakan Islam di negara ini. InsyaAllah, saya akan kembali dengan artikel yang lain untuk membedah semula sejarah dalam isu ini lebih-lebih lagi dari sudut kesan atau kejadian-kejadian penting yang berlaku ketika isu ini memuncak.
No comments:
Post a Comment