1. Segala puji dan puja hanya untuk Allah yang Maha Esa yang mengurniakan nikmat yang tak terhingga, sehingga terkadang menjadikan manusia lupa dan leka, selawat dan salam keatas nabi junjungan, pembawa obor cahaya yang terang benderang menerangi alam semesta.
Sejak akhir-akhir ini, perkara dan soal mengenai bida’ah semakin hangat diperkatakan walaupun ia merupakan perkara lama yang sudah pun diperjelaskan dan diperincikan oleh ulamak-ulamak besar didalam kitab-kitab mereka seperti Imam Shafie, Sheikh ‘Izzudin bin Abdus Salam, Imam As-Sayuti, Imam Ibn Hajar al Asqalani dan juga Imam Ibni Hajar al Haitami dan banyak lagi ulamak-ulamak lain yang turut mengambil bahagian dalam memperjelaskan perkara bida’ah, justeru itu ia dianggap sudah jelas dan nyata, terang seperti bulan purnama, entah macamana dan apa puncanya, akhir-akhir ini diperbincangkan semula, sehingga menjadi isu hangat dan diperkatakan dimana-mana, yang sepatutnya tidak perlu timbul dan tidak perlu diperbincangkan semula.
Oleh kerana perkara ini ditimbulkan semula, diperkatakan secara terbuka, akhirnya masyarakat Islam masakini menjadi keliru, bingung dan tak tentu arah nak dituju, bahkan sudah ada yang berpecah belah semata-mata kerana soal-soal yang remeh temeh yang melibatkan soal khilafiat dan sebagainya, mereka bertanya-tanya mana satukah yang betul untuk diamalkan, bahkan sudah ada yang sanggup menghukum orang lain sebagai sesat, masuk neraka dan sebagainya.
Maka ada baiknya melalui ruang yang agak terhad ini, saya akan cuba sedaya upaya saya untuk menukilkan semula pendapat-pendapat para ulamak serta dalil dan hujah-hujah mereka untuk dihidangkan semula sebagai tatapan umat masa kini agar masyarakat dapat membuat pertimbangan dengan mata hati secara adil tanpa memihak kepada mana-mana pihak dan tidak pula menyalahkan pihak lain tanpa usul periksa.
2. Pengertian
Bida’ah berasal dari suku kata ‘bida’ah’, yang bermaksud disegi bahasanya ialah ‘sesuatu yang direkacipta yang tidak ada contoh sebelumnya’, termasuk apa jua jenis rekacipta yang dihasilkan yang tidak ada sepertinya sebelumnya.
Ini jelas dari firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqaroh ayat 117 yang bermaksud:
“Allah jualah yang mencipta langit dan bumi (dengan segala rupa keindahannya)…”
Didalam kamus bahasa terdapat beberapa pengertian tentang perkataan bida’ah, diantaranya:
2.1. Mengikut kamus al Muhith, Bida’ah ialah ‘sesuatu perkara yang pertama kali diadakan’.
2.2. Mengikut kamus Mukhtarus Sihah, Bida’ah bererti ‘mencipta sesuatu tanpa ada contoh sebelumnya’.
2.3. Didalam kamus Al Muktamad pula menyebut, Bida’ah ialah ‘mencipta dan mengadakannya tanpa berpandukan contoh yang lainnya’.
2.4. Didalam kamus Munjid pula menyebut, Bida’ah ialah ‘apa jua yang dicipta tanpa berpandukan contoh yang wujud sebelumnya’.
2.5. Didalam kamus Marbawi pula menyebut, Bida’ah ialah ‘merekacipta, mendatangkan perkara baru, mula mengadakan sesuatu yang tidak ada sebelumnya’.
Adapun pengertian bida’ah dari segi syarak, terdapat banyak ta’rif yang diutarakan oleh para ulamak mengikut fahaman masing-masing, Cuma saya hanya memetik ta’rif yang dinyatakan oleh Syeikh Izzudin bin Abdus Salam didalam kitabnya ‘Qawa’id al hikam’ yang menyebut:
‘Bida’ah ialah pekerjaan (amalan) yang tidak dilakukan dizaman Rasulullah s.a.w.’
Difahamkan dari pengertian dan ta’rif diatas, jelaslah kepada kita bahawa apa jua pekerjaan, perbuatan mahupun amalan yang ada kaitan dengan agama termasuklah segala amalan atau apa jua pekerjaan yang baik-baik sekalipun, asalkan tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. atau tidak berlaku dizaman Rasulullah s.a.w., maka semuanya termasuk kedalam erti bida’ah (mengikut pengertiannya).
3. Hukum terlibat dengan perkara bida’ah.
Memang ada segelintir umat yang berpendapat dan menghukum orang yang terlibat dengan bida’ah tidak kira sama ada orang itu mencipta perkara bida’ah atau ia hanya sekadar terikut melakukan perkara bida’ah, maka ia adalah salah, sesat dan masuk neraka, mereka berpandukan beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang pada zahirnya jelas memberi erti bahawa perkara bida’ah itu adalah salah dan berdosa bahkan masuk neraka.
Diantara hadis-hadis yang diguna pakai bagi menghukum semua pelaku bida’ah sebagai salah, sesat dan masuk neraka, diantaranya ialah:
3.1. Hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang merekacipta sesuatu dalam urusan agama yang bukan daripada (amalan) kami, maka perbuatan itu ditolak (tidak diterima)”.
3.2. Hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada ‘Aishah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa mengerjakan sesuatu amal perbuatan, yang bukan dari suruhan kami, ia ditolak”.
3.3. Didalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Awas dan berjaga-jagalah kamu mengenai sesuatu perkara baru yang diada-adakan kerana sesungguhnya semua yang bida’ah itu adalah sesat, dan semua yang sesat itu didalam neraka”.
Dengan hanya berpandukan hadis-hadis seperti yang dinyatakan di atas, mereka terus menghukum setiap perkara bida’ah itu adalah salah dan sesat, manakala orang yang terlibat dengan perkara bida’ah sama ada mereka yang menciptakannya atau mereka yang hanya melakukannya sahaja akan dimasukkan ke neraka.
4. Apakah benar semua bida’ah itu sesat dan masuk neraka?
Inilah diantara persoalan yang seringkali dibangkitkan oleh golongan yang meragui tentang kebenaran hukum tersebut, apakah benar semua bida’ah itu salah dan sesat sehingga boleh membawa kepada masuk neraka, apakah disana tidak ada langsung perkara-perkara bida’ah yang dikecualikan? Atau dengan ertikata lain bida’ah yang boleh dilakukan dan tidak dikira salah dan berdosa?
Kalau benar semua orang yang terlibat dengan bida’ah masuk neraka, bagaimanakah pula dengan Saidina Omar Ibnil Khattab, khalifah Islam yang kedua selepas Rasulullah s.a.w. dan Saidina Othman bin Affan, khalifah yang ketiga selepas Umar, mereka banyak mereka cipta dalam agama ini perkara-perkara baru yang dianggap sebagai bida’ah yang tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Saidina Umar Ibnil Khattab, khalifah Islam yang kedua, merupakan orang pertama yang mengarahkan supaya solat terawih dilakukan secara berjamaah di masjid setiap malam dibulan ramadhan dengan menambahkan bilangan rakaatnya kepada dua puluh, sedangkan Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat terawih di masjid hanya beberapa malam sahaja (tidak sepenuhnya) dibulan ramadhan, manakala jumlah rakaatnya hanya lapan sahaja, apakah ini beerti Saidina Umar telah merekacipta perkara bida’ah yang boleh menyebabkan ia masuk neraka?
Saidina Uthman bin Affan pula merupakan orang yang paling banyak merekacipta perkara-perkara baru dalam agama yang boleh dianggap sebagai melakukan perkara bida’ah, diantaranya seperti usaha nekadnya mengarahkan supaya al-Quran disusun dan ditulis semula kedalam satu mushaf dengan meletakkan tanda titik dan barisnya dan dinamakan pula dengan nama Mushaf Othmani, usaha seperti ini tidak dilakukan dizaman Rasulullah s.a.w.
Saidina Uthman juga telah memerintahkan supaya azan untuk solat jumaat dilakukan sebanyak dua kali iaitu azan pertama untuk memberitahu masuknya waktu zohor dan azan kedua menandakan khatib telah pun berada diatas mimbar dan bersedia untuk membaca khutbah, sedangkan semua perkara-perkara ini tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Kalau semua ini dianggap sebagai perkara bida’ah dholalah, sesat dan masuk neraka, maka berpandukan kepada hadis tadi, jelaslah bahawa Saidina Umar dan Saidina Uthman akan dimasukkan ke neraka. Kalau ini benar, bagaimanakah pula dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa Saidina Umar dan Uthman adalah diantara sepuluh orang sahabat yang akan dimasukkan ke syurga tanpa hisab?
5. Bida’ah yang dikecualikan
Jumhur ulamak berpendapat mengatakan bahawa tidak semua bida’ah itu salah, bahkan disana ada perkara-perkara bida’ah yang tidak salah dan boleh dilakukan, adapun mengenai hadis soheh yang mengatakan setiap yang bida’ah itu sesat dan semua yang sesat itu masuk neraka, sebenarnya para ulamak ada penjelasan dan huraiannya.
Para ulamak menerima dan mengakui kesahihan hadis yang mengatakan bahawa setiap yang bida’ah itu sesat dan semua yang sesat masuk neraka, tetapi itu cuma makna zahir hadis sahaja, sepatutnya hadis tersebut perlu dilihat dari beberapa aspek sebelum kita memutuskan kesahihan hukumnya.
Menurut keterangan para ulamak, sepatutnya sebelum kita menetapkan sesuatu hukum sama ada dari al-Quran mahupun hadis, beberapa aspek dan kaedah fiqiyah seperti ‘Mutlak muqaiyid, Nasih Mansukh, Ta’mim Takhsis’ dan beberapa perkara lain lagi perlu diambil kira.
Adapun hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Awas dan berjaga-jagalah kamu mengenai perkara-perkara baru, kerana sesungguhnya semua perkara bida’ah itu adalah sesat dan semua yang sesat didalam neraka”.
Kalau diambil kira makna zahir hadis ini, bererti semua mereka yang melakukan perkara bida’ah tidak kira siapa mereka, termasuklah Saidina Umar dan Saidina Uthman akan dimasukkan ke neraka kerana mereka melakukan bida’ah.
Bagi menjelaskan perkara tersebut, K.H. Sirajuddin Abbas didalam bukunya ’40 masalah agama’ ada menyebut, hadis ini sebenarnya termasuk kedalam kategori hadis umum iaitu menggunakan perkataan ‘kullu’ yang bermaksud semua, tetapi sebenarnya hadis umum ini telah pun ditakhsiskan iaitu dikecualikan beberapa perkara menerusi hadis-hadis lain, sama seperti ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis lain yang didatangkan dalam bentuk umum tetapi dikecualikan beberapa perkara menerusi hadis-hadis Rasulullah s.a.w., contohnya seperti firman Allah dalam surah al A’raf ayat 32 Allah berfirman yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk hamba-hambaNya, dan (demikian juga) benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya”.
Ayat ini didatangkan dalam bentuk umum iaitu semua perhiasan dan semua rezeki adalah halal dan diharuskan bagi semua umat Islam tanpa kecuali, persoalannya bagaimana pula dengan emas dan sutera bagi lelaki, kerana ia juga adalah merupakan perhiasan, apakah lelaki juga boleh memakai emas dan sutera semata-mata kerana berpandukan ayat tadi?, dan bagaimana pula dengan daging babi dan bangkai, apakah iau juga merupakan rezeki yang halal dan boleh dimakan?
Sebenarnya ayat ini adalah ayat umumi, didatangkan dalam bentuk umum, tetapi telah pun ditakhsiskan iaitu dikecualikan beberapa perkara melalui hadis-hadis Rasulullah s.a.w. seperti mengecualikan emas dan sutera bagi lelaki, begitu juga mengecualikan daging babi dan bangkai.
Begitu juga ayat 3 surah al-Maidah Allah berfirman yang bermaksud:
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi…”.
Ayat ini juga diturunkan dalam bentuk umum iaitu semua bangkai adalah haram dimakan tanpa sebarang kecuali, tetapi sebenarnya ayat-ayat ini juga telah ditakhsiskan iaitu dikecualikan beberapa benda melalui hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bangkai ikan dan belalang tidak haram dan boleh dimakan, dan banyak lagi ayat-ayat dan hadis-hadis lain yang didatangkan dalam bentuk umum tetapi dikecualikan beberapa perkara melalui hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Difahamkan dari penjelasan ini, jelaslah kepada kita bahawa hadis yang dinyatakan diawal tadi, adalah juga merupakan hadis umum iaitu menggunakan perkataan semua, tetapi sebenarnya dikhususkan kepada perkara-perkara tertentu sahaja dan dikecualikan beberapa perkara melalui hadis-hadis lain, dan dengan pengecualian ini bererti ada bida’ah yang tidak dihukum sebagai sesat, tidak salah dan tidak masuk neraka walaupun masih kekal dengan nama bida’ah.
6. Apakah bida’ah yang tidak salah?
Tidak semua para ulamak sepakat tentang hukum mengenai bida’ah, hanya sebilangan kecil sahaja mereka yang menghukum semua bida’ah adalah salah, sesat dan masuk neraka, tidak kira apa jenisnya, asalkan ia bida’ah maka ia adalah dikira salah dan berdosa, mereka beralasankan hadis yang mengatakan semua perkara bida’ah itu adalah sesat dan semua yang sesat masuk neraka.
Manakala sebilangan besar ulamak yang lainnya telah memfatwa mengatakan bahawa tidak semua bida’ah itu salah bahkan ada diantara perkara bida’ah yang tidak salah dan boleh dilakukan, bahkan ada bida’ah yang mesti dilakukan.
Golongan ini berdalil dengan beberapa hadis diantaranya hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengadakan sesuatu dalam Islam satu sunnah yang baik lalu diamalkannya oleh orang-orang lain selepas (kematian)nya, maka ditulis untuknya pahala sama seperti mana (pahala bagi) orang yang mengamalkannya dan tidak dikurangkan pahalanya sedikit pun, dan sesiapa yang mengadakan dalam ini suatu sunnah yang keji, lalu diamalkannya oleh orang-orang lain selepas (kematian)nya, maka ditulis untuknya dosa sama seperti mana (dosa bagi) orang yang mengamalkannya dan tidak akan dikurangkan dosa sedikit pun.” Riwayat Muslim.
Hadis ini adalah diantara hadis-hadis takhsis yang mengecualikan perkara-perkara yang tidak dihukum sebagai sesat dan masuk neraka, dan dengan berpandukan hadis ini serta penjelasan sebelumnya, maka sebilangan besar para ulamak mengatakan bahawa memang terdapat bida’ah yang tidak salah iaitu bida’ah hasanah yang baik untuk dilakukan.
Berpandukan kepada hadis ini juga, para ulamak membahagikan bida’ah itu kepada dua jenis iaitu bida’ah yang baik dan bida’ah yang keji.
6.1. Bida’ah yang baik (hasanah).
Apa itu bida’ah hasanah? Bida’ah hasanah ialah perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tetapi ia adalah bida’ah yang baik dan boleh dilakukan, ia tidak dikira salah dan tidak berdosa walaupun dinamakan bida’ah.
Al-Imam Abu Na’im didalam kitabnya ‘Fathul Bari’ ada menyebut sebagai memetik kata-kata Imam Syafie yang bermaksud:
“Bida’ah itu ada dua jenis, bida’ah yang terpuji dan bida’ah yang tercela (keji), apa jua yang menepati sunnah, maka ia adalah bida’ah yang terpuji, dan apa-apa yang menyalahi sunnah maka ia adalah bida’ah yang tercela (keji)”
Begitu juga Al-imam Baihaqi didalam kitabnya Manakib as-Syafie ada menyebut yang bermaksud:
“Perkara baru itu ada dua jenis, apa jua perkara baru yang menyalahi al-Quran dan hadis atau athar atau ijmak maka ini ialah bida’ah yang sesat, apa jua perkara baru dalam bentuk kebaikan yang tidak menyalahi semua perkara tersebut maka ia adalah perkara baru yang tidak tercela”.
Dari penjelasan para ulamak diatas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa memang ada bida’ah yang baik dan ada pula bida’ah yang keji, cuma untuk menentukan sama ada bida’ah itu baik atau keji, perlu dilihat apakah ia menyalahi sunnah atau pun tidak, jika sekiranya pekerjaan itu tidak menyalahi sunnah dan tidak ada pula nas yang melarangnya maka ia boleh dilakukan walaupun masih kekal dengan nama bida’ah.
6.2. Bida’ah yang keji (saiyyiah).
Bida’ah saiyyiah pula ialah sesuatu yang direkacipta dan diamalkan sebagai amalan agama sedangkan ia bukan dari agama bahkan bertentangan dengan sunnah dan dilarang oleh agama. Jika ini dilakukan maka inilah yang dikatakan bida’ah saiyyiah iaitu bida’ah yang keji, sesat dan masuk neraka.
Kesimpulannya jelas menunjukkan bahawa untuk menentukan sesuatu bida’ah itu salah atau pun tidak, bukanlah semata-mata kerana tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tetapi yang penting apakah ia menyalahi sunnah atau pun tidak, inilah soal pokoknya, sekiranya ia tidak menyalahi sunnah dan tidak ada nas yang melarang maka bolehlah ia dilakukan.
Berdasarkan kepada inilah, para ulamak berpendapat mengatakan bahawa memang ada bida’ah yang hasanah, iaitu bida’ah yang baik dan boleh dilakukan selagi ia tidak menyalahi sunnah mahupun hukum syarak, bukan semata-mata kerana tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Al-Imam Sayuti didalam kitabnya Tanwirul Halik ada menyebut yang bermaksud:
“Asal (pengertian) bida’ah itu ialah sesuatu yang direkacipta tanpa berpandukan contoh sebelumnya, diertikan disegi syarak ialah sesuatu yang berlawanan dengan sunnah, iaitu sesuatu yang tidak ada dizaman Rasulullah s.a.w., kemudian (bida’ah) terbahagi kepada hukum yang lima”. Yang dimaksudkan dengan hukum yang lima disini ialah wajib, haram, sunat, makruh dan harus.
7. Jenis-jenis bida’ah.
Dari apa yang dijelaskan sebelum ini jelas kepada kita bahawa bida’ah itu terbahagi pula kepada lima jenis iaitu bida’ah wajib, bida’ah haram, bida’ah yang sunat, bida’ah makruh dan ada bida’ah yang diharuskan.
6.1. Bida’ah yang wajib.
Iaitu perkara yang tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dan memang tidak ada di zaman Rasulullah s.a.w. tetapi wajib kita lakukan kerana kepentingan dan keperluannya, diantara contohnya ialah seperti membina sekolah, kolej, maktab mahupun universiti, semua ini tidak ada dizaman Rasulullah s.a.w.
Dikatakan wajib kerana keperluan dan kepentingannya dan tidak pula menyalahi sunnah, bahkan ianya sejajar dengan kehendak sunnah demi kepentingan umat Islam sejagat.
Didalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ibni ‘Uddi dan al-Baihaqi yang bermaksud:
“Menuntut ilmu itu adalah satu kewajipan keatas setiap individu muslim”.
Oleh kerana menuntut ilmu itu adalah satu perintah wajib, maka menyediakan segala prasarana dan kemudahan untuk tujuan tersebut adalah juga merupakan satu kewajipan, tanpa sekolah mahupun tempat belajar, macamana umat Islam hendak menuntut ilmu sedangkan menuntut ilmu itu wajib.
Begitu juga dengan usaha yang dilakukan oleh Saidina Uthman menulis semula al-Quran dalam satu mushaf, ia bertujuan bagi memudahkan seluruh umat Islam khususnya mereka yang bukan dari kalangan orang arab untuk membacanya, ini adalah kerana membaca al-Quran itu adalah ibadah, bagaimana umat Islam hendak melakukan ibadah jika sekiranya mereka tidak tahu membaca al-Quran.
Pada ketika Abu al-Aswad dan pembantu-pembantunya sedang giat menulis dan menyusun semula al-Quran kedalam satu mushaf seperti mana yang diperintahkan oleh Khalifah Saidina Uthman, tidak ada seorang pun dari kalangan para sahabat yang menentang usaha-usaha tersebut bahkan mereka merestuinya. Banyak lagi contoh-contoh lain yang termasuk kedalam kategori bida’ah yang wajib.
6.2. Bida’ah yang haram (sesat).
Iaitu merekacipta sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan jelas bertentangan dengan al-Quran mahupun hadis, tidak kira sama ada disegi akidah mahupun ibadat dan ia termasuk kedalam bida’ah yang sesat dan masuk neraka.
6.2.1. Dari segi akidah.
Banyak berlaku penyelewengan disegi akidah dalam bentuk dakwaan dan pengakuan yang sengaja direkacipta dan diada-adakan sedangkan ia bertentangan dengan agama, contohnya seperti mengakui atau mempercayai seseorang itu ada kuasa boleh menangguhkan kematian seseorang, menukarkan atau menggantikan orang yang sepatutnya mati dengan orang lain.
Semua ini jelas bertentangan dengan firman Allah dalam al-Quran surah Al-Araf ayat 34 yang bermaksud:
“Dan bagi tiap-tiap umat itu ada tempoh ajalnya, maka apabila sampai tempoh ajalnya, tidaklah mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak pula mereka didahulukan”.
Begitu juga dengan contoh-contoh lain seperti mempercayai orang yang telah meninggal dunia dan telah dikebumikan berpuluh-puluh tahun yang lalu, masih hidup dan akan keluar dari kuburnya sebagai Imam Mahdi, mempercayai seseorang itu sebagai nabi dan rasul selepas nabi Muhammad s.a.w., mempercayai seseorang itu boleh membantu dan menolong orang lain untuk menjawab soalan munkar nakir, dan berbagai-bagai lagi yang mana semua ini tergolong kedalam bida’ah dholalah, sesat dan masuk neraka.
6.2.2. Disegi ibadat.
Bida’ah disegi ibadat pula seperti mendakwa kononnya untuk mengerjakan haji tidak perlu mengunjungi Baitullah di Mekah bahkan boleh dilakukan ditempat-tempat lain.
Ini jelas bertentangan dengan firman Allah dalam surah ‘Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud:
“… dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitillahil Haram (di Mekah) iaitu bagi mereka yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya…”.
Dan banyak lagi contoh-contoh lain yang bertentangan dengan sunnah mahupun hukum syariat seperti amalan berzikir dan berwirid beramai-ramai dengan suara yang tinggi didalam gelap dan bercampur gaul diantara lelaki dan perempuan, amalan bercukur jambul dengan hanya menggunting sedikit sahaja rambut dikepala bayi dan memasukkannya kedalam buah kelapa muda, amalan menepung tawar, memuja kubur yang dianggap wali dan keramat, semua ini amat bertentangan dengan sunnah dan dilarang oleh agama maka sebab itu dinamakan bida’ah yang keji dan tercela, sesat dan masuk neraka.
Inilah diantara bida’ah yang termasuk kedalam maksud hadis yang diutarakan diawal tadi.
6.3. Bida’ah yang sunat.
Iaitu sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. tetapi disunatkan kita melakukannya, contohnya seperti membaca talqin keatas jenazah yang baru dikebumikan, amalan ini amat tidak disukai dan ditentang hebat oleh sesetengah golongan, sedangkan ia sebenarnya tidak bertentangan dengan sunnah mahupun syarak.
Ulamak mazhab Syafie dan ulamak mazhab yang lainnnya kebanyakkannya telah menfatwakan bahawa membaca talqin keatas jenazah yang baru dikebumikan hukumnya adalah harus bahkan disunatkan, mereka berhujjah dengan berpandukan beberapa hadis, diantaranya hadis Abu Umamah, hadis sohih yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Saidina Uthman bin Affan telah berkata ia yang bermaksud:
“Telah adalah Rasulullah s.a.w. apabila selesai mengkebumikan jenazah baginda berdiri diatas kubur itu seraya berkata, pohonlah keampunan untuk saudara kamu ini dan pintalah supaya Allah tetapkan pendiriannya (dalam iman dan Islam) kerana sebentar lagi ia akan di soal”.
Para ulamak mengatakan bahawa hadis ini bermaksud memberi faham kepada si mati dan mengajarnya bagaimana hendak menjawab soalan munkar nakir disamping memohon keampunan untuknya, inilah yang dikatakan talqin seperti mana yang diamalkan oleh kebanyakkan orang sekarang ini.
Al-Imam Nawawi didalam kitabnya Al-Azkar… ada menyebut, talqin keatas jenazah yang baru dikebumikan telah sepakat kebanyakan para ulamak besar mengatakan bahawa hukumnya adalah harus dan amat digalakkan, seterusnya Imam an-Nawawi memetik fatwa As-Syeikh Imam Abu Umar didalam kitab fatwanya; “membaca talqin keatas jenazah yang baru dikebumikan adalah cara amalan kami dan itulah yang kami pilih”.
As-Syeikh Said Al-Bukri ibni As-Said Muhammad Al-Masri didalam kitabnya I’anatul Talibin menerangkan secara jelas bentuk talqin yang diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w. melalui hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan dikehendaki supaya dibaca keatas jenazah yang baru dikebumikan.
Termasuk kedalam kategori bida’ah sunat seperti melakukan dua kali azan bagi solat jumaat, bahkan disesetengah negara Islam mereka melakukan dua kali azan bagi solat Subuh, solat terawih dua puluh rakaat bahkan sehingga tiga puluh rakaat secara berjamaah di masjid, berzikir dan berwirid beramai-ramai sebaik selesai solat fardhu dan banyak lagi perkara-perkara lain yang mana semuanya tidak menyalahi sunnah bahkan berpandukan kepada nas dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. sendiri.
6.4. Bida’ah Makruh.
Iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w., cuma ulamak fekah sekadar menghukum sebagai makruh jika dilakukan, contohnya seperti melakukan solat dhuha secara berjemaah, menghiasi masjid dengan berbagai-bagai bentuk ukiran serta perhiasan dan berbagai-bagai lagi.
6.5. Bida’ah Harus.
Iaitu sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. tetapi dibolehkan kita melakukannya contohnya seperti membaca al-Quran, bertahlil dan menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati seperti mana yang diamalkan oleh kebanyakan orang masa kini yang dikenali dengan tahlil arwah.
Amalan ini juga ditentang oleh golongan-golongan tertentu dan menghukumnya sebagai sesat dan masuk neraka semata-mata kerana tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. mereka juga mengatakan pahala bacaan al-Quran tidak akan sampai kepada si mati, semata-mata berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Apabila mati seorang anak adam maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya”.
Didalam hadis ini ada menyebutkan perkataan ‘amalannya’, yang dimaksudkan dengan ganti nama ‘nya’ didalam hadis ini ialah kembali kepada si mati, ertinya amalan si mati itu sahaja yang terputus, ia tidak boleh lagi hendak melakukan amal ibadat seperti solat, puasa, haji mahupun ibadat-ibadat yang lain kerana ia telah meninggal dunia melainkan sekadar apa yang telah ia lakukan semasa hidup termasuklah tiga perkara seperti yang dinyatakan didalam hadis tersebut.
Adapun orang yang masih hidup tidak kira sama ada saudara maranya atau pun siapa sahaja boleh melakukan amal-amal kebaikan seperti sedekah, membaca al-Quran dan melakukan ibadat haji mahupun umrah dan menghadiahkan pahala untuknya, ini jelas berpandukan hadis yang diriwayatkan daripada Buraidah yang bermaksud:
“Diriwayatkan daripada Buraidah telah berkata ia, telah datang kepada Rasulullah s.a.w. seorang perempuan lalu berkata ia, Ya Rasulullah, ibu saya telah meninggal dunia dan ia belum lagi mengerjakan ibadat haji, lalu baginda menjawab, kerjakanlah olehmu akan haji untuk ibu kamu”.
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa seseorang itu masih boleh mengerjakan ibadat haji untuk orang yang telah meninggal dunia, kalau ini boleh dilakukan, beerti ibadat yang lain juga boleh dilakukan selagi syarak tidak menghalangnya, atau selagi tidak ada nas yang menegah berbuat demikian.
Banyak lagi contoh-contoh lain yang tidak mampu untuk dimuatkan didalam ruangan yang agak terhad ini yang termasuk kedalam kategori bida’ah yang diharuskan, diantaranya seperti berangkat ke Mekah untuk mengerjakan haji atau umrah dengan menaiki pesawat bukan menaiki unta, makan dengan menggunakan sudu dan garpu atau menggunakan chopstik, semuanya diharuskan selagi tidak ada nas yang melarang.
As-Syeikh Daud Fatani seorang ulamak nusantara yang terkenal dalam kitabnya Furu’ Masail memetik dan menterjemahkan salah satu dari kitab karangan seorang ulamak fekah yang terkenal iaitu Al-Alamah As-Syeikh Muhammad Ramli sebagai menjawab soalan orang yang bertanya kepadanya;
“Adakah benar pendapat yang mengatakan ada bida’ah yang wajib?”
Jawapannya, “memang terdapat bida’ah yang wajib yang dituntut dan diwajibkan supaya kita melakukannya, contohnya seperti kita diwajibkan mempelajari ilmu nahu dan saraf sebagai alat yang dengannya dapat memahami al-Quran dan sunnah Rasul, mempelajari ilmu-ilmu seperti ini adalah wajib.
Dalam konteks untuk memahami hukum syariat sama ada melalui al-Quran mahupun hadis adalah merupakan perkara wajib, dan kita tidak akan dapat memahami hukum syariat melainkan terlebih dahulu memahami ilmu nahu dan saraf, ini bererti jika kita tidak dapat hendak menyempurnakan sesuatu yang wajib melainkan terpaksa dengannya, maka ia juga dikira sebagai wajib.
Adapun diantara bida’ah yang sesat ialah seperti (fahaman) Qadariyah, Murjiah dan Mujassamah. Mereka ini terang-terang menolak wujudnya bida’ah yang wajib.
Adapun bida’ah yang makruh ialah seperti menghias bangunan masjid dan sekolah-sekolah (agama).
Manakala bida’ah yang tercela (mazmumah) ialah sesuatu yang menyalahi syarak, bida’ah yang termasuk kedalam kategori ini dikira sesat dan masuk neraka.
Dari penjelasan dan petikan daripada kitab-kitab seperti yang dinyatakan diatas jelas menunjukkan bahawa tidak semua perkara yang tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. tidak boleh kita lakukan, kerana masih terdapat bida’ah dalam beberapa kategori sama ada yang diwajibkan, yang sunat, atau yang diharuskan, kerana ia termasuk kedalam bida’ah hasanah, iaitu bida’ah yang baik, kalau semata-mata beralasankan kerana tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. maka alasan tersebut bukan dalam bentuk ilmiah dan seharusnya ditolak.
Artikel : DATUK ABU HASSAN DIN AL HAFIZ
No comments:
Post a Comment