Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Tuesday, June 21, 2011

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar

Muqaddimah

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah suatu usaha yang paling mulia, tinggi kedudukannya, sangat dititikberatkan di dalam Islam. Ianya mesti dilaksanakan agar manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul dan tidak menyimpang dari jalan yang sebenarnya. Lantaran itulah jemaah Islam ditubuhkan supaya dapat membimbing hati manusia.

Islam adalah agama samawi yang datangnya dari Allah swt. Islam mementingkan aspek kemasyarakatan dari sudut kekeluargaan, rumahtangga, masyarakat, pergaulan, dan kenegaraan. Islam adalah agama yang bukan hanya mementingkan individualistik (individu tetapi ia mementingkan ummah. Lantaran hidup manusia yang dikenali sebagai golongan yang mudah lupa, lemah dan serba kekurangan, didatangkan para Nabi as sebagai pencetus kebangkitan dan penegur atas segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Oleh kerana itulah disyaratkan bahawa hukum Amar ma’ruf nahi Mungkar adalah wajib yang tidak boleh dinafikan lagi. Berikut adalah dalil-dalil kewajipan menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar.

Dalil kewajipan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Abul -Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Umar bin Abdul-Aziz berkata: “Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menyiksa orang-orang umum kerana dosa-dosanya orang-orang yang tertentu tetapi apabila perbuatan dosa itu merahajalela dan terang-terangan kemudian tidak ada yang menegur, maka bererti semuanya sudah layak menerima hukuman.”

Dan diriwayatkan bahawa Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Yusya bin Nun.:

“Aku akan membinasakan kaummu empat puluh ribu orang yang baik-baik dan enam puluh ribu orang yang derhaka.”

Nabi Yusya bertanya: “Ya Tuhan, itu orang derhaka sudah layak, maka mengapakah orang yang baik-baik itu?”

Jawab Allah s.w.t.: “Kerana mereka tidak murka terhadap apa yang Aku murka, bahkan mereka makan minum bersama mereka yang derhaka itu.”

Abu Hurairah r.a. berkata:
“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Anjurkan lah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya.”

Anas r.a. berkata:
“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Sesungguhnya diantara manusia itu ada yang menjadi pembuka untuk kebaikan dan penutupan dari kejahatan, dan ada juga manusia yang menjadi pembuka kejahatan dan penutupan kebaikan, maka sesungguhnya untung bagi orang yang dijadikan Allah s.w.t. sebagai pembuka kebaikan dan binasa bagi yang dijadikan Allah s.w.t. pembuka kejahatan itu ditangannya.”

BEBERAPA KEPERLUAN KESEDIAAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

1. Keimanan yang mendalam.
Ia bermaksud menganggap Islam itu adalah petunjuk yang benar dan selain dari itu adalah kebatilan. Keyakinan terhadap kebenaran itulah yang menjadi prinsip yang tidak boleh ditawar-tawarkan lagi. Setiap penyelewengan dari prinsip itu adalah kesesatan yang lahir dari nafsu keinginan yang merupakantanda kurang sempurnanya iman.

2. Ilmu yang hak
Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu yang bersandarkan kepada AlQur’an dan AsSunnah yang mulia. Seseorang daie perlu mengetahui segala nas-nas yang berakitan serta hukum supaya ia dapat mengetahui kedudukan sebenar orang yang ingin ditegahnya.

3. Matlamat untuk keredhaan Allah
Tiada yang lebih tinggi dari mendapat keredhaan dan kecintaan Allah. Inilah matlamat setiap para nabi dan Rasul dan juga para sahabat di dalam menempuh amar ma’ruf nahi mungkar ini.

MATLAMAT YANG INGIN DICAPAI MELALUI DAKWAH:

Ada beberapa matlamat umum yang digariskan adalah:-
1. membawa kepada Islam bagi orang yang belum menganut Islam.
2. mempertingkatkan mutu kefahaman dan penghayatan Islam.
3. mendirikan sebuah negara yang diredhai Allah.
4. menuju kepada keselamatan dan kebahagiaan.
5. mendapat Keredhaan Allah.

KAEDAH AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

Sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi saw, iaitu:-
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”. (HR Muslim)

1. Dengan tangan ( Kuasa / pemerintahan)

Pemerintahan mempunyai kuasa mutlak untuk menegah dan melarang suatu perbuatan mungkar itu. Ia boleh mengubah atau meletakkan hukuman serta pencegahan bagi rakyat atau orang yang di bawah pimpinannya. Oleh itu, pemimpin akan ditanya lebih dari rakyat atau orang biasa di hari akhirat kelak. Justeru itulah jemaah islam wajib mendapatkan kuasa / pemerintahan sebagai batu asas untuk mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar kepada masyarakat di bawahnya.

Dalam konteks kemsyarakatan pula, dengan kuasa bermaksud dengan organisasi yang ditadbir. Sebagai contoh, jika seseoang itu menjadi pengarah syarikat atau organisasi pentadbiran, dia boleh melaksanakan sesuatu arahan contohnya mewajibkan kakitangan atau pekerjanya menutup aurat, berkelakuan sopan, mengasingkan antara lelaki dan perempuan, menepati masa dan sebagainya. Mana-mana perlanggaran kepada syariat Islam bolehlah diambil tindakan.

2. Dengan lidah / ucapan / lisan

Kaedah ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya seseorang atau kumpulan tidak mampu mengubah dengan kuasa- yang beerti ia mesti dilaksanakan melalui kaedah lidah lisan. Banyak cara atau kaedah yang boleh dilakukan dengan cara ini termasuk;

a.) Nasihat / peringatan – sewaktu Nabi-nabi dan Rasul-rasul menjalankan misi dakwah mereka, mereka menggunakan kaedah nasihat atau peringatan tentang ganjaran dan siksa yang bakal manusia itu tempuh di akhirat kelak. Para diae diingatkan supaya menggunakan kaedah nasihat yang baik terlebih dahulu sebelum menggunakan kaedah ancaman. Cara ini boleh dilakukan melalui ceramah, majlis ilmu, penerangan, dan juga secara peribadi (fardiyah)

b.) Penerangan – Ia meliputi aspek yang meluas seperti ceramah, risalah dan majalah, poster, kempen dan sebagainya

c.) Penulisan – ia juga adalah suatu aspek dakwah yang berkesan. Para daie perlu menguasai ilmu penulisan dan sebarkan kepada masyarakat tentang kebaikan Islam, keburukan kemungkaran yang dilakukan. Penulisan adalah berbentuk komentar, risalah, poster, majalah, surat khabar, memorandum dan sebagainya.

3. Dengan Hati (membenci dan tidak meredhai)

Nabi saw menyatakan bahawa ini adalah kaedah yang paling nipis iman bagi umat Islam. Kaedah ini hanya boleh dilakukan setelah berikhtiar melalui kaedah kuasa dan lidah yang tidak memberikan kesan bahkan memudharatkan seseorang daie atau jemaah Islam itu sendiri. Ini beerti seseorang daie tidak dibenarkan sama sekali meredhai maksiat dan kemungkaran tersebut dan berusaha menjauhinya sedapat mungkin dengan membawa bersama pengikut-pengikut ke tempat lain. Ini kerana untuk mengelakkan kemurkaan dan bala Allah swt di tempat tersebut. Namun jika tidak terdaya membencilah sedapat mungkin sambil berdoa supaya masyarakat yang jahil supaya mereka sedar.

STRATEGI MENJALANKAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR.

Strategi adalah sama dengan berdakwah. Ia memerlukan kebijaksaan, ketegasan, iltizam dan semangat serta tidak putus asa dalam menjalankan kerja yang mulia ini. Adakalanya daie perlu bertegas dan melakukan sesuatu yang dianggap keras bagi sesautu perkara atau terhadap segelintir orang. Adalah kerana untuk menyedarkan manusia yang sombong yang tidak mahu mendengar teguran dan nasihat yang baik. Manakala untuk golongan yang mudah dinasihati adalah dengan cara berhikmah dan nasihat yang baik.

Namun tidak diketahui strategi yang paling berkesan selain daripada melakukan amar ma’ruf nahi mungkar secara berjemaah. Ia adalah strategi yang paling baik kerana dengan berjemaah akan mempunyai kekuatan dan sokongan yang ramai.

No comments:

Post a Comment