Oleh kerana sayangnya saya kepada negara yang bernama Malaysia ni dan juga kerana sayangnya saya kepada saudara-saudara semuslim dan sebangsa maka saya luahkan segala rasa hati saya yang telah lama saya pendamkan. Sebelum saya meneruskan luahan hati saya, ingin sekali saya tegaskan di sini bahawa luahan hati saya ini adalah berpunca daripada kemungkaran yang dibuat secara terang-terangan oleh puak-puak yang mengaku Islam yang datang dari bangsa Melayu. Sehinggakan saya sendiri berasa malu untuk mengaku diri ini berbangsa Melayu oleh kerana melihatkan keadaan Umat Melayu (tak kira Islam ke tak) yang bodoh lagi mudah dibodohkan. Ya!!! Nak marah,marah lah sebab itulah realiti yang berlaku. Apa boleh kita katakan seseorang itu cerdik sedangkan dia sendiri memperlihatkan kebodohannya???
Saya sebagai remaja Malaysia ingin melihat angin perubahan datang kepada Malaysia. Di sini saya ingin kita semua buka minda kita. Jangan disempitkan hanya kepada ketuanan Melayu sahaja kerana ketuanan Melayu tu takkan sampai ke akhirat. Cuba kalian lihat sendiri di sekeliling kalian, tidak malukah kalian sebagai bangsa Melayu yang kononnya automatik beragama Islam menjuarai carta masalah sosial? Statistik menunjukkan bahawa jumlah kaum yang paling tinggi di dalam carta kes buang anak, kes zina, kes curi, kes rogol, kes dadah, kes rasuah dan segala bagai yang berkaitan dengan gejala sosial, semuanya dijuarai oleh bangsa Melayu yang dikatakan agama Islam (Islam hanya pada nama dan i/c). Di manakah letaknya maruah kalian sehinggakan kalian berbangga kerana kalian menjuarai setiap carta dalam kes gejala sosial ini??
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa hal-hal seperti ini terjadi kerana kurang pekanya ibu bapa kepada anak-anak mereka, kurang peka di kalangan masyarakat dalam melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar dan yang paling bertanggungjawab sekali iaitu kurang pekanya kerajaan dalam menerapkan budaya hidup Islam di dalam kalangan rakyatnya.
IBU BAPA MENCORAKKAN KEPERIBADIAN ANAK
Ibu bapa adalah elemen terpenting dalam membentuk keperibadian akhlak remaja serta anak-anak. Tetapi bagaimana mungkin hal ini boleh berlaku jika ibu bapa sendiri tidak memehami tanggungjawab mereka dalam mendidik anak? Di tambah lagi oleh kedangkalan ilmu agama yang untuk bekalan diri sendiri serta bekalan untuk membimbing anak-anak mereka ke arah hidup beragama yang akhirnya menjadi penyebab anak-anak mereka semakin rosak dan semakin jauh dari nilai hidup yang berteraskan Islam. Ingatlah wahai ibu bapa sekalian bahawa kalian lah yang menjadi pembimbing kepada anak-anak kalian.
Rasulullah saw pernah bersabda : “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Di dalam hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapalah yang bakal mencorak keperibadian anak-anak mereka kelak. Allah swt juga ada berfirman yang berbunyi :
“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)
Lihatlah wahai ibu bapa sekalian, bahawa tugas kalian bukan sahaja untuk membimbing dirimu sahaja tetapi juga kalian juga menggalas tugas untuk membimbing anak-anak kalian. Oleh itu tidak lah keterlaluan jika saya katakan punca terjadinya masalah sosial yang dijuarai oleh orang melayu yang kononnya beragama Islam ini adalah berpunca dari ibu bapa yang tidak faham kepada perintah Allah dan Rasul, maka bagaimana mungkin seorang ibu dan ayah yang tidak faham ajaran Islam ingin mengajarkan anaknya perihal hidup beragama???
Ingatlah bahawa kalian adalah pemimpin kepada anak-anak kalian dan kepimpinan kalian itu akan ditanya di hadapan Allah swt kelak.
Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah Bin Umar: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan di atas setiap apa yang kamu pimpin. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
MASYARAKAT PERLU SEDAR KEPENTINGAN AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR
Masyarakat??? Apa yang pentingnya masyarakat dalam soal keruntuhan akhlak remaja ni??? Ingatlah bahawa tugas kalian wahai masyarakat Islam sekalian adalah untuk sentiasa berusaha mengubah kemungkaran yang berlaku di hadapan mata kalian. Apa yang saya dapat perhatikan, kebanyakkan masyarakat Islam (lebih-lebih lagi yang mempunyai kesedaran agama) hanya memerhatikan diri mereka sendiri dan ahli keluarga mereka sahaja tanpa melibatkan diri dalam pembentukan masyarakat Muslim dan berusaha untuk menghidupkan bi'ah solehah di kawasan mereka berada.
Ingatlah akan sabda Rasulullah saw Riwayat Al-Bukhari dan Muslim :
"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."
Bukanlah bermakna apabila kita sayang maka kita membiarkan sahaja kemungkaran yang berlaku itu kerana takut terjadinya perbalahan atau takut dikatakan menjaga tepi kain orang. Sedangkan makna sayang yang sebenar membawa maksud kita inginkan sesuatu yang terbaik untuk saudara semuslim kita. Bukankah Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud :
Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.” (Hadis Riwayat Muslim).
Bukanlah bermaksud bahawa hadis ini bertentangan antara satu sama lain, tetapi ianya membawa maksud kita akan berusaha merubah dari keburukan kepada kebaikan kerana sayangnya kita kepada saudara semuslim. Seorang ibu yang menyayangi anaknya takkan membiarkan anaknya melakukan kezaliman dan kemungkaran begitulah juga hal nya kaitan hadis berkasih sayang antara saudara semuslim dan hadis mencegah kemungkaran ini.
Tidak takutkah kalian akan azab Allah swt yang akan menimpa kita oleh kerana berleluasanya kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku pada zaman sekarang?
Ibnu Abbas pernah bertanya kepada Rasulullah saw: “Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun dalamnya ada orang soleh? Rasulullah SAW mengatakan, disebabkan mereka memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhaka Allah, maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas penduduknya.”
Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk berusaha membaik pulih keadaan umat Islam yang semakin tenat dek pengaruh budaya hedonisme yang melampau dengan menjalankan bukan sahaja amar ma'ruf tetapi juga nahi mungkar dalam mengembalikan anak-anak muda kita ke pangkal jalan.
KERAJAAN DAN PEMERINTAH TUNJANG PAMBANGUNAN UMMAH
Yang ni memang banyak yang saya nak komen. Tapi oleh kerana kesuntukkan masa maka saya akan pendekkan. Kerajaan atau pemerintah, membawa maksud mereka-mereka yang memegang tampuk kekuasaan sesebuah negara. Juga merupakan orang yang boleh dikatakan paling berkuasa di dalam sesebuah negara. Malangnya zaman sekarang ini mereka yang tidak berkelayakkan memimpin dijadikan pemimpin. Sedangkan orang yang paling rapat dengan diri pemimpin itu sendiri tidak dapat ditarbiyyah untuk mengikut jalan yang lurus yang telah disediakan oleh agama bagaimana mungkin dia boleh menjadi pemimpin kepada kelompok yang lebih besar??
Kesedihan melanda kalbu apabila melihat para pemimpin sendiri jauh daripada landasan Islam yang sebenar. Dengan pemimpin sendiri dikuasai oleh budaya hedonisme. Melakukan perkara yang tidak selaras dengan syariat. Menggalakkan maksiat malah mereka sendiri tanpa segan silu terlibat secara langsung dengan maksiat tersebut. Mengawal media-media arus perdana yang sentiasa menebarkan fitnah di bumi bernama Malaysia ini, melakukan ketidakadilan dan kezaliman semata-mata untuk menutup kesalahan dan kelemahan mereka. Menggunakan jentera-jentera kerajaan untuk kepentingan peribadi serta puak-puak mereka sahaja di samping menggunakan jentera-jentera kerajaan untuk mengekalkan mereka di tampuk kekuasaan dan yang paling parah adalah mereka tiada usaha langsung untuk menegakkan hukum Islam di negara ini bahkan menghalang mereka-mereka yang ingin melaksanakannya. Jika ingin dikemukakan di sini pasti banyak lagi yang ingin dibicarakan tentang pemerintah negara kita ini yang bertentangan dengan syariat Islam, lalu bagaimana mungkin kerajaan atau pemerintah seperti ini ingin membimbing rakyat mereka untuk menuju ke arah hidup beragama??? Maka celakalah umat Islam di muka bumi Malaysia ini oleh kerana kerakusan mereka-mereka yang fasiq yang memegang tampuk pemerintahan negara.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab baginda s.a.w. : Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum. (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Di dalam hadis yang lain :
Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain." (Hadis Riwayat Muslim)
Ya, inilah yang berlaku pada zaman sekarang. Manusia yang jahil diangkat menjadi pemimpin sedangkan ulama' dihina, di caci dan diketepikan. Na'uzubillah...
Yang menjadi satu lagi masalah ialah ulama'-ulama' yang berada di dalam kerajaan itu sendiri tidak terdengar suara mereka. Dalam hal ini saya berfikiran positif bahawa ilmuan-ilmuan agama yang berada bersama pemimpin negara ini sudah mengeluarkan pandangan-pandangan mereka cuma mungkin tidak diambil perhatian oleh kerajaan. Tapi saya berharap supaya mereka tidak menjadi ulama' su'u yang diumpamakan seperti syaitan bisu. Na'uzubillahi min zalik. Ingatlah wahai ilmuan-ilmuan agama yang berada di dalam kerajaan, ingatlah kalian akan hadis Rasulullah saw ini :
Dari Ibn Mas’ud r.a :
لما وقعت بنو إسرائيل في المعاصي نهتهم علماؤهم فلم ينتهوا فجالسوهم في مجالسهم وواكلوهم وشاربوهم فضرب الله قلوب بعضهم ببعض ولعنهم على لسان داود وعيسى ابن مريم
Ertinya : Apabila sahaja Bani Israel melakukan maksiat, para ilmuan mereka menegahnya, namun apabila tegahan tidak diendahkan, para ilmuan itu duduk bersama mereka di dalam majlis mereka, makan dan minum bersama mereka (seolah-olah redha), maka kerana itu, Allah membiarkan hati-hati sama di antara satu sama lain ( kotor dan keji), dan dilaknat mereka itu dari lisan Nabi daud dan ‘Isa. ( Hadis Riwayat Ahmad)
Dan khas buat para pemimpin, ingatlah bahawa kalian adalah imam kepada umat Islam di Malaysia ini. Maka setiap amanah yang telah dipikulkan ini akan ditanya oleh Allah swt di akhirat kelak.
Oleh itu sudah pasti masalah yang berlaku pada umat Islam khususnya para remaja pada zaman ini akan dipersoalkan di atas bahu kalian semua wahai pemimpin. Di manakah usaha kalian untuk mengurangkan masalah remaja ini??? Adakah dengan membuat rumah harapan serta tempat "buangan" anak-anak luar nikah itu mampu untuk menyelesaikan masalah ini atau menerukkan lagi keadaan??? Mengapa kalian begitu takut untuk kembali kepada Undang-Undang Allah??? Bukankah Undang-Undang Allah adalah jalan penyelesaian kepada segala masalah yang kalian hadapi sekarang???
Renung-renung dan fikir-fikirkanlah....
Wallahu'alam...
No comments:
Post a Comment