Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Tuesday, August 23, 2011

Pesanan Buat Semua Pejuang Islam


Umum mengetahui bahawa Saidina Umar al-Khattab merupakan Khalifah yang kedua selepas kewafatan Baginda Rasulullah saw yang kemudiannya digantikan dengan Abu Bakar as-Siddiq dan kemudiannya tugas sebagai khalifah ini diambil alih pula oleh Saidina Umar al-Khattab.

Saidina Umar al-Khattab telah menukilkan satu pesanan dan nasihat yang amat berguna kepada bala tenteranya dalam menghadapi musuh mereka di medan perang dan pesanan ini juga secara umum perlu diambil berat oleh setiap insan yang bergelar pejuang Islam pada masa kini dalam mengharungi dugaan dalam menghadapi musuh yang sentiasa ingin memadamkan sinar Islam.

Ini adalah pesanan Saidina Umar al-Khattab kepada ketua tentera muslimin, Sa'ad bin Abi Waqqas ketika beliau mengutusnya untuk pembukaan kota Parsi:

Sesungguhnya aku memerintahkan kepadamu wahai Sa'ad dan juga mereka yang bersama-samamu supaya bertaqwa kepada Allah dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya taqwa kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sehebat-hebat strategi dalam peperangan..

Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-samamu supaya menjauhkan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa2 yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh2 Islam..

Sesungguhnya orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi bagi orang Islam kekuatan..

Bilangan tentera kita tidak seramai bilangan tentera mereka. Kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka..

Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah ke atas musuh2 ini dengan kelebihan kita, sudah pasti kita tidak akan dapat mengalahkan mereka..

Ketahuilah!

Bahawasanya bersama-sama dalam perjalananmu, malaikat2 yang mengawasi, dan para malaikat ini mewakili pihak kerajaan Allah untuk menjagamu. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Maka malulah terhadap apa yang ingin kamu lakukan. Janganlah kamu berkata, "sesungguhnya pihak musuh lebih hina daripada kita, dan mereka tidak akan dapat menguasai kita walaupun kita turut berbuat kejahatan "..

Mana tahu Allah akan mendatangkan satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang pernah berlaku kepada kaum bani israil dahulu yang akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang kafir majusi..

Mohonlah daripada Allah kemenangan ke atas nafsu2 mu.seperti kamu memohon kemenangan ke atas musuh2mu. Aku memohon perkara yang sama ke atas diriku dan dirimu..

Begitu bermakna pesanan yang disampaikan oleh Saidina Umar al-Khattab ini kepada bala tenteranya yang akhirnya menjadi pemangkin kepada kemenangan tentera Islam. Dan pesanan yang agung ini juga sebenarnya disampaikan juga buat diri kita sebagai seorang pejuang yang berdiri di atas jalan Allah. Yang berjuang untuk menegakkan Islam. Tetapi apakah kita mampu untuk melaksanakannya jika diri kita sendiri tidak beramal dengan Islam yang sebenarnya??

Hasan al Hudaibi, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang ke-2 juga ada menyebut : ” Tegakkan negara Islam itu dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di tanah air kamu”.


Ertinya kemenangan yang kita idamkan perlu datang daripada diri kita. Iman yang mantap menjadi pemangkin kepada kekuatan umat Islam. Hal ini telah dibuktikan dan ianya terlukis di dalam lembaran-lembaran sejarah Islam. Tentera Islam mampu untuk menang walaupun mempunyai tentera yang sedikit dan kelengkapan senjata yang kurang, tetapi oleh kerana Islam telah tertegak di dalam diri mereka, iman mereka yang begitu kuat di samping cintakan syahid daripada kehidupan dunia, maka mereka mampu menang walaupun di dalam serba kekurangan oleh kerana dekatnya pertolongan Allah swt kepada mereka-mereka yang ikhlas berjuang demi agamaNya. Sehinggakan kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi dapat dikalahkan oleh tentera Islam.

Setelah menelusuri sejarah kehebatan Islam yang berpunca daripada keimanan mereka kepada Allah swt jadi mari kita mengoreksi diri kita. Wahai sahabat-sahabat sekalian, bagaimana mungkin kita mampu menang dalam memperjuangkan agama Allah swt sedangkan diri kita yang mengaku sebagai pejuang Islam sendiri begitu jauh dengan Allah, lalai dalam mengingatinya dan sering melakukan maksiat???

Satu kisah yang menarik buat perkongsian bersama.

Suatu ketika Nabi Musa a.s mengalami sakit gigi. Nabi Musa a.s mengadu kepada Allah swt. Lalu Allah swt menyuruh Nabi Musa a.s untuk mengunyah sejenis daun. Nabi Musa a.s berbuat seperti yang diwahyukan oleh Allah swt itu dan sakit giginya sembuh.

Suatu ketika Nabi Musa a.s mengalami sakit gigi semula. Lantas Nabi Musa a.s mengambil daun yang sama dan mengunyahnya. Tetapi kali ini sakit gigi Nabi Musa a.s tidak sembuh. Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah swt berhubung keadaan yang demikian itu. Allah swt berfirman kepada Nabi Musa a.s iaitu pertama kali sakit gigi, Nabi Musa a.s telah mengadu kepada Allah swt. Sakit gigi kali kedua. Nabi Musa a.s tidak lagi mengadu kepada Allah swt dan hanya terus mengunyah daun tersebut yang tidak memberi bekas.

Biarpun peristiwa itu berlaku kepada Nabi Musa a.s, iktibar besar bagi para pejuang Islam ialah jangan melupai Allah swt. Segala usaha ikhtiar kita para pejuang biar bagaimana pintar dan gigih, tetap tidak memberi bekas. Betapalah kalau pejuang Islam terus leka, lalai dan lupakan Allah swt, ertinya jauh dari Allah swt. Apatah lagi kalau pejuang Islam juga turut berbuat mungkar, dosa dan derhaka kepada Allah swt. Ertinya pejuang Islam bukan sahaja Allah swt tidak pandang malah turut menerima murka dan kutukan dari Allah swt. Pejuang yang berbuat maksiat, dan dalam waktu yang sama meminta pertolongan, sama seperti orang yang meminta sesuatu daripada orang yang dia sendiri musuhi.

Faktor mencukupkan syarat hingga layak mendapat pertolongan Allah swt inilah yang sangat terpinggir dan terabai. Umat Islam lebih banyak merekacipta berbagai andaian hingga terhimpunlah dalam senarai panjang mengapa pejuang Islam tidak menang dan musuh tidak tewas. Tetapi satu faktor terpenting, utama dan paling asas tidak dipedulikan. Akhirnya agama Islam milik Allah swt itu diperjuangkan oleh orang yang melupai malah menderhakai Allah swt. Para pejuang bukan saja tidak dipandang oleh Allah swt malah dimurkai oleh Allah swt.

Oleh itu, wahai pejuang Islam sekalian, aku menyeru kepada diriku dan juga kepada diri kalian semua supaya bangkit menegakkan Islam di dalam diri kita terlebih dahulu di samping kita berjuang menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Dekatkanlah diri kita kepada Allah swt. InsyaAllah moga-moga usaha yang kita lakukan demi menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini akan dipandang dan mendapat pertolongan daripada Allah swt. Sungguh pertolongan Allah itu terlalulah dekat kepada orang-orang yang beriman. InsyaAllah.

Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment