Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Tuesday, August 23, 2011

Pesanan Buat Semua Pejuang Islam


Umum mengetahui bahawa Saidina Umar al-Khattab merupakan Khalifah yang kedua selepas kewafatan Baginda Rasulullah saw yang kemudiannya digantikan dengan Abu Bakar as-Siddiq dan kemudiannya tugas sebagai khalifah ini diambil alih pula oleh Saidina Umar al-Khattab.

Saidina Umar al-Khattab telah menukilkan satu pesanan dan nasihat yang amat berguna kepada bala tenteranya dalam menghadapi musuh mereka di medan perang dan pesanan ini juga secara umum perlu diambil berat oleh setiap insan yang bergelar pejuang Islam pada masa kini dalam mengharungi dugaan dalam menghadapi musuh yang sentiasa ingin memadamkan sinar Islam.

Ini adalah pesanan Saidina Umar al-Khattab kepada ketua tentera muslimin, Sa'ad bin Abi Waqqas ketika beliau mengutusnya untuk pembukaan kota Parsi:

Sesungguhnya aku memerintahkan kepadamu wahai Sa'ad dan juga mereka yang bersama-samamu supaya bertaqwa kepada Allah dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya taqwa kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sehebat-hebat strategi dalam peperangan..

Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-samamu supaya menjauhkan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa2 yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh2 Islam..

Sesungguhnya orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi bagi orang Islam kekuatan..

Bilangan tentera kita tidak seramai bilangan tentera mereka. Kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka..

Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah ke atas musuh2 ini dengan kelebihan kita, sudah pasti kita tidak akan dapat mengalahkan mereka..

Ketahuilah!

Bahawasanya bersama-sama dalam perjalananmu, malaikat2 yang mengawasi, dan para malaikat ini mewakili pihak kerajaan Allah untuk menjagamu. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Maka malulah terhadap apa yang ingin kamu lakukan. Janganlah kamu berkata, "sesungguhnya pihak musuh lebih hina daripada kita, dan mereka tidak akan dapat menguasai kita walaupun kita turut berbuat kejahatan "..

Mana tahu Allah akan mendatangkan satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang pernah berlaku kepada kaum bani israil dahulu yang akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang kafir majusi..

Mohonlah daripada Allah kemenangan ke atas nafsu2 mu.seperti kamu memohon kemenangan ke atas musuh2mu. Aku memohon perkara yang sama ke atas diriku dan dirimu..

Begitu bermakna pesanan yang disampaikan oleh Saidina Umar al-Khattab ini kepada bala tenteranya yang akhirnya menjadi pemangkin kepada kemenangan tentera Islam. Dan pesanan yang agung ini juga sebenarnya disampaikan juga buat diri kita sebagai seorang pejuang yang berdiri di atas jalan Allah. Yang berjuang untuk menegakkan Islam. Tetapi apakah kita mampu untuk melaksanakannya jika diri kita sendiri tidak beramal dengan Islam yang sebenarnya??

Hasan al Hudaibi, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang ke-2 juga ada menyebut : ” Tegakkan negara Islam itu dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di tanah air kamu”.


Ertinya kemenangan yang kita idamkan perlu datang daripada diri kita. Iman yang mantap menjadi pemangkin kepada kekuatan umat Islam. Hal ini telah dibuktikan dan ianya terlukis di dalam lembaran-lembaran sejarah Islam. Tentera Islam mampu untuk menang walaupun mempunyai tentera yang sedikit dan kelengkapan senjata yang kurang, tetapi oleh kerana Islam telah tertegak di dalam diri mereka, iman mereka yang begitu kuat di samping cintakan syahid daripada kehidupan dunia, maka mereka mampu menang walaupun di dalam serba kekurangan oleh kerana dekatnya pertolongan Allah swt kepada mereka-mereka yang ikhlas berjuang demi agamaNya. Sehinggakan kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi dapat dikalahkan oleh tentera Islam.

Setelah menelusuri sejarah kehebatan Islam yang berpunca daripada keimanan mereka kepada Allah swt jadi mari kita mengoreksi diri kita. Wahai sahabat-sahabat sekalian, bagaimana mungkin kita mampu menang dalam memperjuangkan agama Allah swt sedangkan diri kita yang mengaku sebagai pejuang Islam sendiri begitu jauh dengan Allah, lalai dalam mengingatinya dan sering melakukan maksiat???

Satu kisah yang menarik buat perkongsian bersama.

Suatu ketika Nabi Musa a.s mengalami sakit gigi. Nabi Musa a.s mengadu kepada Allah swt. Lalu Allah swt menyuruh Nabi Musa a.s untuk mengunyah sejenis daun. Nabi Musa a.s berbuat seperti yang diwahyukan oleh Allah swt itu dan sakit giginya sembuh.

Suatu ketika Nabi Musa a.s mengalami sakit gigi semula. Lantas Nabi Musa a.s mengambil daun yang sama dan mengunyahnya. Tetapi kali ini sakit gigi Nabi Musa a.s tidak sembuh. Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah swt berhubung keadaan yang demikian itu. Allah swt berfirman kepada Nabi Musa a.s iaitu pertama kali sakit gigi, Nabi Musa a.s telah mengadu kepada Allah swt. Sakit gigi kali kedua. Nabi Musa a.s tidak lagi mengadu kepada Allah swt dan hanya terus mengunyah daun tersebut yang tidak memberi bekas.

Biarpun peristiwa itu berlaku kepada Nabi Musa a.s, iktibar besar bagi para pejuang Islam ialah jangan melupai Allah swt. Segala usaha ikhtiar kita para pejuang biar bagaimana pintar dan gigih, tetap tidak memberi bekas. Betapalah kalau pejuang Islam terus leka, lalai dan lupakan Allah swt, ertinya jauh dari Allah swt. Apatah lagi kalau pejuang Islam juga turut berbuat mungkar, dosa dan derhaka kepada Allah swt. Ertinya pejuang Islam bukan sahaja Allah swt tidak pandang malah turut menerima murka dan kutukan dari Allah swt. Pejuang yang berbuat maksiat, dan dalam waktu yang sama meminta pertolongan, sama seperti orang yang meminta sesuatu daripada orang yang dia sendiri musuhi.

Faktor mencukupkan syarat hingga layak mendapat pertolongan Allah swt inilah yang sangat terpinggir dan terabai. Umat Islam lebih banyak merekacipta berbagai andaian hingga terhimpunlah dalam senarai panjang mengapa pejuang Islam tidak menang dan musuh tidak tewas. Tetapi satu faktor terpenting, utama dan paling asas tidak dipedulikan. Akhirnya agama Islam milik Allah swt itu diperjuangkan oleh orang yang melupai malah menderhakai Allah swt. Para pejuang bukan saja tidak dipandang oleh Allah swt malah dimurkai oleh Allah swt.

Oleh itu, wahai pejuang Islam sekalian, aku menyeru kepada diriku dan juga kepada diri kalian semua supaya bangkit menegakkan Islam di dalam diri kita terlebih dahulu di samping kita berjuang menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Dekatkanlah diri kita kepada Allah swt. InsyaAllah moga-moga usaha yang kita lakukan demi menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini akan dipandang dan mendapat pertolongan daripada Allah swt. Sungguh pertolongan Allah itu terlalulah dekat kepada orang-orang yang beriman. InsyaAllah.

Wallahu'alam...

Sunday, August 21, 2011

Mencari Malam Yang Lebih Baik Dari Seribu Bulan


Lailatul Qadar. Satu malam yang begitu dicari-cari oleh kaum Muslimin. Seperti yang umum ketahui bahawa lailatul Qadar atau malam Al-Qadar ini adalah satu malam yang sangat istimewa buat umat Islam kerana ianya lebih baik dari seribu bulan. Ini berdasarkan firman Allah swt :

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ 
 Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (Al-Qadr : 3)

Sehinggakan Rasulullah saw juga mencari-cari malam al-Qadar ini dengan beribadah bersungguh-sungguh pada 10 malam yang terakhir pada bulan Ramadhan melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Hal ini diceritakan melalui hadis Rasulullah saw :

"Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :- 
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Apakah Keistimewaan Lailatul Qadar Ni???

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan (Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan Ramdhan)  ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu. Barangsiapa solat pada Lailatul Qadar kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Bila Waktunya Malam al-Qadar Ni???

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadis Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Doa apa yang perlu di doakan jika kita berjumpa dengan malam al-Qadar ni??? 

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan" 

Akhirul kalam,
Lailatul Qadar bukanlah untuk dinanti kehadirannya tetapi untuk dicari. Betapa ruginya kita andai terlepas malam yang amalannya di malamnya lebih baik dari seribu bulan. Sementara masih mempunyai kesempatan di dalam malam Ramadhan yang berbaki ini, marilah sama-sama kita menghidupkan amalan pada malam-malamnya. Mudah-mudahan kita berjumpa dengan malam al-Qadar ini. InsyaAllah.

Wallahu'alam.

Dunia Ibarat Penjara Bagi Orang Mukmin

Sebuah kisah yang sangat menarik untuk perkongsian bersama yang dikisahkan oleh Al-'Allamah Syeikh Muhammad Shalih Al-'Utsaimin (rhm) dalam kitabnya Tafsir Juz 'Amma.

Kata Ibnu 'Utsaimin (rhm) :

"Para ulama menukil dari Ibnu Hajar Al-'Asqalani yang menulis syarh kitab Sahih Al-Bukhari yang diberinya nama Fathul Bari, dan pernah menjawat kedudukan sebagai Qadhi al-Qudhat (hakim tertinggi) di Mesir, bahawa pada suatu hari beliau (Ibnu Hajar) berjalan dengan gerobak yang ditarik oleh seekor keledai sementara orang-orang berkerumun mengelilinginya. Saat itu beliau melewati seorang Yahudi penjual minyak samin dan zaitun, dan biasanya penjual minyak samin pakaiannya selalu kotor dan keadaannya teruk. Tiba-tiba si Yahudi tersebut memberhentikan gerobak milik Ibnu Hajar dan berkata : "Sesungguhnya Nabi kalian bersabda : "Dunia ini ibarat penjara bagi orang mukmin dan Jannah bagi orang kafir" (H/R Muslim)

Lalu bagaimana dengan keadaanku yang sangat teruk ini sementara keadaanmu begitu baik?"

Maka Ibnu Hajar menjawab perkataannya : "Aku memang berada dalam penjara yang sempit bila dibandingkan dengan apa-apa yang telah Allah siapkan berupa pahala dan kenikmatan bagi para hamba-Nya yang beriman, di alam kehidupan akhirat kelak. Sebab dunia ini tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan akhirat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW : "Tempat cemeti seseorang di Jannah nanti lebih baik dibandingkan dunia seisinya"

Dan engkau wahai Yahudi! Engkau seolah berada di dalam Jannah jika dibandingkan dengan azab yang kelak akan engkau terima apabila engkau mati dalam keadaan kafir!"

Akhirnya orang Yahudi itu merasa puas dengan jawaban Ibnu Hajar dan menjadi penyebab ia masuk Islam, dan akhirnya Yahudi itu berkata : "Aku bersaksi tiada Rabb yang haq yang disembah selain Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah".

Begitulah beruntungnya orang mukmin. Ingatlah bahawa nikmat yang Allah berikan kepada kita di dunia ini hanya sedikit. Sesungguhnya nikmat Allah di syurga kelak amat luas dan tidak terbayang oleh aqal fikiran kita. Wallahu'alam.