Aktivis  Gerakan Islam tidak terlepas dari bahana penyakit ini. Hal ini mestilah  diubati sebelum ia menjadi penyakit tabiat yang membarah, apatah lagi  ruang-ruang yang begitu banyak kini boleh digunakan untuk memperagakan  diri menjadi tokoh panutan, di facebook, blog dan sebagainya. Di dalam  kitab Usul Dakwah karangan Dr.Abdul Karim Zaidan, beliau menyebutkan  antara penyakit yang menimpa pendakwah ialah melebih-lebih menampilkan  keistimewaan diri dan melupakan peranannya yang paling utama ialah  meletakkan kedudukan agama ke tempat yang tersohor, bukannya memuncakkan  dirinya sehingga menimbulkan bahasa peribadi,"Ana.. ana..Penyakit Al I'jab bi Nafsi ini boleh dikenal pasti melalui fenomena berikut:
1) Menonjol Kebaikan Diri
Berbangga dengan diri sendiri merupakan  ciri pertama Al I’jab bi Nafsi, di mana seseorang itu akan sentiasa  memuji dan mengangkat dirinya sendiri. Pada hal ia lupa atau sengaja  melupakan semua itu merupakan kurniaan Allah Taala. Firman Allah yang  bermaksud,"Janganlah kamu memuji akan diri kamu. Ia (Allah) lebih mengetahui dengan siapa yang lebih bertaqwa". (Al Najm:32)
"Dan janganlah kamu berjalan  di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali  tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai  setinggi gunung". (Al Isra’:37)
2) Enggan Menerima Nasihat
Ciri kedua Al I'jab bi Nafsi ialah  seseorang itu susah untuk menerima nasihat bahkan ia sentiasa cuba  mengelakkan diri dari dinasihati. Pada hal tidak ada kebaikan bagi  sesuatu kaum yang tidak mahu mendengar, tidak menerima nasihat.
3) Rasa Gembira Apabila Mendengar Kelemahan Rakan-Rakannya Yang Lain
Ciri ketiga Al I'jab bi Nafsi ialah  seseorang itu akan merasa begitu seronok apabila ia mendengar berita  tentang keaiban atau kelemahan orang lain, lebih-lebih lagi kelemahan  yang ada pada rakan-rakannya. Sikap sedemikian telah mendorong Fudhail  bin Iyadh r.a berkata, maksudnya : "Sesungguhnya di antara  tanda munafiq seseorang itu ialah ia akan merasa begitu seronok dan  senang apabila ia mendengar tentang keaiban yang ada pada  rakan-rakannya".
Cara Mengubati Penyakit Al I'jab bi Nafsi
Setelah kita mengenal pasti tentang  sebab-sebab dan punca berlakunya Al I'jab bi Nafsi, maka mudahlah bagi  kita untuk mengenali cara untuk mengubati dan menghapuskan penyakit ini  bahkan juga untuk menghalangnya dari menimpa kita, untuk tujuan tersebut  ia dapatlah disimpulkan seperti berikut :
[1] Sentiasa Mengingati Hakikat Kejadian Diri Manusia
Orang yang terpesona dengan dirinya  hendaklah faham dan sedar bahawa seluruh tubuh badannya itu kalaulah  tidak kerana tiupan Ilahi (roh) sudah pasti tidak mempunyai sebarang  nilai. Ia juga perlu sedar bahawa manusia pada asalnya ia dijadikan dari  tanah yang merupakan tempat diinjak-injak oleh kaki, dan proses  berikutnya ia dijadikan dari air mani yang hina yang menjijikkan orang  yang melihatnya. Kemudian ia akan dikembalikan ke tanah sekali lagi,  pada masa itu ia merupakan bangkai yang busuk di mana semua makhluk akan  menjauhkan diri darinya kerana tidak tahan dengan baunya yang begitu  busuk. Dari segi yang lain pula sejak dari ia dilahirkan sehinggalah ia  meninggal dunia di dalam perutnya penuh najis dan sisa makanan yang  busuk, ia tidak mungkin mendapat keselesaan dan tenang kecuali dengan  membuang semua sisa-sisa yang berada di dalam perutnya.
Ingatan dan renungan yang sedemikian  banyak dapat menolong dalam mengawal dan menyelamat diri dari kelalaian  dan kehilangan pedoman, juga ianya boleh menghapuskan penyakit ini (Al  I'jab bi Nafsi), bahkan ia dapat mengawalnya dari terjerumus ke lubuk Al  I'jab bi Nafsi sekali lagi.
Cara penyelesaian di atas telah  dikemukakan oleh salah seorang golongan salaf apabila ia ditanya oleh  seorang yang Al I'jab bi Nafsi dengan katanya, "Adakah anda kenal  siapa saya?" Maka ia menjawab: "Ya, saya kenal siapa anda. Pada asalnya  anda merupakan segumpal darah yang kotor dan selepas ini anda akan  menjadi bangkai yang kotor, tempoh di antara anda dijadikan dan anda  dimatikan anda sentiasa mengendong najis (di dalam perut anda)."
[2] Sentiasa Mengingati Tentang Apa Itu Hakikat Dunia & Apa Pula Hakikat Akhirat
Dengan mengingati perkara ini orang yang  terpesona dengan dirinya akan sedar bahawa dunia itu hanyalah merupakan  ladang untuk akhirat. Biar panjang mana sekali pun umurnya ia tetap  akan berakhir. Sesungguhnya akhirat itu merupakan tempat yang kekal dan  merupakan tempatnya yang abadi. Ingatan yang sedemikian akan dapat  mendorong manusia untuk memperbaiki tingkah lakunya dan membetulkan  dirinya sebelum berakhirnya hayat, juga sebelum peluang untuk berbuat  demikian terlepas dan terlambat.
[3] Sentiasa Mengingati Nikmat Allah Yang Dilimpahkan Ke Atas Manusia
Seperti yang difirmankan oleh Allah Taala, bermaksud,"Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah kamu tidak akan mampu menghitungnya" (Ibrahim:34)
"Dan (DIA) menyempurnakan untuk nikmatnya zahir dan yang batin". (Luqman:20)
Ingatan yang sedemikian menjadikan  seseorang itu menyedari betapa lemah dan miskinnya manusia yang sentiasa  memerlukan pertolongan Allah. Ekoran dari itu ia akan bertindak  membersihkan dirinya dari penyakit Al I’jabil Nafsi, bahkan ia akan cuba  menghalangnya dari ditimpa sekali lagi penyakit tadi.
[4] Sentiasa Memikirkan Tentang Mati
Cara yang demikian dapat menjamin untuk  dia mencabut sifat mazmumah dari dirinya bahkan sebagai benteng  menghadapi penyakit Al I'jab bi Nafsi.
[5] Sentiasa Mendengar & Mengamati Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya
Pada kedua-duanya terdapat penjelasan  yang boleh menyembuhkan disamping huraian terperinci yang berkaitan  dengan empat cara mengubati yang disebut sebelum ini. Dengan berpandukan  kitab Allah (al Quran) dan Sunnah NabiNya S.A.W manusia akan terselamat  dari semua penyakit tadi seandainya mereka yakin dengan ajaran  tersebut.
[6] Sentiasa Menghadiri Majlis Tazkiyah an Nafs
Majlis-majlis ilmu yang sedemikian akan  dapat menolong seseorang itu membersihkan dirinya bahkan juga melindungi  dirinya dari penyakit Al I’jab bi Nafsi
[7] Sentiasa Memerhati Keadaan Orang Yang Sakit, Cacat Anggota & Jenazah Yang Sedang Dimandikan, Di-kafan dan Di-tanam
Selepas itu pergi pula menziarahi kubur  mereka dari semasa ke semasa dengan merenung tentang keadaan dan nasib  mereka di dalam kubur. Cara yang demikian akan dapat mencuit perasaan  seseorang dan akhirnya akan mendorong mereka menghapuskan rasa Al I'jab  bi Nafsi dan penyakit yang lain yang seumpamanya.
[8] Memperingatkan Ibu Bapa Agar Membebaskan Diri Dari Penyakit Al I'jab bi Nafsi
Mereka hendaklah menjadi contoh yang  baik di hadapan anak-anak. Mereka hendaklah faham al I'jab bil Nafsi  yang ada pada mereka itu adalah salah, dan mereka hendaklah berkewajipan  melekangkan penyakit ini dari diri mereka, juga penyakit-penyakit lain  (jiwa dan hati) dan hendaklah bertaubat kepada Allah.
[9] Hendaklah Menjauhkan Diri Dari Bergaul Dengan Golongan Yang Kagum Dengan Diri Sendiri
Dalam masa yang sama hendaklah  mendampingi golongan yang tawadhu', yang memahami keupayaan dan  kedudukan diri mereka. Tindakan yang sedemikian akan menolong seseorang  itu membebas dan melindungi dirinya dari sifat Al I'jab bi Nafsi.
[10] Hendaklah Sentiasa Mengingati Tentang Betapa Perlunya Adab & Tata Tertib Syara'
Memahami bagaimana etika-etika syara'  dalam menyampaikan sesuatu penghargaan, pujian, dan penghormatan juga  dalam memberikan kesetiaan dan ketaatan. Sesiapa yang terkeluar dari  landasan syara’ dalam melakukan perkara di atas hendaklah disanggah  dengan sekeras-kerasnya. Tindakan sedemikian merupakan peranan yang  besar dalam mengubati diri dan jiwa juga membebaskannya dari Al I'jab bi  Nafsi.
[11] Jangan Terlalu Gopoh Untuk Meneraju Kepimpinan
Tunggulah sehingga jiwa benar-benar  lurus, dan keupayaannya begitu kental dan mampu untuk menolak godaan  syaitan. Cara yang demikian akan memudahkan rawatan penyakit Al I'jab bi  Nafsi.
[12] Hendaklah Selalu Mengkaji & Merenungi Sejarah Golongan Yang Terdahulu
Belajarlah bagaimana para salafus soleh  mengawal diri apabila bertembung dengan perlakuan ini. Renungan dan  pengamatan tadi akan mendorong kita untuk mengikuti jejak langkah mereka  atau sekurang-kurangnya melakukan perkara yang hampir serupa dalam  membersihkan diri sendiri dari penyakit ini, juga menghalangnya dari  bertapak semula ke dalam dirinya.
[13] Melakukan Perkara Yang Boleh Menghapuskan Rasa Sombong
Sebagai contoh dia hendaklah memberi  khidmat kepada rakan-rakan yang jawatannya lebih rendah, dengan keluar  membeli makanan dipasar dan membawa barangannya seperti yang dilakukan  oleh golongan salaf. Adalah diriwayatkan tentang Saidina Umar al Khattab  ketika beliau memasuki Syam, beliau telah terhalang dengan takungan air  (di tengah jalan), maka ia terus turun dari untanya, mencabut kasut dan  memegang kasutnya itu lalu beliau mengharungi air tadi bersama untanya.
Maka Abu Ubaidah 'Amir bin Al Jarrah lantas berkata,"Tuan telah melakukan suatu tindakan yang mengemparkan pada penduduk Syam". Maka Umar terus menepuk dadanya sambil berkata,"Oh!  kalaulah orang lain dari engkau yang berkata tentang perkara ini wahai  Abu Ubaidah (adalah patut, tetapi engkau yang berkata adalah tidak  patut). Kamu sebelum ini adalah sehina dan sekeji manusia, maka Allah  melalui perantaraan RasulNya telah memuliakan kamu. Biar bagaimana  sekalipun kamu mengejar kemuliaan dengan yang lain dari Allah, Allah  tetap menghinakan kamu".
Di dalam riwayat yang lain apabila Umar  al Khattab sampai ke Syam, beliau telah disambut oleh penduduk di situ  dalam keadaan beliau menunggang unta. Ada seorang berkata kepadanya,"Alangkah hebatnya kalau tuan menunggang kuda untuk bertemu dengan para pembesar di sini". Maka Umar menjawab, "Aku  tidak melihat kamu di sini, tetapi aku melihat di sana (sambil  tangannya ditunjukkan ke langit). Tolong beri lalaan untuk untaku".
[14] Muhasabah Diri Sepanjang Masa
Muhasabah diri sepanjang masa sehingga  ia berjaya mengenal pasti keaiban yang ada pada dirinya sendiri,  sekiranya penyakit itu berada ditahap awal maka agak mudah untuk diubati  atau melindungi diri darinya.
[15] Mengenal Pasti Akibat & Kesan Yang Timbul Dari Perlakuan Al I'jab bi Nafsi
Mengenal pasti akibat dan kesan yang  timbul dari perlakuan Al I'jab bi nafsi, di mana cara yang demikian  memberi kesan yang positif untuk mengubati Al I'jab bi Nafsi.
[16] Memohon Pertolongan Dari Allah Melalui Perantaraan Doa
Memohon pertolongan dari Allah melalui  perantaraan doa, pertolongan dan penyerahan diri kepada-Nya dengan  harapan Allah akan menyelesaikannya dan membersihkan dirinya dari  penyakit ini, juga melindungi dari bencana terjatuh sekali lagi ke  perlakuan buruk itu kerana Allah akan menolong hamba yang memohon  pertolongan dari-Nya dan menunjukkannya ke jalan yang benar.
[17] Perlu Menekankan Tanggungjawab Individu Tanpa Mengambil Kira Keturunan & Asal Usul
Perlu menekankan tentang tanggungjawab  individu, tanpa mengambil kira keturunan dan asal usul. Penekanan yang  sedemikian mempunyai peranan yang besar dalam mengubati jiwa bahkan  dapat melindungi seseorang itu dari terjerumus sekali lagi ke dalam  penyakit Al I'jab bil Nafsi.
Sumber :  Tarbawi

jazakallah kongsi ilmu,mohon share boleh?
ReplyDeleteBismillahirrohmaanirrohiim mohon share jzkk Moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah Aamiin Allahumma Aamiin
ReplyDelete