عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
[رواه مسلم]
Terjemah hadis / ترجمة الحديث :
Dari Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu berkata : Saya mendengar Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam bersabda : Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.
(Riwayat Muslim)
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أجمعين
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah swt yang masih lagi memberi pinjaman nyawa kepada kita dan masih lagi mengurniakan ruang dan waktu untuk kita memperbaharui taubat kita di samping dapat lagi kita beramal ibadah kepada Allah swt dalam usaha kita untuk mencapai redhaNya. InsyaAllah setelah agak lama blog ini tidak ter'update' hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di atas.
Hadis di atas menjelaskan kepada kita perihal perintah utama dalam agama Islam iaitu berkenaan Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar. Ia adalah perkara penting kerana dengan perintah inilah Allah mengutuskan para Rasul dan Nabi-Nabi. Sekiranya Allah menghentikan dan membiarkannya, pasti terputuslah perutusan agama Islam di muka bumi ini. Agama akan lenyap kerana tidak ada nabi yang diutuskan, kesesatan dan kebodohan tersebar di sana sini, kerosakkan bermaharajalela, negara akan hancur dan manusia akan binasa. Hadis ini menunjukkan bahawa mengingkari perkara mungkar hukumnya WAJIB sesuai dengan kemampuan yang kita miliki. Di dalam hadis ini jelas menyatakan bahawa mengingkari perkara mungkar dengan hati adalah SELEMAH-LEMAH IMAN. Bermaksud jika hati sudah tidak lagi mengingkari perkara mungkar, itu menunjukkan iman di hati sudah tiada. Ibnu Mas’ud pernah mendengar seseorang berkata, “Celakalah orang yang tidak mengetahui perkara yang ma’ruf dan mungkar dengan hatinya.”
Mengingkari kemungkaran dengan tangan dan lisan perlu disesuaikan dengan kemampuan tetapi mengetahui perkara-perkara yang ma’ruf dan mungkar dengan hati hukumnya WAJIB. Kewajipan ini tidak gugur daripada sesiapa pun dan celakalah bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya.
Sabda Nabi saw, “Sesiapa yang melihat kemungkaran......” menunjukkan isyarat bahawa pengingkaran di sini berkait dengan penglihatan dan melihat juga membawa erti mengetahui dengan akal. Maksud mungkar adalah segala yang diharamkan oleh Allah dan juga diharamkan oleh Rasul-Nya.
“Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.” Jika dilihat di dalam konteks ayat ini, ianya menunjukkan tahap-tahap dalam mengubah kemungkaran. Bermaksud apabila seseorang itu melihat kemungkaran maka perlulah dia mengubah kemungkaran tersebut dengan tangan (jika dia memiliki kekuasaan dan kekuatan), jika tidak mampu maka hendaklah dia ubah dengan lisannya (iaitu dengan memberi teguran atau nasihat), kemudian barulah dengan hati (yakni membencinya di dalam hati).
Amar ma’ruf nahi mungkar hukumnya WAJIB bagi kaum Muslimin.
Allah berfirman,
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar ; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran : 104)
Ayat ini menjelaskan tentang kewajipan amar ma’ruf dan nahi mungkar kerana Allah berfirman, “Dan hendaklah.....” adalah bentuk amar (perintah) dan zahir kata amar menunjukkan erti WAJIB.
Dalam ayat ini juga disebut bahawa keuntungan itu bergantung pada pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar, kerana ia dibatasi: “...merekalah orang-orang yang beruntung.” Ayat ini juga membawa maksud, amar ma’ruf dan nahi mungkar hukumnya FARDU KIFAYAH, bukan fardu ain. Ertinya, jika sudah ada satu golongan yang melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar ini, maka kewajipan ini gugur kepada yang lain. Hal ini kerana Allah berfirman “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan....”
Oleh sebab itu, jika ada salah seorang atau sekelompok umat yang melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar, maka gugurlah kewajipan ini ke atas yang lain. Tetapi perlu diingat bahawa KEUNTUNGAN HANYA DIPERUNTUKKAN BAGI ORANG-ORANG YANG MELAKSANAKAN AMAR MA’RUF DAN NAHI MUNGKAR SAHAJA. Sebaliknya, jika tidak ada orang yang menunaikannya, maka mereka semua yang mampu melaksanakannya dianggap berdosa.
Allah berfirman,
Maksudnya : “Mereka itu tidak sama. Di antara ahli Kitab itu ada golongan yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud. Mereka beriman kepada Allah dan hari akhir, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan. Mereka termasuk orang-orang yang shalih.” (Surah Ali Imran : 113-114)
Dalam ayat ini , Allah menyatakan kebaikan mereka bukan sekadar iman kepada Allah dan hari Akhirat tetapi mereka perlu menambahnya dengan melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Allah juga berfirman,
Maksudnya : “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka ta'at pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah : 71)
Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa orang beriman adalah mereka yang melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Oleh yang demikian, orang yang meninggalkan perbuatan amar ma’ruf dan nahi mungkar tidak termasuk di dalam golongan orang yang beriman sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah swt di dalam ayat ini.
Allah turut berfirman,
Maksudnya : “Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putra Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.” (Surah Al-Ma'idah : 78-79)
Itulah ketegasan Allah dalam perihal amar ma’ruf dan nahi mungkar ini. Mereka yang meninggalkan perbuatan amar ma’ruf dan nahi mungkar ini berhak mendapat laknat. InsyaAllah di dalam post yang akan datang, saya akan berkongsi ilmu tentang “Syarat memperbaiki kemungkaran dengan tangan (kekuatan) menurut Dr Yusuf Al-Qardhawi dan berkenaan beberapa criteria dan sifat yang perlu dimiliki oleh mereka-mereka yang ingin melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. InsyaAllah jika diberi kesempatan dan waktu.
Wallahu’alam...
izin copy..assalamualaikum. .
ReplyDeleteTerima kasih . Sgt membantu
ReplyDelete