Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Thursday, June 23, 2011

Coretan Seorang Anak


Harapan Pada Ayah Dan Ibu (UNIC)

Ayah Dan Ibu

Ayah dan ibu
Itulah permulaan kami
Dapatlah melihat bulan dan
Matahari
Ahai...

Yang dikurniakan dari Ilahi
Ahai...
Ayah dan ibu lah
Mesti dihormati

Ayah dan ibu
Wali dan juga keramat
Pada mereka kita beri hormat
Ahai...
Bagilah tunjuk ajar dan
Nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup kita akan selamat

Ke hadapan ibu dan ayah yang along sayangi,
 
Inilah lirik lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman. Oleh kerana sedihnya apabila along menghayati lagu ini dan betapa rasa bersalah telah menyelubungi hati along, maka di sini along coretkan perasaan hati dan luahan hati along yang lama along pendamkan. Sebelum itu along nak mohon berjuta-juta kemaafan yang tak terhingga, daripada hujung rambut hingga hujung kaki, daripada nafas pertama along di dunia ini hinggalah along besar sekarang ini, daripada setiap perbuatan, ucapan dan lintasan hati along, along memohon berjuta-juta kemaafan andai ada walau sedikit kesalahan sama ada secara sedar atau tak dan yang menggores hati ibu dan ayah atau pun tidak, along mohon dimaafkan segala-galanya. 

Kepada ibu yang along sangat-sangat kasihi,

Wahai ibu, along mohon ibu halalkanlah setiap titis air susu ibu yang telah masuk ke dalam diri along. Along memohon ibu halalkan setiap makanan yang telah ibu masak dan masuk ke dalam diri along. Ibu, along mohon ibu halalkan setiap pengorbanan ibu yang dah ibu curahkan untuk along. Sungguh kalau ibu minta along balas balik jasa-jasa ibu itu pasti along takkan mampu walaupun along berikan setiap emas yang ada di atas bumi ini, pasti takkan mampu walau along berikan segala perhiasan yang ada di atas dunia ini. Jadi along mohon ibu halalkan semua yang dah ibu bagikan kepada along termasuk kasih sayang yang ibu dah berikan kepada along yang takkan mampu along ganti walau dikumpulkan setiap kasih sayang insan kepada diri along. Ibu, along mohon ibu ampunkan along dari saat along dilahirkan sampailah ke hari ini dan untuk sisa-sisa hidup along yang ada. Along memohon ampun dan maaf daripada sekecil-kecil kesalahan yang membuatkan ibu sedih sehinggalah ke sebesar-besar kesalahan along sampai membuat ibu menitiskan air mata oleh kerana kesalahan along. Sungguh along tak pernah lupa hari di mana along dah makan kuih pada suatu hari sehingga membuatkan ibu menangis. Mungkin pada saat itu along terasa ianya perkara yang kecil tapi kalau ibu tak ampunkan along, macam mana along nak jawab kat depan Allah nanti. Macam mana pada masa tu tergamak along membuat ibu menangis. Itu yang along nampak, yang along tak nampak mungkin banyak lagi. Oleh itu along memohon ampun dan maaf yang tidak terhingga atas setiap kesalahan yang telah along buat kat ibu. Ibu, along tahu along ni seorang budak yang nakal, jadi pasti banyak kesalahan along. Masa kecil dulu pun along yang paling banyak kerenah kan ibu. Jadi along minta halal dan ampun maaf atas segala-galanya. Sekali lagi ibu, along mohon maaf sangat-sangat kepada ibu atas segala dosa along kepada ibu sedari along dalam perut ibu lagi sampailah ke hari along menghembuskan nafas along yang terakhir dan jika ada salah dan silap along yang along buat secara sedar ataupun tak.

Kepada ayah yang along sangat-sangat kagumi,

Wahai ayah, sungguh ayahlah sebenarnya idola dalam hidup along. Dari kecil sampai besar, along sentiasa bercita-cita nak jadi macam ayah. Ayah, along mohon ayah halalkanlah setiap keringat yang telah ayah titiskan hanya semata-mata untuk memberi makan kepada anak ayah yang langsung tak mengenang budi ni. Ayah, along mohon ayah halalkan setiap sen yang ayah dah bagi dan yang ayah dah keluarkan untuk along. Ayah, along minta ayah ampunkan along dari hari pertama along turun ke dunia ini sehinggalah ke akhir hayat along andai along ada terkasar bahasa walaupun sepatah kata "ah" yang telah terkeluar daripada mulut along yang telah membuatkan ayah marah atau terasa hati. Along pasti along dah buat ayah marah banyak kali kan. Ayah, along tahu ayah tak pernah zahirkan rasa hati ayah apabila ayah terasa hati kat along. Ayah, along minta halal jika ada setitis air mata ayah yang tumpah ke bumi oleh kerana sikap along yang kurang ajar dan yang tak mengenang budi ni yang telah mengguris hati ayah. Ayah along mohon ayah maafkan setiap perbuatan along yang terzahir atau yang tak, setiap perkataan along hatta setiap perkara yang terlintas di hati along yang boleh membuatkan ayah terasa hati kepada along. Ayah kalau ayah tak redha kat along, macam mana along nak dapat redha Allah ayah. Jadi along mohon ayah redha setiap perbuatan anak ayah ini yang sering kali membuat sesuatu perkara tanpa memikirkan perasaan ayah terlebih dulu.

Wahai ibu dan ayah yang along sangat-sangat hormati,

Ibu dan Ayah, andai kata ayah dan ibu terasa terkilan sebab along tak dapat nak penuhi cita-cita ibu dan ayah, along mohon berjuta-juta ampun dan maaf. Ibu dan Ayah, sungguh andai ibu dan ayah terasa terkikan sebab along tak dapat nak penuhi cita-cita ibu dan ayah, percayalah along beribu-ribu kali rasa terkilan sebab tak dapat nak penuhi cita-cita ibu dan ayah tu. Walaupun ibu dan ayah melihat along dapat ketawa secara zahirnya tapi ibu dan ayah mungkin tak tahu berapa banyak air mata along ni yang telah along tumpahkan sejak dari along tak dapat straight A dalam spm, di hari along dapat tahu yang along tak dapat ambil medik dan sehinggalah ke hari ini. Betapa along dah sia-siakan setiap sesuatu peluang untuk membalas jasa ibu dan ayah. Ibu dan ayah harapkan along dapat ambil medik tapi along dah sia-siakan peluang untuk membuatkan ibu dan ayah merasa bangga terhadap along. Tapi ayah dan ibu, percayalah along dah cuba bersungguh-sungguh untuk membuatkan ibu dan ayah berasa bangga sebab mempunyai anak seperti along tapi terbukti yang along bukanlah anak yang boleh ayah dan ibu banggakan bahkan along lebih banyak buat ibu dan ayah bersedih daripada berbangga. Ibu, Ayah, ketahuilah betapa along telah cuba untuk membuatkan ibu dan ayah berasa bangga kepada along. Along dah buang cita-cita along untuk menjadi seorang pelajar agama atau ustaz dan cuba untuk menjadi seorang doktor seperti impian ibu dan ayah tapi ternyata along dah gagal. Jadi along betul-betul memohon sejuta kemaafan kerana tak dapat menjadi anak yang boleh dibanggakan oleh ibu dan ayah. 


Wahai Ibu, Wahai Ayah,

Ibu, Ayah, along betul-betul minta maaf. Along sedar along tak dapat membalas segala jasa ibu dan ayah dan along juga tak dapat nak buat ibu dan ayah berasa bangga kepada along. Along minta maaf banyak-banyak. Along minta maaf banyak-banyak. Along minta maaf banyak-banyak sebab along dah banyak menyusahkan ibu dan ayah tapi sedikitpun along tak mampu nak balas pengorbanan ibu dan ayah tu. Betapa along ni tak menghargai anugerah ibu dan ayah yang telah Allah kurniakan kepada along ni sedangkan ramai kawan-kawan along di luar sana begitu ingin merasakan belaian kasih seorang ayah dan ibu yang along dapat ni. Along minta maaf ya ayah, along minta maaf ya ibu. Andai ditakdirkan along pergi dulu sebelum ayah dan ibu, along mohon ibu dan ayah halalkan setiap apa yang telah ayah dan ibu berikan dan maafkanlah kesalahan along sejak dari dalam kandungan sehinggalah ke akhir hayat along. Sungguh, ibu dan ayah adalah ibu dan ayah yang terbaik yang along pernah jumpa dan tak akan bisa ditukar ganti.

Khas buat ayah dan ibuku yang tercinta,
Nukilan daripada anakmu.

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْراً حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya : Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". (al-Ahqaf : 15)



No comments:

Post a Comment