Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, October 5, 2011

Wahai Wanita, Seandainya Engkau Mengetahui




Wahai wanita…
Dirimu adalah ciptaan Allah swt yang sangat berharga. Yang melengkapkan fitrah kehidupan di muka bumi ini. Yang menjadi sumber kekuatan seorang lelaki. Setiap lelaki yang berjaya pasti ada seorang wanita yang sentiasa menyokong di belakangnya dan sentiasa membantu di sisinya. Rasulullah saw sendiri di waktu Baginda keletihan dalam berdakwah adanya Siti Khadijah di belakang Baginda yang sentiasa memberikan kata-kata perangsang dan kata-kata semangat kepada Baginda serta sokongan malahan Siti Khadijah juga telah banyak menginfakkan harta yang dimilikinya di jalan dakwah Rasulullah saw.

Wahai wanita…
Seandainya engkau mengetahui akan isi hati ku. Ketahuilah bahawa diriku seakan-akan nampak gagah di luaran tapi sedarkah dirimu bahawa di dalam hati ku ini tersangatlah lemah apabila berhadapan denganmu. Sungguh dirimu telah dihias supaya kelihatan menarik dalam perhatian ku. Membuatkan aku begitu mudah dirasuk hawa nafsu yang sering kali datang menggodaku. Firman Allah swt ;

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”
(Surah Ali Imran : 14)

Oleh itu, wahai wanita yang solehah, penghias dunia juga bakal bidadari syurga kelak, aku mengharapkan supaya dirimu mengasihani diriku ini dengan menjaga dirimu sebaik-baiknya. Usahlah gunakan kecantikkanmu untuk menggores imanku. Usahlah menggunakan kelembutan suaramu untuk membangkitkan hawa nafsuku. Usahlah dirimu menggoda ku dengan bentuk-bentuk tubuh mu yang diciptakan begitu unik serta mampu menarik perhatian ku. Tutuplah dirimu sebaik-baiknya kerana ianya adalah lambang ketinggian keperibadianmu dan ianya juga merupakan lambang seorang wanita solehah yang sering dinanti-nanti dan diidamkan oleh lelaki-lelaki yang soleh.

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
(Surah An-Nur : 26)

Wahai wanita…
Ketahuilah tulisanku ini tidak sekali-kali untuk menuduh dirimu sebagai penjenayah kepada iman ku sebagai kaum adam. Tetapi tulisanku ini adalah untuk meluahkan rasa hati ku ini sebagai seorang lelaki yang sering kali kecundang dalam menghadapi hawa nafsuku apabila berhadapan dengan dirimu. Ketahuilah bahawa dirimu telah dianugerahkan oleh Allah swt suatu kelebihan yang mampu menundukkan segagah-gagah lelaki di muka bumi ini.  Apatah lagi jika kelebihan dirimu itu digunakan keatas diriku yang langsung tidak mempunyai sebarang kekuatan malah mempunyai tahap keimanan yang lemah ini, sudah tentu aku dengan mudah akan tertewas. Oleh itu wahai kaum wanita,dirimu telah dijadikan begitu istimewa oleh Allah swt. Jadi gunakanlah keistimewaan dan kelebihan yang diberikan oleh Allah swt itu ke jalan yang diredhai oleh Penciptamu sekalian.

Rasulullah saw bersabda yg bermaksud ;

”aku tidak akan meninggalkan suatu fitnah yg pling berbahaya sesudahku nanti kecuali fitnah yg dihadapi oleh kaum lelaki dengan sebab kaum wanita” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wahai wanita…
Janganlah kalian begitu mudah termakan dengan pujuk dan rayuku. Ketahuilah bahawa aku melakukan hal tersebut hanya untuk melayan nafsuku yang sering menggoda. Ketahuilah bahawa dirimu wahai wanita mempunyai sembilan darjah keabaian iaitu malu sedangkan aku sebagai seorang lelaki hanya mempunyai satu darjah keaiban. Oleh kerana itu wahai wanita, jika kesembilan-sembilan martabat malu itu telah hilang dari dirimu maka dengan mudah aku mampu melakukan apa sahaja kepada dirimu walaupun ianya merupakan satu dosa yang besar. Oleh sebab aku hanya mempunyai satu darjah keaibanlah aku seringkali tanpa segan silu mengeluarkan kata-kata manis dan romantis semata-mata untuk menarik hatimu. Oleh itu wahai kaum wanita sekalian, jagalah martabat malumu kerana ianya adalah benteng kepada dirimu daripada termakan jerat dan umpan kaum lelaki seperti aku yang seringkali tewas kepada pujukan nafsu.


الحياء و الإيمان قرناء جميعًا فإذا رفع أحدهما رفع الأخر

Maksudnya : Perasaan malu dan Iman adalah teman.Bila satunya diangkat,yang lagi satu pun ikut sama.

Wahai wanita,
Ketahuilah bahawa hanya dirimu mampu menentukan bahawa kamu ingin menjadi seperti kelapa yang murah serta manisnya hanya sementara ataupun ingin menjadi seperti mutiara yang mahal harganya dan akan dijaga dan disayangi buat selama-lamanya. Jika kelapa yang telah dirimu pilih maka ketahuilah bahawa apabila habis santan diperah maka sisa-sisanya pasti akan dibuang. Adakah maruah serta nilai dirimu serendah itu??? Apakah dirimu sanggup untuk dijadikan sebagai alat mainan untuk memenuhi nafsu manusia??? Setelah dirimu dimiliki maka dengan mudah dirimu dibuang seperti sisa-sisa kelapa yang telah diperah santannya??? Apakah serendah itu martabat dirimu yang diciptakan sebagai makhluk yang istimewa??? Ingatlah wahai kaum hawa, seorang lelaki sudah tentu akan menyukai dirimu dan tertarik kepada keindahan yang tanpa segan silu ditonjolkan olehmu tetapi ingatlah ianya tidak lebih hanyalah sebagai mainan pemuas nafsu semata-mata. Selepas mereka mendapat apa yang mereka hajatkan maka sampai disitu sahajalah titik noktah kepada hubungan yang terjalin. Sebab walau sejahat mana pun diri seorang lelaki itu tetap mereka mempunyai cita-cita untuk memiliki seorang wanita yang solehah, yang menjaga dirinya daripada menjadi santapan-santapan lelaki-lelaki seperti mereka yang bernafsu serta wanita yang mampu mendekatkan diri mereka kepada Yang Maha Esa. Kerana wanita-wanita seperti inilah yang mempunyai nilai yang tinggi dan bukanlah sekadar sisa-sisa orang lain yang telah dibuang.

Dan jika dirimu memilih untuk menjadi seperti mutiara, maka itulah yang sebaik-baiknya. Kerana mutiara ini tersangat mahal harganya dan begitu berharga. Semakin dalam ianya tersembunyi dan semakin susah untuk menemuinya di dasar laut maka harganya semakin mahal. Oleh sebab itu mutiara ini sangat-sangat dijaga dan terjaga oleh sesiapa saja yang memilikinya. Dan kehilangannya akan ditangisi buat jangka masa yang panjang. Oleh itu wanita yang diibaratkan seperti mutiara ini ialah wanita yang betul-betul menjaga segala apa yang mampu menjatuhkan maruah dan harga dirinya tidak kira dari segi pakaian, pergaulan, akhlak dan sebagainya. Dan wanita solehah inilah yang diibaratkan oleh Rasulullah saw sebagai secantik-cantik perhiasan dunia dan amat beruntung kepada sesiapa yang memilikinya. Jadi wahai wanita di luar sana, pilihan ada di tanganmu. Yang manakah yang ingin menjadi pilihan?? Adakah seperti kelapa yang manisnya buat sementara atau seperti mutiara yang kebahagiaannya buat selama-lamanya???

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :

“Dunia itu ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah”
(Hadis Sahih riwayat Muslim).

Ya Allah Ya Tuhanku,
Engkau anugerahkanlah kepada ku wanita yang solehah yang telah Engkau utuskan di dunia ini untuk menjadi penghulu bidadari di syurgaMu kelak. Dan Engkau berikanlah kepada ku secantik-cantik perhiasan di muka bumi Mu ini untuk menyinari dan melengkapi kehidupanku serta mampu membuatkan aku lebih dekat kepada Mu. Dan engkau baikilah akhlak serta budi pekertiku dan dekatkanlah aku dengan redhaMu supaya aku mampu memiliki wanita solehah yang pasti ingin mencari lelaki soleh untuk menjadi pendamping hidupnya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Allah swt berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud :

“Maka kahwinilah akan kamu dari perempuan itu yang baik bagi kamu”
(An-Nisa : 3).

 Selain itu Rasulullah saw juga pernah bersabda yang berbunyi :

“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung” (hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhirul Kalam,
Wahai wanita, ketahuilah bahawa dirimu begitu berharga. Sesungguhnya Allah menciptakanmu sebagai pelengkap fitrah manusia. Maka jangan jadikannya sebagai suatu fitnah. Gunakanlah kelebihan yang ada pada dirimu sebagai kekuatan untuk meneruskan perjuangan. Srikandi Islam adalah pejuang yang sentiasa berada di jalan dakwah serta menjadi sayap kiri perjuangan Islam. Teringat aku dengan satu kata-kata di dalam sebuah lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Dehearty : “Akalmu senipis bilahan rambut, tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu. Jua hatimu bak kaca yang rapuh, kuatkanlah ia dengan iman yang teguh.”

Oleh itu, wahai bakal bidadari syurga lengkapkanlah dirimu dengan agama kerana itulah yang membezakanmu wahai wanita solehah dengan wanita-wanita yang lain. Untuk dirimu menjadi seorang yang taat serta menjadi seorang wanita yang solehah maka dirimu tidak dapat lari dari menuntut ilmu lebih-lebih lagi ilmu agama.

Satu kata-kata yang sangat menarik telah dipetik daripada Ibnu Qayyim al-Jauzi yang berbunyi :

“Sesungguhnya hidayah itu tidak akan sampai melainkan dengan ilmu”

Selain itu satu kata-kata yang amat bermakna telah diungkapkan oleh al-Khawarizmi, seorang ahli Matematik apabila ditanya tentang wanita terbaik. Dia menjawab ;

Jika wanita solehah dan beragama = 1
Jika dia cantik; tambah 0 kepada 1 =10
Jika dia kaya ; tambah lagi 0 = 100
Dan jika dia dari keluarga baik-baik ; tambah lagi 0 = 1000
Tetapi jika yang "1" tiada maka tiada apa yang tersisa pada wanita tersebut kecuali sekelompok "0"...

Begitulah pentingnya dirimu menjadi seorang yang berilmu dan beragama kerana ianya memberi nilai kepada dirimu sedangkan yang lainnya hanyalah sebagai penambah asset kepada nilai yang dirimu miliki. Tetapi jika dirimu tidak beragama maka asset lain yang ada itu hanyalah sia-sia kerana ianya tidak mempunyai nilai sedikit pun.

Nafsu mengatakan wanita cantik atas dasar rupanya,
Akal mengatakan wanita cantik atas dasar ilmu dan kepandaiannya,
Hati mengatakan wanita cantik atas dasar akhlaknya,
Dan Iman mengatakan wanita cantik atas dasar AGAMANYA.



Bidadariku

Bidadariku,
Namamu tak terukir
Dalam catatan harianku
Asal usulmu tak hadir
Dalam diskusi kehidupanku
Wajah wujudmu tak terlukis
Dalam sketsa mimpi-mimpiku
Indah suaramu tak terekam
Dalam pita batinku
Namun kau hidup mengalirin
Pori-pori cinta dan semangatku
Sebab
Kau adalah hadiah agung
Dari tuhan
Untukku
Bidadariku


Allahu’alam.

Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.


No comments:

Post a Comment