Lailatul Qadar. Satu malam yang begitu dicari-cari oleh kaum Muslimin. Seperti yang umum ketahui bahawa lailatul Qadar atau malam Al-Qadar ini adalah satu malam yang sangat istimewa buat umat Islam kerana ianya lebih baik dari seribu bulan. Ini berdasarkan firman Allah swt :
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ 
 Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (Al-Qadr : 3)
Sehinggakan Rasulullah saw juga mencari-cari malam al-Qadar ini dengan beribadah bersungguh-sungguh pada 10 malam yang terakhir pada bulan Ramadhan melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Hal ini diceritakan melalui hadis Rasulullah saw : 
"Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di  sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam  yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :- 
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah  Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya  (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim) 
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره 
Ertinya  : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi  menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak  menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" (  Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ; 
Justeru  ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan.  Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr,  ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami  Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 ) 
2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu. 
Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya  : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan  yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus  rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5) 
Imam  At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya  seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga,  ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk  dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan  menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah,  Mujahid dan Al-Hassan (Tafsir At-Tabari, 25/108 )
Imam Al-Qurtubi mencatatkan 
Ertinya  : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan  untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang  kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam  Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)
Demikian  juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn  Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi  hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.
3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat. 
Perlu  difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu  bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan  hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan  katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya  : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah  pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu  Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr (  selain bulan Ramdhan)  ( At-Tabari, 30/259)
Imam  Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi  makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat  zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang  amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami'  Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil  Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan). 
4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as). 
Hal  ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam  sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun  dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara  berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka  dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali  empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus  siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan. 
5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan  Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir  Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini  akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu  sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr. 
6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah; 
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi saw  bersabda yang   bermaksud: Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan  kerana beriman dan   mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya  yang lalu.   Barangsiapa solat pada Lailatul Qadar kerana beriman dan  mengharapkan   pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah  berlalu.” (Hadith  riwayat Bukhari dan Muslim)
Bila Waktunya Malam al-Qadar Ni???
Menurut  pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada  sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil. 
Hadis Nabi menyebut:- 
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان 
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
Doa apa yang perlu di doakan jika kita berjumpa dengan malam al-Qadar ni??? 
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya  : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah  kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami  dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
Di  malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan  keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w  kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني 
Ertinya  : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu  Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : "  Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat  suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan" 
Akhirul kalam,
Lailatul Qadar bukanlah untuk dinanti kehadirannya tetapi untuk dicari. Betapa ruginya kita andai terlepas malam yang amalannya di malamnya lebih baik dari seribu bulan. Sementara masih mempunyai kesempatan di dalam malam Ramadhan yang berbaki ini, marilah sama-sama kita menghidupkan amalan pada malam-malamnya. Mudah-mudahan kita berjumpa dengan malam al-Qadar ini. InsyaAllah.
Wallahu'alam.



No comments:
Post a Comment