Menuntut Ilmu adalah satu perkara yang sangat
dititikberatkan di dalam Islam sepertimana yang telah disabdakan oleh
Rasulullah saw di dalam satu hadis yang mahsyur :
طلب العلم فريضة على
كل مسلم
Maksudnya : “Menuntut ilmu itu
satu kewajipan atas setiap muslim". [Hadis Riwayat Ibnu Majah, disahihkan oleh al-Albani]
Selain itu Allah juga menjanjikan
kenaikkan darjat buat orang-orang yang berilmu sepertimana firmannya yang
berbunyi :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا
مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “supaya Allah
meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat…” [al-Mujadilah:
11]
Ayat al-Quran dan hadis di atas
menunjukkan kepada kita betapa pentingnya mencari ilmu pengetahuan malah ianya
juga termasuk di dalam perkara ibadah yang dijanjikan ganjaran yang lumayan
kepada sesiapa yang menuntut ilmu.
Sabda Rasulullah saw:
ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله
له به طريقا إلى الجنة
Maksudnya: “dan barangsiapa
yang keluar berjalan mencari ilmu maka dimudahkan Allah baginya jalan ke
syurga..” [Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi,
Ibn Majah, dan Ahmad].
Hakikatnya pada zaman kini ramai manusia yang berlumba-lumba dalam menuntut ilmu tidak kira di mana sahaja mereka berada. Setiap orang mempunyai maksud yang tertentu dan agenda yang ingin dipenuhi dengan ilmu yang dituntut oleh mereka. Maka orang-orang yang menuntut ilmu ini bolehlah dikategorikan kepada tiga golongan.
Golongan Pertama :
Golongan yang pertama ini ialah orang yang mencari
ilmu untuk bekalan di hari akhirat dan dia tidak menuntut ilmu melainkan dengan
niat untuk mencari keredhaan Allah dan supaya ilmunya menjadi bekalan yang
berguna di hari pembalasan kelak. Golongan yang pertama ini tergolong di
kalangan orang-orang yang beruntung.
Golongan Kedua :
Golongan yang kedua adalah orang yang mencari ilmu
untuk nikmat yang segera iaitu kenikmatan dunia berupa pangkat, kemuliaan dan
harta benda sedangkan dia sendiri menyedari hal ini malah di dalam
hatinya dapat merasai akan kejahatan yang sedang dilakukannya dan kehinaan
maksudnya. Golongan ini termasuk di dalam golongan yang berada di dalam keadaan
bahaya. Hal ini kerana jika dia tidak sempat bertaubat sebelum nyawanya dicabut, maka
dibimbangi matinya nanti dalam keadaan “su’ul khatimah” dan urusannya di hari
akhirat kelak terserah kepada kehendak Allah swt sama ada mahu memaafkannya
ataupun menyeksanya. Tetapi jika dia mendapat taufiq hidayah daripada Allah
lalu dia sempat bertaubat sebelum matinya dan sempat beramal dengan ilmu yang
ada padanya dan membetulkan kembali apa yang telah dilakukannya maka orang ini
bolehlah dimasukkan kedalam golongan orang-orang yang beruntung kerana orang
yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.
Golongan Ketiga
:
Golongan yang ketiga adalah orang yang telah
dikuasai oleh syaitan kerana dia menjadikan ilmunya itu sebagai alat
menghimpunkan harta benda, bermegah-megah dengan kedudukannya serta berasa
bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmunya untuk menunaikan
segala hajatnya serta untuk mengaut keuntungan dunia yang sementara. Walau
bagaimanapun, dia masih terpedaya dengan sangkaan bahawa dia mempunyai
kedudukan tinggi di sisi Allah kerana ia pada zahirnya menyerupai para ulama’.
Dia bercakap seperti percakapan para ulama’ dan berpakaian seperti pakaian para
ulama’ padahal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam
menghimpunkan kekayaan dunia. Orang seperti ini termasuk di dalam golongan yang
binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan. Golongan ini sangat tipis
peluangnya untuk bertaubat kepada Allah swt kerana pada
sangkaannya dia termasuk di dalam golongan orang yang baik sedangkan dia
telah lupa pada firman Allah swt :
Maksudnya : "Wahai
orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu
kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa
yang tidak kamu kerjakan. [As-Shaff:2-3]
Sebenarnya golongan ini termasuk di dalam golongan
yang disabdakan oleh Rasulullah saw yang bermaksud
“Selain
daripada dajjal ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada
Dajjal. Lalu ada orang yang bertanya : Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi saw
menjawab : Mereka ialah ulama’ su’ yakni ulama’ yang jahat.” [Hadis Riwayat
Ahmad]
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita berusaha
supaya tergolong di dalam golongan yang menuntut ilmu untuk mendapat keredhaan Allah di samping menjadikan ilmu yang diperoleh sebagai bekalan buat hari akhirat supaya nanti kita tergolong di kalangan orang-orang
yang beruntung di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, cuba untuk senantiasa memuhasabah
diri sendiri di samping selalu memperbaharui niat kita di dalam menuntut ilmu. Ini kerana
walaupun menuntut ilmu merupakan satu ibadah tetapi ianya juga boleh menjadi
maksiat andai ianya dikuasai oleh nafsu ammarah bis-su’ dan juga bisikan syaitan yang
direjam. Hal ini kerana syaitan menginginkan kita supaya melakukan kejahatan sedangkan
kita mengira bahawa kita sedang melakukan kebaikkan. Begitulah bijaknya syaitan
dalam memesongkan hati manusia.
Allah swt berfirman yang bermaksud :
"Katakanlah: Apakah
akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi
perbuatannya?" Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam
kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat
sebaik-baiknya."
[Surah Al-Kahfi : 103-104]
Akhirnya marilah kita bersama-sama mengamalkan doa yang telah diajarkan
oleh Rasulullah saw :
Maksudnya :“Ya Allah, aku
berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak
khusyu’, dari nafsu yang tidak pernah kenyang, dan dari doa yang tidak
dikabulkan.”[HR Muslim 4899]
Sumber rujukan : Kitab Bidayatul Hidayah Karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali
Allahu’alam.
Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.
Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.
No comments:
Post a Comment