Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Friday, June 24, 2011

"Ustazah Pilihan" Atara Realiti Dan Fantasi

Rakyat Malaysia hari ini semakin dihidangkan dengan pelbagai program realiti TV yang boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Satu persatu program realiti TV diperkenalkan oleh stesen-stesen TV sama ada stesen TV percuma mahu pun stesen TV berbayar. Daripada program berbentuk hiburan seperti Akademia Fantasia dan Mentor hingga kepada program berbentuk ilmiah seperti Akademi Al-Quran dan Imam Muda.

Terbaru, satu lagi program realiti TV diperkenalkan oleh Astro Oasis yang berjudul Ustazah Pilihan yang akan memaparkan pencarian muslimah sejati merangkumi segala aspek kehidupan seperti pendidik, pembimbing dan pemimpin kaum wanita dalam masyarakat. Menerusi Ustazah Pilihan, 10 peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi meneruskan pembelajaran amali dan praktikal yang diperlukan sepanjang lapan minggu di akademi, yang bertujuan memantapkan pengetahuan dari aspek keagamaan, hal ehwal teknologi, kewangan, kemasyarakatan serta kekeluargaan. Mereka akan diberikan tugasan tertentu sepanjang minggu berlandaskan format kitaran kehidupan yang membabitkan isu semasa berkaitan wanita manakala pendekatan yang digunakan pula harus relevan dengan realiti wanita zaman kini, malah markah diberikan bersandarkan kedua-dua kerja iaitu hasil kerja kumpulan serta kesungguhan individu itu sendiri.

Hari ini, rancangan-rancangan televisyen yang berkonsepkan keagamaan dan ketuhanan makin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia khususnya umat Islam. Bukan sahaja industri lakonan yang semakin rancak dengan penghasilan filem dan drama berkonsepkan keagamaan dan ketuhanan bahkan personaliti-personaliti seni turut sama mula kembali ke jalan fitrah. Kita lihat bagaimana satu anjakan paradigma berlaku dalam hidup beberapa personaliti TV seperti Malek Nor, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Irma Hasmie dan Catriona Ross. Malah antara yang paling mengejutkan ialah dengan kehadiran kumpulan Al-Mawleed yang terdiri daripada bekas anggota tiga kumpulan penyanyi urban terkenal iaitu Ruffedge, VE dan Innuendo yang kini beralih ke lagu-lagu berbentuk kerohanian. 

Penghijrahan personaliti-personaliti terkenal tanah air diterima baik oleh masyarakat. Kita sememangnya mengharapkan nilai-nilai Islam diterapkan dalam segala aspek kehidupan termasuk dalam aspek hiburan seperti ini. Tambahan pula, realiti hari ini memperlihatkan bagaimana industri hiburan menjadi pengaruh besar kepada pemikiran dan perilaku kebanyakan masyarakat lebih-lebih lagi anak muda. Perkembangan ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Islam lain untuk mencontohi nilai-nilai Islam yang ditunjukkan. 

Lantas, apabila pertama kali mendengar hebahan Ustazah Pilihan, rasa begitu teruja untuk menonton rancangan tersebut. Title “Ustazah Pilihan” pasti menjanjikan ikon wanita muslim yang memiliki ciri-ciri pilihan seperti berilmu, berakhlak tinggi, bijak, petah berbicara dan ciri-ciri tambahan lain yang bakal melayakkan seseorang itu menjadi “Ustazah Pilihan”. Sudah terbayang di fikiran bagaimana ramainya nanti muslimah di luar sana yang akan menjadi penonton dan peminat setia rancangan Ustazah Pilihan. Pasti akan ramai juga jejaka-jejaka di luar sana turut teruja dan setia menonton wanita-wanita muslim peserta Ustazah Pilihan. Jika rancangan Imam Muda mendapat sambutan hangat daripada masyarakat muslim khususnya anak muda, saya yakin dan percaya rancangan Ustazah Pilihan akan mendapat sambutan yang jauh lebih hangat. 

Pendekatan dakwah dengan memperkenalkan program Ustazah Pilihan merupakan satu alternatif yang pada awalnya dilihat mampu memberi manfaat kepada penontonnya. Pasti akan ada penonton-penonton wanita yang mula menjadikan peserta-peserta Ustazah Pilihan sebagai idola mereka, mencontohi peribadi mereka dan mula memasang angan-angan mahu menjadi seperti mereka! Tidak kurang pula penonton-penonton dari kaum Adam, pasti akan ada yang bercita-cita mahukan pasangan hidup yang mempunyai ciri-ciri seperti peserta-peserta Ustazah Pilihan yang mana antara kelayakan mereka menjadi peserta ialah berkebolehan dalam komunikasi, berilmu, berpegang kukuh kepada agama, berdaya fikir tinggi serta matang.

Jika diberi pilihan sama ada untuk membiarkan masyarakat khususnya anak-anak muda menonton rancangan Akademi Fantasia atau Ustazah Pilihan, sudah tentu kami memilih Ustazah Pilihan!

Namun begitu, jika dilihat dari satu sudut pandang yang lain, kami cukup bimbang sekiranya perlaksanaan program Ustazah Pilihan nanti tidak selari dengan syariat yang Islam tetapkan. Teori selalunya lebih mudah berbanding praktikal. Walaupun pihak penganjur mengatakan bahawa program ini akan berpaksikan hukum syarak namun sejauh mana hal ini terjamin sepanjang perlaksanaan nanti yang pastinya setiap perkara akan datang bersama ujian dan cabaran. 

Kami mula mempersoalkan bagaimana agaknya penampilan peserta-peserta Ustazah Pilihan nanti. Kalau peserta Imam Muda tampil dengan imej segak dan menarik, apatah lagi kaum Hawa. Adakah wanita-wanita yang bakal menghiasi pentas Ustazah Pilihan akan berpakaian menarik walaupun menutup aurat? Yakinkah kita tidak akan terjadinya tabarruj iaitu berhias untuk memperlihatkan perhiasan badannya (mekap/gaya tudung)? Tidakkah program seperti ini secara tidak langsung akan mempertontonkan personaliti wanita? Di mana pula perasaan malu seorang wanita apabila dipertontonkan di khalayak ramai untuk dinilai, disebut-sebut kelebihannya malah dipertandingkan peribadinya sedangkan istimewanya seorang wanita itu pada sifat malunya. 

Adapun bila menyebut soal kecantikan, pasti akan ada penonton rancangan Ustazah Pilihan yang memandang kepada kecantikan peserta lebih-lebih lagi penonton lelaki. Terjaminkah peserta-peserta Ustazah Pilihan tidak akan dipandang dan memandang? Sudah tentu tidak. Dan yang paling menjadi kebimbangan ialah apabila memikirkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar yang dihadapi kaum lelaki kecuali fitnah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim). Tidak akan tergugatkah iman kaum Adam walaupun sedikit apabila memandang peserta-peserta Ustazah Pilihan yang berkemungkinan menjadi idaman penonton-penonton lelaki kelak? Layakkah wanita-wanita yang menjadi tontonan lelaki, yang namanya sering meniti di bibir lelaki malah yang mungkin menjadi khayalan lelaki diangkat menjadi “Ustazah Pilihan”?? Sedangkan kita tahu wanita yang baik tidak dipandang dan tidak memandang.
 
“Ustazah Pilihan” yang sebenar menurut pandangan kami bukanlah wanita yang hanya memiliki ilmu yang tinggi dan bakat yang luar biasa tetapi adalah wanita yang teguh aqidahnya, istiqamah ibadahnya dan mulia akhlaknya. Sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan: Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad). 

Kami suka untuk mengambil pendekatan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Kami melihat lebih banyak mudarat (keburukan) daripada maslahat (kebaikan) yang mungkin timbul daripada program Ustazah Pilihan. Banyak lagi pendekatan dakwah yang kita boleh ambil selain daripada mempertontonkan wanita kepada umum. Jika pihak penganjur masih berhajat mahu membentuk ikon pendakwah wanita melalui landasan akademik seperti ini, kami mencadangkan agar ia dijalankan secara tertutup dan tidak bersifat pertandingan. Islam memuliakan dan menghormati wanita, maka layanilah mereka dengan adil dan benar. 

Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah" (Hadis Riwayat Muslim)

Penulis adalah Syahirah Zulkifli Timbalan Majlis Dakwah Dan Kebajikan GAMIS

1 comment:

  1. Mulan sangat suka tengok ustazah pilihan nieh...
    singgah dari : http://emasriee.blogspot.com/

    ReplyDelete