Tajuk ini adalah berkaitan dengan orang yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan sedangkan ia sendiri tidak beramal dengan apa yang disuarakannya, dengan itu Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:- Maksudnya: Patutkah kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal. (Al-Baqarah: 44)
Al-Imam al-Baidhowiy menegaskan; ayat ini menggesa supaya membersihkan jiwa dan menyempurnakan diri sendiri agar seseorang itu mampu untuk memperbaiki orang lain pula. Ayat ini tidak menegah orang fasiq daripada memberi nasihat kepada orang lain, kerana jika seseorang gagal menyempurnakan salah satu daripada dua kewajipan tersebut, tidak semestinya dia perlu melepaskan atau mengabaikan kedua-dua tanggungjawab dan kewajipan tersebut.
Al-Imam al-Qurtubiy menjelaskan ayat ini dengan hadis:- Maksudnya: Seorang didatangkan pada hari qiamat lalu dihumban ke dalam neraka maka terburailah segala isi perutnya, kemudian diputarkan sepertimana keldai mengelilingi pengisar air. Melihat keadaan ini ahli neraka berhimpun padanya dan mereka berkata: Wahai fulan! Tidakkah engkau mengerjakan amar ma`ruf dan nahi mungkar. Orang itu menjawab: Ya, sememangnya dahulu aku menyuruh perkara ma`ruf tetapi aku tidak melakukannya dan aku menegah kemungkaran tetapi aku melakukannya. (Riwayat Bukhoriy)
Hadis ini memaparkan balasan yang lebih dahsyat bagi mereka yang mengetahui perkara yang ma`ruf dan kemungkaran, dan ia juga mengetahui tentang wajibnya melaksanakan tugasan ini (tugas amar ma`ruf dan nahi mungkar) berbanding orang yang tidak mengetahui. Ini kerana mereka seolah-olah memperkecil-kecilkan hal-hal yang diharamkan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla, dan memperlekehkan hukum-hakam. Mereka adalah orang yang tidak mengambil manfaat daripada ilmunya.
Bersabda Rasulullah SAW: Maksudnya: Manusia yang menanggung azab yang paling pedih pada hari qiamat ialah orang yang mengetahui tetapi tidak mengambil manfa`at dengan ilmunya.(Diriwayatkan daripada Abu Hurairah)
Berkaitan dengan perkara di atas, al-Imam al-Qurtubiy mengemukakan pandangannya: Ketahuilah - semoga Allah ‘Azza Wa Jalla memberi taufik kepada kamu - bahawasanya celaan di dalam ayat di atas adalah berpunca daripada meninggalkan perbuatan baik bukan kerana menjalankan tugas menyeru melakukan kebaikan. Kerana itulah, Allah ‘Azza Wa Jalla mencela mereka sepanjang zaman hingga hari qiamat.
Firman Allah SWT: Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (kejahatan), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (al-Maidah, 79)
Antara lain, ayat ini menegaskan bahawa seseorang melakukan kejahatan juga dituntut supaya mencegah orang lain melakukan kejahatan. Sememangnya ia telah berdosa dengan melakukan kejahatan. Dosanya akan bertambah jika tidak melarang orang lain yang melakukan kejahatan. Sebagai contoh seorang yang minum arak mestilah juga berusaha menegah rakannya yang meminum arak.
No comments:
Post a Comment