Kata-kata yang ingin saya sampaikan ini begitu popular di kalangan orang melayu tidak kira yang bergelar guru, mahasiswa, ahli politik malahan ustaz dan mufti juga menuturkan kata-kata yang sama. Kata-katanya berbunyi : “Jika Melayu bersatu, maka Islam akan tertegak kerana kebanyakkan melayu adalah beragama Islam.”
Jika dilihat dari
segi rasional pasti kita akan mengatakan kata-kata ini sangat relevan. Tetapi
benarkah ianya benar-benar releven??? Jika ditanya pandangan saya akan soalan
adakah ianya releven ataupun tidak pasti jawapan saya adalah ianya tidak
releven sama sekali dan jauh dari erti perjuangan Islam yang sebenar.
Mungkin ramai
yang tertanya-tanya mengapa saya katakan ayat ini tidak releven sama sekali dan
tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang mufti atau ustaz.
Hujah Yang
Pertama :
Mari kita melihat
dari struktur ayat atau kata-kata di atas. Jika diukur dari sudut pemahaman
saya apabila mendengar ayat ini adalah Islam itu bergantung kepada Melayu.
Tanpa melayu maka Islam tidak mungkin akan bersatu dan tertegak di Malaysia
ini. Apakah ini satu konsep yang betul sedangkan Islam tidak memerlukan melayu
untuk terus tertegak tetapi sebaliknya bangsa melayulah yang memerlukan Islam supaya
ianya dapat membimbing bangsa kita kearah menjadi bangsa yang maju dan
bertamadun.
Jika kita
menyelusuri sejarah bangsa arab sebelum dan selepas kedatangan Islam maka pasti
kita akan mengakui bahawa Islam bukan kuat kerana ianya diperjuangkan oleh bangsa
arab tetapi bangsa arablah yang menjadi kuat apabila memperjuangkan Islam.
Bermaksud perjuangan yang perlu dititik beratkan adalah perjuangan menegakkan
Islam di Malaysia bukan perjuangan menyatukan melayu yang tidak semua beragama
Islam. Dan realiti masyarakat melayu zaman sekarang, Islam mereka hanya pada
i/c dan kad pengenalan sedangkan kehidupan mereka seharian terlalu jauh dari
landasan Islam yang sebenar. Malah yang dipertahankan oleh pihak mahkamah pada
masa kini adalah Islam yang ada di dalam i/c sedangkan persoalan aqidah
diketepikan. Lihat sahaja kes Lina Joy. Apa yang dipertahankan oleh mahkamah
adalah berkenaan penukaran status agama daripada Islam kepada kristian
sedangkan aqidah yang dituntut oleh Lina Joy adalah aqidah agama kristian. Jadi
apakah faedahnya menyatukan melayu sedangkan melayu sendiri telah jauh dari
jalan Islam yang sebenar???
Oleh sebab itu,
saya katakan perjuangkanlah Islam kerana jika Islam tertegak PASTI dengan
sendirinya melayu juga akan bersatu dan menjadi satu bangsa yang kuat tetapi
bukan memperjuangkan melayu untuk menegakkan Islam kerana bersatunya melayu
tidak akan menjamin tertegaknya Islam di bumi Malaysia ini.
Hal ini telah
dibuktikan oleh bangsa arab Quraisy yang sebelum kedatangan Islam dilihat
sebagai satu kaum yang sangat tidak bertamadun oleh kuasa-kuasa besar pada masa
itu tetapi dengan kedatangan Islam bangsa arab yang dahulunya tidak bertamadun
telah mampu menawan 2/3 dunia di samping mampu untuk mengalahkan kuasa terbesar
pada masa tersebut iaitu Rom dan Parsi. Ini menunjukkan bahawa suatu bangsa
menjadi kuat kerana Islam bukan Islam menjadi kuat kerana bangsa.
Hujah Yang Kedua
:
Perlu diingat
bahawa Islam tidak terbatas kepada sesuatu bangsa sahaja. Lebih-lebih lagi di
Negara kita yang bermasyarakat majmuk. Jadi konsep perjuangan bangsa untuk
menaikkan Islam adalah tidak releven sama sekali kerana seperti yang kita semua
ketahui orang yang beragama Islam di Malaysia ini bukan sahaja terdiri daripada
bangsa Melayu malah Cina, India dan bangsa-bangsa lain juga ada yang beragama
Islam. Oleh kerana itu konsep memperjuangkan bangsa untuk menegakkan Islam
adalah satu perjuangan yang sangat sempit. Hal ini kerana jika melayu bersatu
Islam masih tidak bersatu kerana masyarakat Islam yang berbangsa lain pasti
akan terasa tersisih. Perlu diingat Allah tidak melebihkan sesuatu bangsa
dengan suatu bangsa yang lain. Apa yang membezakan kita semua hanyalah iman dan
taqwa kepada Allah swt. Hal ini disebut oleh Allah swt di dalam al-Quran yang
berbunyi ;
“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah
menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami
jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.
Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling
bertaqwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”
(Surah Al-Hujurat : 13)
Jika kita melihat
konteks di awal ayat al-Quran di atas lihat , Allah memanggil “Wahai
manusia!” menunjukkan betapa Allah swt tidak membezakan
setiap bangsa dan kaum yang berada di atas muka bumi. Inilah salah satu tanda
keadilan Allah swt. Satu penafsiran yang menarik telah dikeluarkan oleh Syed
Qutb ketika mana beliau menafsirkan ayat ini dengan katanya :
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran, Syed Qutb)
Perkara ini juga
disebut oleh Rasulullah saw di dalam satu hadis yang berbunyi :
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan
kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke
atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah
ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah
melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh
al-Albani).
Oleh kerana itu,
saya pasti jika Islam menjadi perkara pokok yang diperjuangkan maka pasti
setiap orang yang mengakui dirinya beragama Islam akan bersama-sama dalam perjuangan
ini dan apabila Islam telah mampu dimartabatkan dan umat Islam dapat disatukan
maka dengan sendiri bangsa melayu yang beragama Islam pasti akan bersatu di
bawah payung Islam dan bangsa lain yang beragama Islam juga dapat bersama-sama
bernaung di bawah satu panji yang sama.
Tetapi jika
bangsa yang diperjuangkan maka percayalah bahawa masyarakat melayu mungkin
boleh bersatu tetapi dasar penyatuannya bukan dibawah lembayung Islam tetapi di
atas dasar bangsa. Maka penyatuan Melayu tidak memastikan Islam akan tertegak
tetapi dengan memperjuangkan Islam pasti Melayu yang beragama Islam akan
bersatu.
Jadi perjuangan
Islam merupakan satu konsep perjuangan yang sangat luas sedangkan perjuangan
bangsa adalah perjuangan sempit yang hanya menyeru kepada asabiyyah.
Hujah Yang Ketiga
:
Sesungguhnya
penyeruan untuk penyatuan bangsa supaya Islam tertegak hanyalah alasan untuk
mereka yang ingin menghalalkan perjuangan bangsa melebihi perjuangan agama. Dan
ianya tidak lebih dari sekadar penyeruan kepada assabiyyah. Sedangkan Islam ini
adalah yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Oleh itu, sepatutnya dasar perjuangan kita adalah berada di atas dasar Islam
bukan atas dasar bangsa. Jika dari sudut dasar atau akar pun sudah salah
bagaimana mungkin pokok dan buahnya boleh jadi baik. Tidak ingatkah kita
Rasulullah saw telah bersabda ;
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan)
dan menyeru kepada assabiyyah atau marah kerana assabiyyah maka kematiannya
adalah jahiliyyah”.
(Riwayat Muslim).
Di dalam hadis yang lain Rasulullah saw
bersabda yang bermaksud ;
”Bukan dari kalangan kita yang menyeru kepada assabiyyah, berperang
kerana assabiyyah dan mati kerana assabiyyah”
(HR Abu Dawud)
(HR Abu Dawud)
Melalui sabda Rasulullah saw di atas
menunjukkan betapa Rasulullah begitu bertegas dan memberi amaran yang keras
kepada mereka yang memperjuangkan assabiyyah. Tetapi bukanlah bermaksud tidak
boleh menyayangi bangsa atau ingin memperjuangkan bangsa tetapi bukan dengan
meletakkan perjuangan bangsa melebihi perjuangan Islam. Sedangkan Islam itu
adalah yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Tambahan
pula, sejarah telah membuktikan bangsa mana yang memperjuangkan Islam maka
bangsa tersebut akan menjadi kuat, maju dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain.
Oleh kerana itu, wahai saudara-saudaraku sekalian kembalilah kepada Islam.
Jadikanlah Islam itu sebagai wadah perjuangan yang ingin diperjuangkan kerana
hanya dengan itu sahaja bangsa kita mampu bersatu dan menjadi kuat. Ingatlah
akan firman Allah swt di dalam Al-Kitab ;
“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah
dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam
keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama
Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada
kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah
menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat
Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang
bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan
kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu
(disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu
ayat-ayatNya, supaya kamu mendapat petunjuk.”
(Surah Ali Imran : 102-103)
Oleh itu, ayuh kita berpegang teguh dengan tali
Allah iaitu dengan kembali kepada konsep Islam yang sebenar di samping
menjernihkan kembali fikrah perjuangan kita supaya perjuangan kita ini didasari
atas dasar Iman dan Islam.
Akhirul Kalam,
Bersama-sama kita merenung kembali apakah kita
sedar akan kepentingan perjuangan untuk menegakkan syiar Islam?? Jika
jawapannya ya maka fikirkan pula apakah betul wadah perjuangan yang kita ambil
selama ini?? Buanglah segala sifat-sifat assabiyyah yang telah ditanam selama
ini dan kembali kepada perjuangan yang sebenar dalam meningkat syiar Islam.
Sesungguhnya berjihad di jalan Allah ini merupakan perniagaan yang terlalu
menguntungkan dan kita tidak akan rugi. Hal ini telah disebut oleh Allah swt di
dalam firmannya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu
perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (Iaitu)
kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta
dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”
(Surah As-Shaff : 10-11)
Kesimpulannya, perjuangan Islam merupakan satu
konsep perjuangan yang menyeluruh dan sangat luas tetapi konsep perjuangan
bangsa atau assabiyyah adalah konsep perjuangan yang sangat sempit dan
terbatas. Ingatlah jika Islam tertegak pasti bangsa yang memperjuangkannya akan
selamat dan bersatu tetapi jika bangsa bersatu belum tentu lagi Islam akan
tertegak. Sedangkan Allah swt tidak rugi apa-apa pun jika kita tidak mahu
memperjuangkan agamaNya kerana pasti Dia menghantar suatu kumpulan yang mana
Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah. Jadi ayuh kita masukkan diri
di dalam kelompok yang Allah utuskan untuk menegakkan syiar Islam di atas muka
bumi ini. Allahu’alam.
Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan
Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.
Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.
No comments:
Post a Comment