Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Sunday, October 9, 2011

Berkahwin Semasa Belajar. Adakah Salah?



Perkahwinan merupakan pelengkap fitrah seorang manusia yang seringkali mempunyai perasaan untuk memiliki dan dimiliki. Maka hanya dengan perkahwinan sahajalah perhubungan yang halal akan dapat dikecapi disamping ianya juga mampu membawa kehidupan manusia kearah kehidupan yang Mawaddah wa Rahmah.


Sejujurnya topik yang seringkali menjadi perbualan bersama-sama rakan-rakan juga kebanyakkannya akan bersangkut paut dengan perkahwinan. Pelbagai jawapan dan pandangan dilontarkan lebih-lebih lagi berkenaan perihal berkahwin semasa belajar ataupun berkahwin muda. Melalui sedikit pemerhatian di kalangan rakan-rakan mahasiswa dan juga mahasiswi, bolehlah disimpulkan bahawa ramai yang menyokong dan mempunyai cita-cita untuk berkahwin awal atau ketika masih belajar. Tetapi tidak kurang juga yang tidak bersetuju dan menentang perkahwinan semasa masih belajar. Masing-masing dengan pendapat yang tersendiri dan sudah pasti mereka mempunyai hujah untuk menyokong atau tidak menyokongnya. Malah di kalangan ibu bapa dan pensyarah juga terjadi pertikaian pendapat kerana ada sesetengah daripada mereka yang menyokong dan ada juga yang menentang perkahwinan semasa belajar ini.

Untuk mereka yang tidak bersetuju dengan perkahwinan semasa belajar ini kebiasaannya hujah yang mereka gunakan adalah takut tidak mampu menyara anak orang, takut mengganggu pembelajaran, ingin menikmati usia remaja yang hanya datang sekali dalam hidup, tidak mahu terikat dengan seseorang terlalu awal, tidak mahu membebankan diri dengan tanggungjawab sebagai suami dan isteri dan tidak kurang juga yang menggunakan alasan untuk berjaya dalam kerjaya terlebih dahulu dan bermacam-macam lagi alasan yang diberikan.

Dan untuk mereka yang menyokong perkahwinan muda ini mereka kebiasaannya akan berhujah dengan hujah bahawa perkahwinan awal mampu mengelakkan maksiat yang semakin berleluasa pada masa kini lebih-lebih lagi dalam kalangan pemuda termasuk kalangan mahasiswa dan mahasiswi, mengikut sunnah Rasulullah saw yang menggalakkan pemuda supaya berkahwin apabila berkemampuan, dapat memenuhi naluri syahwat yang memuncak pada waktu remaja dengan jalan yang halal dan pelbagai hujah-hujah yang lain. Cuma mereka yang menyokong dari kalangan mahasiswa ada sesetengahnya terpaksa menurut pendapat ibu bapa mereka yang kelihatan begitu anti anaknya bernikah semasa belajar.


Godaan Pada Zaman Millenium

Perlu diketahui bahawa remaja termasuk juga siswa dan siswi pada zaman sekarang hidup dalam keadaan yang sangat terbuka dan terdedah dengan perkara-perkara yang mampu menaikkan nafsu syahwat mereka. Lihat sahaja di kaca-kaca televisyen yang sering memaparkan cerita-cerita dengan adegan-adegan juga iklan-iklan yang mampu merangsang naluri syahwat seseorang malah di dada-dada akhbar juga terpampang gambar-gambar wanita-wanita yang berpakaian tetapi seakan-akan berbogel yang mana mampu menaikkan nafsu sesiapa yang melihatnya. Itu tidak kira lagi dengan kemudahan internet yang tiada sempadan dan dengan mudah disalahgunakan hanya semata-mata untuk memuaskan nafsu mereka. Oleh itu tidak hairanlah jika kadar maksiat semakin meningkat setiap tahun terutama di dalam kes zina dan pembuangan bayi. Ini semua kebanyakkannya melibatkan para remaja tidak kira yang masih bersekolah ataupun yang berada di IPTA atau IPTS. Oleh itu, adakah penyelesaian yang terbaik adalah dengan menyediakan Rumah Harapan ataupun tempat khas untuk pembuangan bayi-bayi yang lahir tidak berbapa yang mana akan menggalakkan lagi penzinaan??

                                              

Sedangkan Allah swt berfirman :

“Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’ : 32)

Alangkan mendekati zina juga telah dilarang oleh Allah swt apatah lagi jika berzina dan yang menggalakkan zina. Maka dosanya lagi besar.

                      
 Bukankah Allah swt telah menyediakan alternatif yang terbaik buat hambaNya dalam memenuhi kehendak fitrah manusia yang mempunyai nafsu kepada pasangan yang berlainan jantina dengan mereka iaitu dengan berkahwin.

“Maka kahwinilah akan kamu dari perempuan itu yang baik bagi kamu”
(An-Nisa : 3)

Oleh sebab itu, untuk mengelakkan daripada berlakunya maksiat yang berleluasa maka berkahwin pada usia yang muda adalah sesuatu yang amat digalakkan. Jika seorang pemuda atau pemudi itu berasa sudah tidak mampu untuk menahan gelora syahwat dan takut terjebak ke lembah dosa besar maka hukum bernikah pada masa sudah menjadi wajib. Ini kerana melalui perkahwinan sahajalah maka syahwat itu dapat disalurkan dengan cara yang halal di sisi syara’ malah ianya juga merupakan satu ibadah kepada Allah swt. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah saw di dalam satu hadis yang berbunyi:

“ Sesungguhnya pada persetubuhan kamu dengan isteri kamu itu sedekah” Maka ditanya oleh sahabat apakah pada persetubuhan yang memuaskan syahwat itu sedekah ? maka dijawab oleh baginda : “Apakah kamu tidak melihat bahawa apabila seseorang meletakkan zakarnya pada yang haram itu termasuk satu dosa ? Maka demikianlah jika diletakkan pada yang halal maka itu baginya pahala” (Hadis Sahih Riwayat Muslim).

Begitulah juga apabila remaja yang tidak mampu menahan gelora nafsunya lalu dia berkahwin maka dia bukan sahaja dapat memenuhi tuntutan fitrahnya malah ianya juga dikira sebagai suatu ibadah dan mendapat pahala kerana melakukan hubungan secara halal. Tetapi malangnya pada zaman kini perkahwinan yang melibatkan pelajar atau mahasiswa dan mahasiswi selalu dipandang serong oleh masyarakat tetapi maksiat-maksiat yang dilakukan oleh pasangan-pasangan yang tidak halal dilihat sebagai suatu yang biasa malah yang inilah yang digalakkan oleh ibu bapa masa kini hanya kerana tidak mahu melihat anaknya berkahwin semasa sedang belajar.


Nasihat Kepada Pemuda

Kebanyakkan daripada pemuda pada zaman sekarang lebih cenderung untuk mengikut gaya hidup barat daripada mengikut gaya hidup yang dianjurkan oleh Islam. Lihat sahaja situasi di sekeliling kita pada zaman ini, mereka lebih suka untuk memenuhi tuntutan fitrah mereka dengan bercouple daripada berkahwin. Malah bagi mereka menjadi suatu perkara yang ajaib jika ada dikalangan remaja yang tidak bercouple dan suatu yang amat pelik jika ada yang ingin berkahwin awal.

Wahai pemuda sekalian renungkanlah hadis di bawah ini kerana ianya merupakan salah satu daripada hadis Rasulullah saw yang menggalakkan pernikahan. Hadis itu berbunyi :

Abdullah bin Mas’ud ra: diriwayatkan dari Al Qamah ra katanya:
"Aku berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah ra yang kemudian menghampiri Abdullah ra. Setelah berbincang beberapa ketika,Othman ra bertanya,wahai abu abdul rahman;mahukah aku jodhohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah mudahan perempuan itu akan dapat mengigatkan kembali masa lampau mu yang indah"

Mendengar tawaran itu Abdullah ra menjawab;

"Apa yang  kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah di sabdakan oleh rasullulah saw kepada kami "

"Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puas itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
 (Hadis Riwayat Muslim)


Inilah saranan Rasulullah saw kepada para pemuda. Lebih-lebih lagi pada zaman yang terlalu banyak cabaran dan dugaan ini maka salah satu daripada alternatif bagi pemuda untuk mengelakkan melakukan perbuatan terkutuk ialah melalui perkahwinan. Malah dengan jelas Rasulullah saw memberikan mesej melalui hadis di atas bahawa dengan perkahwinan, maka insyaAllah pandangan mata dan kemaluan akan semakin terjaga. Hal ini kerana apabila telah berkahwin maka mereka mempunyai cara yang halal untuk melepaskan nafsu syahwat mereka di samping perasaan cinta yang hadir selepas melalui akad nikah akan membuatkan dalam pandangan mata mereka hanya ada pasangan yang halal buat mereka lantas mampu menjaga pandangan mereka yang sebelum ini suka melihat wajah-wajah yang bukan mahram dan tidak halal buat mereka.

Ataupun mereka boleh berpuasa tetapi yakinkah mereka bahawa puasa mereka mampu menghalang mereka daripada menuruti tuntutan nafsu kerana puasa pada masa kini hanyalah untuk berlapar dan dahaga semata-mata sedangkan puasa yang disabdakan oleh Rasulullah saw yang mana mampu menjadi banteng daripada melakukan maksiat ialah puasa yang sebenar-benar puasa iaitu bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi menjaga setiap anggota badan zahir dan batin daripada melakukan maksiat.

 Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud :

“Apabila seorang hamba telah berkahwin ia telah menyempurnakan setengah dari agamanya maka hendaklah ia bertakwa untuk yang setengah lagi” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Oleh itu, pernikahan merupakan salah satu daripada kesempurnaan agama. Maka apa salahnya jika ianya dilaksanakan seawal yang mungkin apabila sudah mampu dari segi zahir dan juga batin. Firman Allah swt :

“Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan”
(Al-Maidah : 48)

Dan jika difikirkan secara lebih mendalam, sebenarnya perkahwinan semasa belajar akan menyebabkan seorang pelajar mampu lebih fokus di dalam kelas atau kuliah. Hal ini kerana mereka tidak dibayangi oleh perkara-perkara lain yang sering menggaggu tumpuan mereka ketika sesi pembelajaran sedang berjalan. Sebabnya pada masa usia remaja peningkatan hormon untuk tumbesaran dihasilkan dengan banyak menyebabkan naluri syahwat serta nafsu ketika ini sangat mudah dirangsang dan terangsang. Jadi dengan adanya pasangan yang halal buat mereka maka mereka mampu melepaskan naluri syahwat mereka secara halal bersama pasangan mereka. Kesannya, mereka mampu hadir ke kelas dengan fitrah yang dapat dipenuhi lantas menyebabkan tumpuan mereka di dalam kelas menjadi semakin tajam tanpa sebarang gangguan.

Selain itu mereka juga akan sedar bahawa mereka mempunyai tanggunggjawab yang besar terhadap keluarga mereka lantas memupuk skil kepimpinan dan menyebabkan mereka mempunyai visi yang jelas untuk masa hadapan mereka. Kerana pada masa ini, selepas berkahwin mereka bukan sahaja perlu berfikir untuk diri mereka sendiri malah mereka perlu untuk berfikir buat pasangan mereka dan juga buat anak-anak yang bakal mereka miliki.


Macam Mana Nak Tanggung Keluarga?

                                     
Ingatlah bahawa rezeki itu berada di tangan Allah swt. Dan Allah mampu meluaskan rezekiNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah swt berfirman di dalam al-Quran :

“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang diantara kamu, dan juga orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurnianNya. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya), Maha Mengetahui.” (Surah An-Nur : 32)

Selain itu Rasulullah saw juga bersabda :

“Carilah oleh kalian rezeki dalam pernikahan (dalam kehidupan berkeluarga) “
(Hadis Riwayat Imam Ad Dhalani)

Abu Bakar As Siddiq juga pernah berkata :

“ Taatlah kamu kepada Allah dalam apa yang diperintahkan kepadamu iaitu perkahwinan,maka Allah akan melestarikan janjiNYA kepadamu iaitu kekayaan".

Oleh itu atas alasan apa lagi pernikahan semasa belajar tidak digalakkan???


Pesanan Buat Ibu Bapa

Rasulullah saw bersabda yang berbunyi :

“ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (Hadis Hasan riwayat Tirmidzi)

                               
Oleh kerana itu, jika telah datang seorang pemuda yang datang untuk melamar anak gadis kalian, jika diyakini akan agamanya maka nikahkanlah dia supaya tidak akan timbul fitnah yang lebih besar kepada anak gadis kalian. Dan untuk mengelakkan anak gadis kalian melakukan sesuatu yang di masa hadapan akan mencemarkan maruah keluarga kalian oleh kerana kalian telah menyekatnya daripada menunaikan tuntutan fitrahnya secara halal. Ingatlah bahawa maruah keluarga lebih banyak terletak pada anak perempuan. Dan dosanya akan ditanggung oleh kalian. Rasulullah saw bersabda :

“Barangsiapa mempunyai anak perempuan yang telah mencapai umur 12 tahun,lalu ia tidak segerakan mengahwinkannya kemudian anak perempuan tersebut melakukan dosanya di tanggung oleh ayahnya". (Hadis Riwayat Baihaqi)


Macam Mana Kalau Wanita Ingin Berkahwin Tapi Tiada Orang Yang Datang Melamar?

“Saya dah sedia untuk berkahwin tapi rasanya takde orang yang nak,” kata seorang rakan siswi kepada saya.

Lalu saya menjawab : “Jika ada yang berkenan di hati maka cubalah luahkan perasaan awak kepadanya melalui orang tengah ataupun pergi bertanya sendiri kepadanya, manalah tahu mungkin juga dia ada perasaan kepada awak. Lepas itu ajaklah dia untuk mengikat tali hubungan antara kalian berdua dengan ikatan yang sah iaitu melalui perkahwinan. Itulah yang sebaiknya.”

 “Bukankah itu umpama perigi mencari timba. Sepatutnya timbalah yang mencari perigi, bukannya perigi yang mencari timba. So, sepatutnya orang lelakilah yang patut datang melamar seorang perempuan bukan seorang perempuan yang pergi melamar seorang lelaki,” balasnya dengan nada yang agak keras lalu terus berlalu pergi.

                
Ya, di kalangan wanita kita pada zaman sekarang istilah “perigi mencari timba” ini amat taboo dalam kehidupan mereka malah ianya juga merupakan salah satu dari bentuk keegoan mereka yang berpandangan sepatutnya lelakilah yang tergila-gilakan mereka dan bukan mereka yang tergila-gilakan lelaki. Pandangan seperti ini seakan-akan ingin menyatakan bahawa mereka (kaum wanita) mampu hidup tanpa kehadiran lelaki dan hanya kaum adam sahaja yang memerlukan diri mereka sedangkan mereka tidak. Dan hal seperti ini jugalah yang terkadang sampai membuatkan mereka menjadi andartu dan akhirnya menyalahkan takdir Allah swt. Apakah benar seorang wanita tidak boleh melamar seorang lelaki???

Sebenarnya menurut Islam tiada salahnya seorang wanita melamar seorang lelaki. Malah ianya juga terdapat di dalam sirah Rasulullah saw yang mahsyur bahawa wanita pertama yang memeluk agama Islam yakni Siti Khadijah telah memulakan lamaran kepada Rasulullah saw dengan menawarkan dirinya untuk dijadikan isteri kepada Rasulullah saw melalui perantaraan orang tengah.

Berkata Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada Rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) bagi menyampaikan hajatnya kepada rasulullah dengan menyampaikan pesanan khadijah ra : “Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya kata-katamu….” (lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam m/s 122 Jilid 1).

Malah ianya bukanlah suatu keaiban atau pun menjadi sesuatu yang memalukan jika seorang wanita melamar seorang lelaki malah hal ini merupakan suatu sunnah. Malah ianya akan membawa kebaikkan kepada wanita yang takut dirinya melakukan perkara yang dilarang oleh Allah swt lalu dia menawarkan dirinya kepada seseorang lelaki untuk diikat dengan ikatan yang sah bagi mengelakkan dirinya terjebak dengan maksiat. Apakah ini sesuatu yang patut dimalukan? Bolehnya wanita melamar lelaki berdalilkan kisah yang disampaikan dari Anas ra yang berkata :

telah datang seorang wanita kepada baginda Rasulullah saw dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : Wahai Rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? lalu ketika menceritakan hadis ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi saw dan menawar dirinya demi kebaikan. (Hadis Sahih Riwayat Imam Al-Bukhari, Nasaie dan Ibnu Majah)

Oleh kerana itu, buangkanlah pemikiran jahiliyyah yang telah merasuki pemikiran seorang wanita pada zaman kini yang terlalu takut dikatakan “perigi mencari timba” sedangkan istilah itu tidak ada di dalam Islam dan istilah ini juga tiada di dalam diari hidup seorang insan yang ingin mencari kebaikkan dan mencapai kebahagiaan. Usahlah diikutkan kata orang ramai yang sering melaung-laungkan ungkapan ini kerana ianya tidak lain hanyalah pemikiran jahiliyyah yang dirasuk oleh keegoaan yang melampau.

“Dan jika kamu hanya mengikut orang ramai di muka bumi ini nescayalah mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah”
(Al-An’am : 116).


Apakah Faedahnya Berkahwin???

                                 
Seterusnya sama-sama kita melihat faedah “Az-zawaj” secara ringkas seperti yang disebutkan oleh para ulama di antaranya As Syeikh Muhammad Ali Assobuni dalam kitabnya Az-zawaj al-Islami Al-Mubakkir (ms 38), Perkahwinan Awal secara Islami, antaranya:

1)      Mengekalkan keturunan.

2)      Memelihara diri dari godaan syaitan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Aku tidak tinggalkan suatu fitnah yang paling mudharat kepada kaum lelaki selain dari fitnah perempuan”. (Hadis Sahih Riwayat Imam Al-Bukhari)

Kata setengah ulama’ syaitan berkata kepada perempuan: Kamu adalah setengah daripada tenteraku, kamu adalah anak panahku yang tidak pernah salah sasarannya.

3)      Mendapat ketenangan dan kerehatan seorang suami apabila berada di samping isteri yang baik serta toma’ninah dalam kehidupan berumahtangga.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Aku khabarkan kepada kamu apakah perkara paling baik yang dimiliki oleh seorang itu? Iaitu isteri yang solehah apabila ia melihat kepadanya menyenangkan hatinya, apabila disuruh membuat sesuatu pekerjaan dipatuhinya dan apabila ia keluar dari rumah ia memelihara dirinya.” (Hadis Riwayat Al-Hakim, dinilai “Dhaif” dalam Dhaif al-Jami’)
                                                                  
4)      Melapangkan diri dari kerja-kerja rumah yang memberi peluang kepadanya untuk menumpukan kepada kerja-kerja yang lebih besar, berjihad, berdakwah dan lain-lainnya.

5)      Mujahadatun-Nafs serta melatih diri dengan tanggungjawab terhadap rumahtangga, isteri dan anak-anak. Bersabar menanggung kesusahan dan berusaha untuk membentuk dan mendidik mereka ke jalan yang betul.

Sayyidina Umar Al Khattab ra berkata, maksudnya: “Tidak ada perkara yang dapat menyekat seseorang itu dari berkahwin kecuali ia tidak berkemampuan (zahir dan batin) atau ia seorang yang Fajir (orang yang suka melepaskan nafsu ke tempat-tempat yang haram).”

Kesimpulannya perkahwinan dalam Islam adalah suatu ibadat dan Qurbah, seorang mukmin akan diberi pahala dan ganjaran oleh Allah apabila mengikhlaskan niat perkahwinannya dengan tujuan untuk memelihara diri dari perkara yang haram, bukan semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwat semata-mata.

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda, “ 3 golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah swt ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya” (Hadis Riwayat At-Thabrani)

 
Akhirul kalam,

Tiada salahnya berkahwin semasa masih belajar atau berkahwin muda. Malah jika hal seperti ini digalakkan insyaAllah kejadian-kejadian maksiat yang melibatkan para remaja juga siswa siswi dapat dikurangkan. Hal ini kerana perkahwinan adalah wasilah untuk menyelamatkan diri daripada terlibat dengan maksiat yang seringkali dilakukan sama ada secara sedar ataupun tidak. SMS, chatting, telefon dan dating boleh dilakukan secara halal dan di dalam keredhaan Allah malah merupakan ibadah apabila setelah berkahwin daripada melakukannya dalam keadaan maksiat dan berdosa di luar ikatan yang sah. Apakah kita masih tidak nampak akan hakikat ini?

Cuma sebagai pelajar, sebelum berkahwin kajilah terlebih dahulu akan keadaan dan zuruf yang sesuai supaya ianya tidak membawa kepada fitnah selepas berkahwin. Ambil kira semua aspek dan faktor dan carilah alternatif yang terbaik supaya perkahwinan yang dijalankan itu dalam keadaan yang benar-benar tidak membebankan kita sebagai seorang pelajar.

Sungguh perkahwinan itu bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi kepada para pemuda serta pelajar yang masih kurang pengalaman serta pengetahuan. Tetapi ingatlah bahawa Allah swt sentiasa memberikan jalan keluar dari kesusahan kepada hambaNya yang bertakwa kepadaNya. Firman Allah swt :

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka sesungguhnya Allah akan menyediakan baginya jalan keluar (dari kesusahan) dan memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangkai olehnya.” (Surah Thalaq : 2-3)


Akhirnya sentiasalah kita berdoa dengan doa yang di ajar oleh Allah :

ربنا هب لنا من أزواجنا وذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما.

Maksudnya : “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Furqan : 74)

Dan doa yang di ajar oleh Abdullah Bin Mas ‘ud ra kepada para syabab :

أللهم أرزقني امراة إذا نظرتُ إليها سرَّتني، وإذا أمرتُها طاعتني،
وإذاغِبت عنها حفظت غيبي في نفسها ومالي.

Maksudnya : “Wahai Tuhan, rezekilah kepadaku isteri yang apabila aku memandang kepadanya akan menggembirakanku, apabila aku menyuruhnya (melakukan sesuatu) dia akan taat kepadaku, apabila aku tidak ada dia akan menjaga kehormatan dirinya dan hartaku”.

InsyaAllah, moga-moga dengan ini kita mampu untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia bersama-sama pasangan yang telah dijodohkan oleh Allah swt kepada kita di dunia dan insyaAllah akan bersama-sama di akhirat kelak.

Moga-moga dengan penulisan ini dapat memberi manfaat kepada para remaja dan siswa juga siswi yang mungkin bercita-cita untuk berkahwin ketika masih belajar dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dan juga menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara maksiat yang menjadi mainan anak muda zaman kini. Hanya dengan perkahwinan sahajalah hubungan yang terbina itu menjadi halal. Jadi kepada pasangan-pasangan remaja diluar sana, bila lagi kalian ingin mengikat hubungan kalian dengan ikatan yang sah? Apakah tiada rasa bersalah kalian membawa anak dara orang keluar tanpa ada ikatan yang menghalalkannya? Sama-sama kita renungkan…



Allahu’alam.

Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.


3 comments:

  1. Allahuakbar!!!
    >>>terketuk pintu hati ini<<<
    syukran...

    ReplyDelete
  2. Bagi pendapat saya pula,untuk lelaki/bakal suami kejarlah dulu cita-cita sebelum kejar cinta. Bukan susah pun, Habiskan Belajar Secepat Mungkin (kalau tempoh belajr 4 tahun, compress jadikan 3 tahun), Dapatkan Kerja Terbaik Cepat-Cepat, Kumpul Duit Secukupnya cepat-Cepat then Pinang la Bakal Isteri Cepat-Cepat, tak susah pun. Kalau Allah dah takdirkan itu jodoh kita, InsyaAllah takkan ke mana-mana. Sekadar pendapat saya, maafkan saya jika tersilap.hehehehe


    Entry saya berkenaan tajuk ini >>>
    KAHWIN SEMASA BELAJAR DAN USIA MUDA
    Cinta : TIPS BERCINTA CARA ISLAM

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, ana sdg buat research. mana yg terbaik, atau keburukan lebih dr kebaikan (perkahwinan smasa belajar ni)

    Bila dinilai diri sendiri, insyaAllah ana mampu. Cuma.. prasangka dan selalu dtg perasaan negatif dlm diri.. maksudnya skrgni bila org kata beban, dia jd satu benda yg menakutkan

    Ana yakin dgn diri sendiri. Cuma takut nak hadapi masa dpn, sbb kita xnampak lg jalannya.
    Ana xboleh bygkan lg bila org dok crita mcm2 masalah2 rumahtangga

    Hm. Hrp dpt bantu....

    ReplyDelete