Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Tuesday, June 21, 2011

Perhimpunan BERSIH 2.0 (Pandangan Seorang Mahasiswa)



بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أجمعين


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh…


Di pagi hari Rabu yang indah ini marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana atas nikmat dan kurnianya masih lagi kita diberi pinjaman nyawa dan masih lagi menikmati dua nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Pada pagi yang mulia ini ingin sekali saya melontarkan pendapat yang tak seberapa ini terhadap isu semasa yang hangat diperkatakan pada masa kini.

Bagi saya isu Himpunan BERSIH 2.0 adalah satu isu yang sangat besar buat masa kini. Jadi di sini saya akan melontarkan sedikit pandangan terhadap isu ini setelah sedikit analisa yang telah saya buat terhadap Himpunan BERSIH 2.0 ini.

Himpunan BERSIH 2.0 yang dianjurkan oleh Parti Pembangkang (PR) telah mendapat banyak perhatian oleh pelbagai pihak tidak kira oleh NGO dan lebih-lebih lagi daripada pihak Kerajaan. Ya, saya pasti Perdana Menteri dan "konco-konco"nya pasti tak senang duduk apabila memikirkan Perhimpunan BERSIH yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 yang akan datang. Di pihak PAS telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mengumpulkan 100000 orang untuk menyertai Himpunan BERSIH 2.0 kali ini. Ini bermaksud ianya tidak lagi dikira oleh ahli yang dikumpul oleh PKR dan DAP untuk sama-sama memeriahkan lagi Himpunan BERSIH 2.0 kali ini. Bahkan perhimpunan pada kali ini dikuatkan lagi oleh 80 buah NGO yang telah bergabung untuk bersama-sama menyokong Himpunan BERSIH 2.0 pada kali ini.

Maka tidak hairanlah jika di Pihak Kerajaan berasa gusar serta takut kepada gelombang revolusi rakyat pada kali ini. Apatah lagi revolusi yang terjadi di Mesir yang memperlihatkan Mantan Presiden Mesir, Husni Mubarak terpaksa mengalah dengan tuntutan rakyat Mesir yang inginkan keadilan dalam pemerintahan mereka. Oleh sebab itu, tidak perlu dihairankan jika pihak Kerajaan akan atau telah menggunakan segala kemudahan dan kuasa yang ada pada mereka untuk menyekat daripada terjadinya Himpunan BERSIH 2.0 ini.

Selain itu, keluar juga bermacam-macam fatwa yang menggunakan nas-nas al-Quran serta hadis-hadis dan termasuk juga fatwa-fatwa ulama' yang terdahulu untuk mengharamkan demonstrasi ini. Ustaz Rasul Dahri adalah salah seorang daripada mereka-mereka yang mengatakan HARAM berdemonstrasi. Tetapi pada pendapat saya, ulasan Ustaz Zaharuddin (UZAR) dalam isu ini adalah lebih baik dan dapat diterima kerana ianya melihat kepada waqi' semasa dan juga penjelasan yang panjang lebar berkenaan penggunaan hadis yang sering kali digunakan oleh mereka-mereka (yang pada saya tidak mempunyai banyak ilmu dalam bidang ini) untuk mengharamkan demonstrasi. UZAR telah mengulas bahawa demonstrasi adalah TIDAK HARAM. Sila rujuk Sini.

Saya juga ingin memberikan sedikit bukti daripada sirah Rasulullah saw dan para sahabat Baginda bahawa demonstrasi atau dalam bahasa Arabnya dipanggil dengan MUZHAHARAH adalah berasal daripada Islam lama sebelum diaplikasikan oleh Barat.

a. Rasulullah SAW pernah menghimpunkan kaum Quraish di Bukit Safa untuk menyeru kepada mereka supaya beriman kepada Allah dan menjelaskan bahawa Baginda adalah Rasul yang diutus Allah kepada manusia.

b. Melihat kepada falsafah Haji, yang mana, Allah mengizinkan haji hanya dilakukan di Mekkah di hari-hari yang ditetapkan sahaja. Disamping mengerjakan haji, di suruh supaya melakukan tawaf dan bertalbiyyah sebagai cara hendak menyatakan hasrat hati dan ‘tunjuk perasaan’ didepan Allah.

Melihat kepada ‘istidlal’ ini, difahami bahawa islam tidaklah mengharamkan demonstrasi secara mutlak, bahkan islam membenarkan berdemonstrasi yang tidak menyalahi kehendak syariah islamiyyah.

Sekiranya, cara non muslim sahaja menggunakan demonstrasi menjadi hujjah atas larangan berdemonstrasi, maka tidak semua perkara yang datang dari orang yang bukan Islam adalah di tolak, bahkan ada perkara yang datang dari bukan islam, di terima dan dibenarkan diamalkan didalam Islam, tetapi keizinan tersebut hendaklah berdasarkan kepada ketiadaan percanggahannya dengan nas-nas yang qatii dan yang lebih jelas.

Antara dalil yang menyatakan tidak semua cara non muslim mesti di tolak adalah seperti berikut;

a. Sirah menjelaskan, ketika berlaku peperangan ahzab, Rasulullah SAW telah meminta pandangan dari kalangan sahabat supaya menyatakan pandangan-pandangan mereka. Lalu telah memberi pandangan oleh Salman Al-Farisi dengan menggali parit dengan alasan, taktik peperangan itu diamalkan oleh golongan Majusi (golongan yang menyembah Api) di Farsi ketika itu. Mendengar pandangan tersebut, Rasulullah menerimanya.

b. Di dalam sirah juga jelas menyatakan penerimaan Rasulullah SAW menjadikan golongan kuffar quraish yang ditawan dalam peperangan Badar, supaya menjadi guru-guru yang mengajar kepada anak-anak orang Islam di kala itu.

Oleh itu, jelas kepada kita bahawa Islam tidak melarang demonstrasi aman malah ianya termasuk diantara perkara-perkara yang HARUS.

Oleh kerana takutnya pihak Kerajaan akan himpunan BERSIH 2.0 pada kali ini, seperti biasa mereka menggunakan pihak polis untuk menakut-nakutkan rakyat yang akan hadir ke himpunan itu nanti. Ya, pihak polis dipergunakan oleh kerajaan untuk menyekat dan menghalang perhimpunan BERSIH pada kali ini. Dalam pemerhatian saya, yang membuatkan keadaan menjadi huru hara adalah pihak polis yang telah digunakan oleh kerajaan ini. Mereka penyebab berlakunya kekecohan lantaran menyembur air dan gas pemedih mata ke arah mereka-mereka yang berdemonstrasi dalam setiap demonstrasi. Sedangkan pada awalnya, demonstrasi itu berjalan secara aman sehinggalah pihak polis (pencacai kerajaan) ini menjadi punca kekalutan itu terjadi.

Adakah mereka (polis) melihat bahawa pendemo-pendemo aman ini sebagai musuh negara? Apakah latihan yang diberikan kepada mereka adalah semata-mata untuk menentang rakyat yang inginkan keadilan? Jadi di pihak manakah polis ini??? Bukankah tugas polis ini sepatutnya menjadi pelindung supaya rakyat berasa aman??? Atau tugas mereka sekarang sudah berubah menjadi pelindung Kerajaan supaya Kerajaan berasa aman??? Kalau macam itu, bagi saya lebih baik tiada polis. Mereka menangkap pencuri-pencuri jalanan tetapi mereka melindungi pencuri-pencuri harta rakyat.

Selain itu, saya berasa sangat pelik kerana yang bersungguh-sungguh sekarang ini yang ingin menentang Demonstrasi BERSIH kali ini ialah Ibrahim Ali, PERKASA. Wah, sungguh kuat insan ini mengalahkan Perdana Menteri sehingga terkeluar kenyataan : "Pada hari tersebut akan berlaku pertembungan. Saya akan lawan habis-habisan"(Kenyataan Ibrahim Ali). Selain itu, Perhimpunan BERSIH belum lagi dijalankan tetapi kecaman demi kecaman telah dilakukan oleh pelbagai pihak melalui saluran media kerajaan. Selain itu, Himpunan BERSIH belum lagi dimulakan tetapi Himpunan Anti-BERSIH yang juga diketuai oleh Ibrahim Ali yang "halal" dari sudut pandang kerajaan yang membantah Himpunan BERSIH daripada dijalankan telahpun diadakan. Hal ini nampak semacam menyokong aktiviti demonstrasi BERSIH 2.0 nanti. Mereka melarang orang ramai berdemonstrasi tapi mereka sendiri berdemonstrasi. Tidakkah tindakan itu nampak semacam tindakan yang "bodoh"???

Tak usah tunjuk "gedebe" wahai Ibrahim Ali. Kalau nak mengintai post Perdana Menteri pun buatlah kerja yang tidak menunjukkan keinginan anda kepada post itu. Tapi layakkah Ibrahim Ali ini menjadi PM??? Alamatnya tragedi 13 Mei akan berulang lah kalau ianya betul-betul berlaku...

Nah!!! Nampakkan betapa double standardnya pihak Polis dan Kerajaan dalam mengeluarkan permit untuk berdemonstrasi secara aman ini. Siapa yang sokong depa, maka diberi permit. Siap dijaga keselamatan mereka oleh pihak polis lagi. Tapi kalau yang membangkang mereka??? Lihat sahajalah semua perhimpunan aman yang dianjurkan PR. Pasti berakhir dengan semburan air dan gas pemedih mata.

Inilah wajah sebenar demokrasi di Malaysia. Bagi saya di Malaysia ini sebenarnya menggunakan sistem autokrasi yang berwajahkan demokrasi.

Ingatlah wahai pemimpin Malaysia, saya melihat bahawa jika benar yang hadir nanti mencecah ratusan ribu, maka anda semua patut berasa takut. Dan andainya anda wahai kerajaan melakukan sesuatu yang kurang bijak terhadap revolusi rakyat yang akan terjadi nanti, tidak mustahil akan berlaku revolusi yang lebih dahsyat daripada ini. Maka ambillah tindakan yang bijak dan wajar supaya rakyat kembali mempercayai kepimpinan anda.

Di kesempatan ini, saya ingin meminta maaf andai ada tulisan saya ini yang terkasar atau mungkin mengguris pembaca-pembaca atau sesiapa sahaja. Bukanlah niat saya untuk melakukan demikian melainkan ini hanyalah pandangan peribadi setelah dilakukan sedikit analisa.

Yang baik datangnya daripada Allah dan yang buruk itu didatangkan oleh Allah swt juga tetapi disandarkan atas kelemahan al-faqir yang dhoif lagi hina ini.

Wallahu'alam...

1 comment:

  1. Mlysia mmg ngara demokrasi...:)
    (mata ke ats, tgn ke dada)

    ReplyDelete