بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله
وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد
السلام عليكم ورحمة اللهِ وبركاته
18 Dzu al-Qa'idah 1433 bersamaan 4 Oktober 2012
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat
Ilahi atas limpah dan kurnianya masih lagi diberikan kesempatan kepada kita
untuk hidup di dunia ini dan masih lagi diberikan peluang untuk kita bertaubat
atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan menyemai benih iman dan takwa untuk
menjadi bekalan di akhirat kelak.
Walaupun dengan keadaan yang tidak
berapa sihat dan juga kesibukkan dalam menghadapi PRK ulangan di UIA, hati ini
begitu tergerak untuk menulis dan akhirnya Alhamdulillah diberikan kesempatan
ini untuk berkongsi sedikit nasihat dan juga mutiara-mutiara hikmah yang
diilhamkan kepada hamba yang hina ini.
Persoalan Yang Biasa
Hadir Dalam Diri Pendakwah
Ketika menghadapi saat yang begitu
padat dengan segala gerak kerja yang perlu dilakukan kadang-kadang terkeluar di
dalam onak fikiran kita sesuatu yang mampu menjatuhkan semangat dakwah di dalam
diri setiap pejuang.
“Kenapa aku je
yang kene buat semua kerja dan orang lain mampu bersenang lenang?”
“Kenapa aku je
yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan gerak kerja dakwah sedangkan orang
lain yang bersama aku boleh berehat dan bersuka ria?”
“Kenapa jemaah
terlalu mengharapkan aku dan memberikan banyak kerja kepada aku sedangkan ada
lagi orang lain yang lebih senang dan lebih baik berbanding aku?”
Inilah antara persoalan-persoalan dan
keluhan-keluhan yang sering muncul menemani kita ketika kita di dalam keletihan
dan kepenatan dalam melaksanakan gerak kerja dakwah. Dan kerana bisikan-bisikan
daripada syaitan inilah yang akhirnya membuatkan seseorang itu semakin jauh dan
lari dari jemaah dan agenda-agenda dakwah.
Berjuang Tak Pernah
Senang
Ingatlah di dalam perjuangan tidak ada
erti kesenangan, tidak akan dibentangkan dengan permaidani merah dan tidak juga
dikalungkan dengan kalungan bunga tanda dihormati dan disanjungi. Jika nama, harta dan pangkat yang dicari, maka ini bukan jalan buat golongan-golongan seperti ini.
Tapi orang yang berjuang atas jalan Islam ini pasti akan dibentangkan dengan onak dan ranjau yang berduri, mehnah dan tribulasi menjadi makanan seharian juga cabaran dan
dugaan datang silih berganti. Pasti akan ada musuh di kiri, kanan, depan dan belakang yang cuba
menyerang dan cuba menjatuhkan dakwah Islam.
Hal ini dibuktikan di sepanjang
zaman bahawa setiap yang berjuang untuk menaikkan syiar Islam tidak pernah akan senang. Lihat sahaja Rasulullah saw ketika mana Baginda membawa Islam. Baginda di caci, dihina malah disakiti oleh kafir Quraisy semata-mata ingin menyelamatkan manusia dari jahiliyyah. Sedangkan Baginda Rasulullah saw yang dikasihi oleh Allah swt itu menerima ujian yang begitu kuat tapi datangnya giliran kita inginkan perjuangan yang senang dan mudah?
Malah adalah sesuatu yang amat melucukan jika ada sesetengah pihak yang
dikatakan ingin memperjuangkan Islam tidak pernah menerima sebarang ancaman dan
kecaman dari pihak yang ingin melihat kejatuhan Islam. Malah tidak terlalu keterlaluan
jika mengatakan mereka-mereka yang ingin berjuang menaikkan syiar Islam tapi
tidak mahu dihujani dengan mehnah dan tribulasi adalah mereka yang retorik
semata-mata. Kerana sunnatullah orang yang berjuang tidak akan terlepas dari
dugaan dan ujian. Hal ini disebutkan oleh Allah swt :
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين
من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين
Ertinya : Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan
dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu
dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu
sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui
Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang
diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]
Kelebihan Mereka Yang
Berjihad Untuk Menaikkan Syiar Islam
Sesungguhnya Allah itu Maha Adil.
Tidak mungkin susah-payah dan kepenatan kita bekerja untuk menaikkan agama yang
diredhai Allah ini tidak memberi sebarang nilai kepada diri kita. Sedangkan
kesusahan dan kepayahan yang Allah datangkan kepada para pejuang agamaNya adalah untuk memberi nilaian dan ganjaran yang tidak terhingga kepada kita. Allah telah berfirman :
وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ
لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
Ertinya : Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya
itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya
(tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta.
[Al-Ankabut : 6]
Ketahuilah kita berjihad untuk
kepentingan diri kita sendiri. Allah sekali-kali tidak memerlukan kita untuk
berjihad dan berjuang untuk menaikkan agamanya tapi kitalah yang mengharapkan
kepada Allah swt untuk mendapat kelebihan di sisi Allah dengan berjihad
menegakkan agama yang diredhai Nya, iaitu Islam.
Orang yang berjihad dan berjuang di
jalan Allah sebenarnya sedang melakukan proses jual beli dengan Allah swt.
Allah swt berfirman :
إنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم
بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ
وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ
وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ
بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Ertinya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin,
diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang
pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji
yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang
lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual
beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. [At-Taubah
: 111]
Maka hendaklah kita ketahui bahawa
kita sedang menempah sesuatu yang sangat besar dengan berjuang di jalan Allah. Kita hanya perlu modal tenaga dan harta untuk menaikkan syiar Islam dan sebagai ganjarannya Allah memberika syurga kepada mereka yang berjihad di jalanNya. Siapa yang tidak mahu akan syurga Allah swt? Malah mereka yang berjihad dan
berjuang di jalan Allah dengan bersungguh-sungguh akan dilepaskan dari neraka
Allah swt. Firman Allah swt di dalam surah as-saff ayat 10 :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ
عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu
perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi
sakitnya? [As-saff : 10]
Dan Allah melanjutkan pada ayat berikutnya dengan menerangkan perniagaan yang
bagaimanakah yang dijanjikan dengan kelepasan daripada seksaan neraka yang amat
pedih.
تُؤْمِنُونَ
بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ
وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya : Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang
membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang
demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat
yang sebenarnya).
[As-Saff : 11]
Begitulah besarnya ganjaran yang
disediakan kepada orang yang beriman dan berjuang serta berjihad di jalan Allah
atas dasar keimanannya. Jadi apakah satu kerugian kepada kita jika diberikan
sesuatu kerja yang mampu menaikkan syiar Islam? Jawapannya sudah tentu TIDAK.
Malah kita beruntung jika hendak dibandingkan mereka-mereka yang hanya
BERMAIN-MAIN atas nama perjuangan. Sebab segala kesusahan dan kepayahan yang kita lalui pasti akan diberi ganjaran. Ingatlah Allah tidak memerlukan kita untuk menaikkan agamaNya tapi kitalah sebenarnya yang memerlukan pertongan daripada Allah dengan menolong menegakkan agamaNya di muka bumi ini.
Akhirul Kalam,
Saya ingin berkongsi sedikit
motivasi yang telah Allah turunkan buat para pejuang yang berjuang di jalanNya.
Antara kata-kata semangat ialah di dalam surah al-Ahzab ayat ke 23:
مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَاهَدُواْ
ٱللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَّن يَنتَظِرُ وَمَا
بَدَّلُواْ تَبْدِيلاً
Ertinya : Di antara orang-orang yang
beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya
kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang
telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya
ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka
janjikan itu) sedikitpun. [Surah al-Ahzab : 23]
Ayat selepas itu memberikan gambaran
kepada kita bahawa jika kita benar dalam perjanjian untuk menaikkan syiar Islam
maka Allah akan membalas keikhlasan kita dalam berjuang.
لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ
الْمُنَافِقِينَ إِن شَاء أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا
رَّحِيمًا
Ertinya : Supaya Allah membalas orang yang benar kerana kebenaran
mereka, dan menyeksa orang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat
mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah
al-Ahzab : 24]
Selain itu, Allah memberi motivasi
kepada kita dengan memberitahu bahawa orang yang beriman mempunyai darjat yang
tertinggi. Maka kerja buat kita dalam mempertahankan syiar Islam adalah kerja
yang tidak akan rugi dan tidak akan kalah. Sebab kekalahan yang sebenar ialah
apabila kita menurut nafsu kita dan lari dari medan perjuangan maka saat itu
kita sudah pun kalah. Ini dinyatakan di dalam surah Ali Imran :
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَانْتُمْ الْاعْلَوْنَ اِنْ
كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
Ertinya : Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu
berdukacita, padahal kamulah orang yang tertinggi (darjatnya) jika kamu orang
yang beriman. [Surah Ali Imran : 139]
Dan datang selepasnya ayat yang
berikut :
وَكَايِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا
وَهَنُوا لِمَا اصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا
وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّبِرِينَ
Ertinya : Dan beberapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah
berperang dengan disertai oleh ramai orang yang taat kepada Allah, maka mereka
tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka di jalan Allah,
dan mereka tidak mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah) Allah sentiasa
mengasihi orang yang sabar. [Surah Ali Imran : 146]
Ingatlah wahai pejuang, apabila kita
berjuang menegakkan agama Allah maka sesungguhnya pertolongan Allah bersama dengan
kita. Dan siapakah sebaik-baik penolong selain daripada Allah swt? Jika kita mengetahui hakikat ini pasti kita semakin hari semakin kuat berjuang tidak kira di dalam keadaan senang ataupun susah kerana mendambakan pertolongan Allah swt.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ
وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Ertinya : Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah
nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu. [Muhammad : 7]
Akhirnya marilah kita menghayati
satu kata-kata khas buat pemuda yang dipetik di dalam buku Jalan Dakwah antara
Qiyadah dan Jundiyah karangan As-syeikh Mustafa Masyhur :
"Wahai pemuda!! Sesungguhnya berhasil
sesuatu fikrah itu apabila kuat keimanan terhadapnya dan mempunyai keikhlasan
pada jalannya. Hampir empat rukun ini –iman, ikhlas, semangat dan kerja-
menjadi ciri pemuda, kerana asas iman adalah hati yang bersih, asas ikhlas
ialah ialah jiwa yang bersih, asas semangat ialah perasaan yang kuat dan asas kerja
ialah keazaman yang kuat. Semua perkara ini tidak ada kecuali pada pemuda. Di
sinilah maka pemuda dahulu dan kini merupakan tiang kebangkitan setiap umat
serta rahsia kekuatan dalam setiap kebangkitannya dan dalam setiap yang
diangkat benderanya. Sesungguhnya mereka sekumpulan pemuda yang beriman dengan
Tuhannya, lalu kami tambahkan untuk mereka petunjuk."
Anak muda dan
remaja
Warga pewaris dunia
Hargai jasa yang tua
Teruskanlah perjuangannya
Memang payah
Untuk membentuk hidup yang sempurna
Akan mudah jika kita berusaha
Demi kejayaan bersama
Allahua’lam.
Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki
Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.
Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.