بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله
وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد
السلام عليكم ورحمة اللهِ وبركاته
4 Syawal 1433 bersamaan 22 Ogos 2012
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya yang tidak terhingga kerana masih lagi dikurniakan pinjaman nyawa kepada kita untuk terus hidup pada hari ini dan mampu untuk menghabiskan bulan Ramadhan serta masih berpeluang untuk menyambut Hari Raya Fitrah pada tahun ini. Bersyukur juga kita kepada Allah swt kerana masih lagi kita hidup di atas dua nikmat terbesarNya iaitu nikmat Iman dan Islam.
Rasanya bagaikan sekejap sahaja masa berlalu, Ramadhan sudah pun pergi meninggalkan kita, dan hari ini sudah pun memasuki 4 Syawal. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.
InsyaAllah dikesempatan ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu bersama sahabat-sahabat sekalian. Dan andai kata ada di dalam tulisan saya kali ini yang menyinggung hati sahabat-sahabat pembaca sekalian saya dahulukan dengan ucapan maaf. Dan andai kata ada yang tersilap, jangan segan silu untuk menegur. ^_^
Ketika sedang membaca
status-status sahabat di faceboook pagi tadi terpandanglah satu status yang
agak menarik. Statusnya berkenaan dia menukar status dirinya kepada
"enganged" atau "tunang" semata-mata tidak mahu diburu dan
melayan karenah lelaki yang mahu menguratnya.
Wah!!! Mungkin sahabat
facebook saya ini terkenal dengan kecantikkannya sehingga ramai lelaki ingin
mengurat dia. Takpe itu bukan topik utama yang ingin saya kongsikan...
[Jangan kita ingin
menutup suatu kesalahan dengan kesalahan yang lain]
Kita perlu sedar bahawa
di dalam kehidupan sebagai seorang Muslim kita tidak terlepas daripada hukum
taklifi iaitu Harus, Sunat, Wajib, Makruh dan Haram. Jadi memang betul HARAM
bagi seseorang wanita dan lelaki tidak menjaga muamalat sesama mereka walaupun
di dalam alam maya. Dan juga umum mengetahui bahawa HARAM hukumnya bagi kita
untuk berbohong atau menipu orang lain walaupun mengenai status diri kita.
الغاية
لا تُبرر الوسيلة
Ertinya
: ” Matlamat tidak menghalalkan cara”
Mungkin ada yang akan
berkata bahawa ini adalah darurat. Maka kalau diikutkan, boleh melakukan
perkara yang haram dalam keadaan darurat seperti kaedah :
الضرورات تبيح المحظورات
Ertinya : “keadaan terdesak (darurat) boleh mengharuskan yang
haram”.
Lagipun niat baik untuk
menghindarkan diri dari muamalat yang diharamkan. Bak kata Imam al-Alusi :
أن للوسائل حكم المقاصد
Ertinya : “Bagi hukum sesuatu jalan (cara), adalah
mengikuti hukum objektif atau maqasidnya”
Jika dilihat dan diamati apa yang disebut oleh Imam
al-Alusi ini ianya seolah-olah “matlamat menghalalkan cara”, kerana hukum jalan
mengikuti objektif, jika objektifnya untuk sesuatu yang baik, maka jalannya
juga turut diterima dan menjadi baik walaupun ia adalah cara yang haram.
Betulkah begitu?
Disinilah kefahaman kita perlu diperbetulkan kerana
kaedah “keadaan terdesak (darurat) boleh
mengharuskan yang haram” sebenarnya ditujukan kepada mudharat yang
begitu besar sehinggakan jika tidak dilakukan sesuatu mungkin ianya akan mengancam nyawa, akal, maruah dan agama kita. Tidak boleh
sewenang-wenangnya menggunakan alasan darurat kepada semua perkara.
Begitu juga dengan kata-kata Imam al-Alusi : “Bagi hukum sesuatu jalan (cara),
adalah mengikuti hukum objektif atau maqasidnya” pula adalah
ditujukan kepada matlamat yang ingin dicapai itu betul-betul besar.
الأمور بمقاصدها
Ertinya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan
matlamat”.
Ini adalah
kaedah feqah yang sangat mahsyur. Banyak sarjana feqah yang mengeluarkan hukum
berdasarkan kaedah feqah di atas. Kaedah ini berdasarkan hadis sahih daripada
Sayidina Umar Al-Khattab r.a.
“Aku
mendengar Rasulullah SAW bersabda : ‘bahawa sesungguhnya setiap amalan itu
bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia
niatkan. Siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya
kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu
mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka
hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Hadis Shahih Riwayat Imam
al-Bukhari no. 6553 dan Muslim no. 1907)
Selain itu disebut juga di dalam
kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, Ibnu Qudamah al-Maqdisi berkata :
“Ketahuilah bahawa amal
perbuatan itu terbahagi kepada tiga jenis:
Pertama: Maksiat;
“ ia tidak berubah dengan
berubahnya niat. Contohnya orang yang membina masjid dengan tujuan kebaikan,
tetapi menggunakan wang haram. Sesungguhnya niat yang baik itu tidak memberi
apa-apa kesan…”.
“…Sesungguhnya ketaatan itu boleh bertukar menjadi maksiat dengan
sebab niat. Manakala maksiat tidak bertukar menjadi ketaatan dengan sebab
niat”.
“Kedua: Ketaatan;
“ ia amat berkait rapat dengan
niat, dalam konteks sah atau tidak sah di sisi Allah, juga dalam konteks
menambah ganjaran dan kelebihannya…”
“…Ketiga: Perkara-perkara
harus;
“Tiada satu perkara harus
kecuali ia mempunyai satu niat atau beberapa niat…”
Jadi, melalui kata-kata Ibnu Qudamah
al-Maqsidi itu jelas memberitahu bahawa walaupun niat kita baik untuk
menghindarkan diri dari dosa atau untuk melakukan ketaatan, ianya bukanlah satu
alasan untuk kita melakukannya dengan maksiat seperti menipu dan berbohong
kepada orang lain tentang status diri kita. Sedangkan syarat amalan kita
diterima bukan sahaja memerlukan niat yang ikhlas tetapi ianya juga dinilai
melalui jalan atau perbuatan yang kita lakukan.
Contoh mudah, tidak boleh mencuri untuk
menolong orang miskin jadi begitulah juga dengan situasi ini, tidak boleh
berbohong untuk elak daripada diganggu oleh orang yang bukan mahram di dalam
facebook. Ada banyak lagi cara yang lebih sesuai. Yang paling senang ialah
dengan mengabaikan sahaja segala mesej yang diterima. Itu lebih baik jika
dibandingkan dengan berbohong.
Allahua’lam.
Perkukuhkan
Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah
Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah
Tunjang Kekuatan Jemaah.
Disediakan
oleh :
Muhammad
Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus
Kuantan.