Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Sunday, October 2, 2011

Pesanan Buat Seorang Da’ie


 
Tugas seorang da’ie bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak mehnah dan cabaran yang pasti terbentang di tengah jalan seorang da’ie. Oleh itu ilmu dan semangat tidak berputus asa perlu diterapkan di dalam diri setiap insan yang bergelar da’ie. Hal ini kerana seorang da’ie perlu menyampaikan ilmu Islam yang sebenar kepada masyarakat sekeliling supaya mereka tertarik untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, seorang da’ie bukan sahaja menjadi penyampai ilmu Islam kepada mad’u tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menerapkan dahulu semua ilmu yang mereka pelajari di dalam diri mereka.

Hal ini untuk menunjukkan bahawa Islam itu adalah agama fitrah yang diturunkan oleh Yang Maha Pencipta kepada manusia sebagai hambanya dan apa yang diturunkan itu adalah yang terbaik buat manusia lantas menjadi model untuk masyarakat yang didakwah untuk meniru mereka. Jika hal seperti ini boleh dilakukan maka pasti tiada da’ie yang futur dari jalan dakwah hanya kerana tiada orang yang mengikutnya kerana mereka tahu bahawa dakwah mereka kepada masyarakat adalah untuk memperbaiki diri mereka sendiri disamping ingin mengajak masyarakat bersama-sama dengan mereka memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada serta ingin mengembalikan kehidupan mereka di atas landasan yang sebenar iaitu kehidupan yang dipayungi oleh sinar Islam yang syumul.

Malangnya realiti pendakwah pada zaman kini adalah sebaliknya. Ramai pendakwah yang berilmu tetapi hanya pandai berkata-kata dan berhujah tetapi dalam kehidupan mereka jauh dari landasan Islam yang sebenar. Mereka tidak sedar bahawa dengan cara dakwah yang sebegitu maka mereka sebenarnya akan membuatkan mad’u semakin lari dari mereka dan imej rakan-rakan da’ie mereka juga secara tidak langsung akan tercemar. Hal ini kerana masyarakat pada zaman millennium ini lebih mempercayai apa yang mereka lihat dengan mata mereka sendiri daripada mempercayai apa yang mereka dengar. Pepatah Inggeris ada menyebut “Action Speak Louder than Words”. Para da’ie yang mempunyai sikap sebegini sebenarnya dengan sengaja telah mencari murka Allah swt. Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud ;

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan.” (As-Shaff : 2-3)

Selain itu, wujud juga pendakwah atau da’ie yang tidak menitikberatkan soal ilmu dalam berdakwah. Perlu diingat bahawa dalam soal berdakwah, ilmu perlu dititikberatkan supaya pendakwah tidak menyampaikan sesuatu ilmu atau pandangan yang bertentangan dari ajaran Islam. Tidak ingatkah akan hadis Rasulullah saw yang bermaksud ;

"Sesiapa yang inginkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat maka dia juga mesti berilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat maka dia lebih dituntut agar berilmu."

Oleh itu, setiap da’ie tidak terlepas dari berilmu dan beramal dengan ilmu yang diperolehinya. Ada satu pepatah yang menyebut “Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah”. Ingatlah wahai da’ie, jika sifat berilmu dan beramal ini tiada pada diri kita maka kita hanya ada dua pilihan kepada usaha dakwah kita selama ini iaitu sama ada kita akan “Berjaya untuk Gagal” atau kita akan “Gagal untuk Berjaya”.

Satu lagi mehnah terbesar yang yang sering terjadi kepada para da’ie adalah menghabiskan masa yang terluang dengan perkara yang sia-sia seperti bermain-main serta tidak melakukan apa-apa untuk mengisi masa terluang tersebut. Musuh utama para da’ie adalah masa yang terluang. Hal ini kerana ianya mampu membawa mudharat yang lebih besar jika mehnah ini tidak diatasi iaitu ianya mampu mampu memerangkap kita ke arah jahiliah yang sentiasa menanti mangsanya tanpa mengira siapa yang akan diperangkapnya.

Realiti hari ini memperlihatkan bahawa kita tidak gemar untuk mengisi masa lapang yang dianugerahkan oleh Allah ini dengan kerja-kerja dakwah. Lihat sahaja keadaan semasa kita yang kebanyakkan waktunya dipenuhi dengan urusan peribadi. Dan bertambah malang lagi apabila ada sisa-sisa masa yang terluang kita lebih cenderung untuk mengisinya dengan aktiviti-aktiviti yang sia-sia. Mungkin kita terlupa bahawa di dalam Al-Quranul Karim Allah swt ada berfirman yang bermaksud;

“... Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu infakkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata (enggan) terhadapnya. Dan ketahuilah Allah Maha Kaya, Maha Terpuji”
( Al-Baqarah : 267)


Alangkan untuk menginfak pun Allah menyuruh kita untuk tidak memilih-milih sisa-sisa. Tetapi adalah lebih teruk apabila kita langsung tidak menginfakkan walaupun sisa-sisa masa kita yang terluang dalam memperjuang dan menegakkan agama Allah swt.

Lupakah pula kita dengan kisah Abdullah bin Al-Mubarak dengan Al-Fudhail? Sedangkan Al-Fudhail yang merupakan seorang ahli hadis yang thiqah yang disibukkan dengan beribadah pun dikatakan sebagai 'ahli ibadah yang bermain-main'. Inikan pula kita yang bukannya disibukkan dengan ibadah.


Jika menginfak pun Allah swt melarang kita daripada memilih yang sisa-sisa apatah lagi untuk kita berurus niaga dalam urusan menegakkan agama Allah swt. Pasti “barang” yang hendak dijual itu hendaklah lebih baik. Tetapi mampukah kita???

Allah swt berfirman ;

“Sesungguhnya Allah Membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh, atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah?...”
(At-Taubah : 111)


Perlu diingat bahawa urus niaga yang dijalankan ini bukanlah sekadar urus niaga di pasar-pasar malam atau di supermarket yang misinya hanya untuk menguntungkan diri peniaga itu sendiri tetapi misi dan visi urus niaga dalam urusan memperjuangkan kalimah Allah ini jauh lebih besar mengatasi perniagaan-perniagaan yang lain. Dan keuntungan hakiki adalah apabila Hukum Allah mampu ditegakkan di seluruh dunia dan apabila berhadapan dengan Allah swt di akhirat kelak.

Sedarlah bahawa Islam tidak memerlukan orang yang malas yang hanya mementingkan kepentingan diri. Tanggungjawab yang kita pikul sangat besar. Cukuplah dengan titik hitam kejatuhan khilafah lebih 80 tahun dahulu. Sanggupkah kita hanya menjadi pemerhati titik-titik hitam yang lain? Kemenangan yang hakiki ada di hadapan. Jika ianya bukan di tangan kita pasti ianya akan jatuh ditangan generasi-generasi hadapan yang menyambung rantai-rantai perjuangan kita.

Akhirul Kalam,

Da’ie yang berjaya adalah mereka yang mampu membawa perubahan kepada diri mereka dan masyarakat kearah yang lebih baik di samping menggunakan masa semaksimum mungkin untuk berada di jalan dakwah dan menegakkan kalimah Allah swt.

Pesanan ini saya tujukan KHAS buat diri saya yang sering lupa, lalai dan seringkali pandai berkata-kata tanpa menerapkan apa yang saya sampaikan ke dalam diri saya sendiri. Dan saya berharap bahawa pesanan ini mampu member manfaat kepada semua. Moga-moga kita semua terus thabat dalam perjuangan yang penuh dengan mehnah dan dugaan ini.


Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.

No comments:

Post a Comment